TAHUKAH anda bahawa seorang daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser payu dara? Persoalannya sejauh manakah kaum wanita mempersiapkan diri dengan maklumat atau kekuatan emosi sekiranya berdepan dengan penyakit itu?
Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur, biasanya adalah sukar bagi seseorang wanita menerima kenyataan bahawa dirinya menghidap kanser payu dara.
"Bagi yang berpendidikan, mereka mungkin boleh menempuhnya kerana mereka tahu bagaimana hendak mendapatkan maklumat dan sokongan.
"Bagaimana dengan wanita di kampung-kampung yang kurang didedahkan dengan maklumat tentang penyakit ini?" soalnya.
Sehubungan itu, BCWA mengadakan Hari Orkid pada 5 hingga 8 Mac lalu bagi mengumpul kutipan dana untuk mengendalikan aktiviti sokongan bagi penghidap kanser yang akan diperluaskan ke kawasan luar bandar.
"Kami mahu memberitahu bahawa keperitan itu sementara sahaja dan mereka mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Selain itu, kami mahu mendidik wanita di luar bandar mengenai pentingnya pemeriksaan awal kanser payu dara yang mampu menyelamatkan nyawa kerana peluang untuk pulih adalah tinggi," ujarnya.
Peka dengan situasi tersebut, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Kuala Lumpur mengambil inisiatif memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada BCWA bagi membolehkan pertubuhan tersebut melaksanakan aktiviti-aktiviti pemulihan yang dirancang.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PCMC, Stuart D. Rowley kepada BCWA sambil disaksikan mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Menurut Stuart, wanita adalah aset dalam kehidupan kerana mereka memainkan peranan yang sangat penting.
"Sumbangan ini adalah salah satu cara kami menghargai dan menyokong wanita," katanya.
Sempena Hari Orkid itu, PCMC mengadakan pertandingan menggubah bunga orkid yang melibatkan kakitangannya.
Kesemua 25 gubahan bunga tersebut diadili oleh Rafidah Aziz, Ranjit Kaur dan Ketua Pegawai Korporat PCMC, Edda Fischer.
Kumpulan yang berjaya menawan hati juri membawa pulang hamper bernilai RM350 dan wang tunai sebanyak RM1,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: