Monday, March 22, 2010

Pemegang Unit ASM Dapat 6.30 Sen Seunit

KUALA LUMPUR, 22 Mac Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) Isnin mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2010.

Tahun lepas, pengurus dana milik kerajaan ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit, terendah sejak pengenalannya pada 2000.

Dividen tertinggi yang pernah diberikan oleh anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) ialah 7.8 sen.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM654.06 juta, peningkatan sebanyak 60.5 peratus daripada RM407.58 juta yang dibayar pada 2009.

Pembayaran berkenaan akan melibatkan 552,000 pemegang unit yang melanggan 11.2 bilion unit ASM sehingga 19 Mac, 2010.

Semasa mengumumkan agihan pendapatan ASM itu di sini, Ahmad Sarji berkata pasaran ekuiti dan persekitaran pelaburan domestik menunjukkan peningkatan pasaran berbanding situasi tahun sebelumnya, seiring dengan pemulihan pasaran kewangan dan ekonomi global sepanjang tahun kewangan ASM.

"Faktor-faktor ini, digabungkan dengan kejayaan pelaksanaan pakej rangsangan kerajaan berjumlah RM67 bilion dan dasar kewangan yang akomodatif, telah membantu Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.5 peratus pada suku keempat 2009," katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata pembayaran 6.30 sen itu masih lebih baik berbanding instrumen lain dengan profil risiko yang sama.

"Kami merasakan angka ini cukup baik untuk pemegang unit. Jika dilihat keseluruhannya, kapsiti kami ialah untuk membayar 7.40 sen seunit tetapi kami hanya membayar 6.30 sen kerana mahu lebih banyak rizab untuk dibawa ke tahun hadapan," katanya sambil menambah bahawa PNB mempunyai kira-kira RM118 juta rizab ASM untuk 2011.

"Prestasi dana itu masih bergantung kepada prestasi pasaran, yang kami harap pasaran saham kita akan lebih baik seiring dengan pertumbuhan KDNK yang positif."

Hamad Kama Piah berkata kebanyakan penganalisis mengunjurkan penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) akan berlegar dalam lingkungan paras 1,300 hingga 1,400 tahun ini.

"Minat asing pada pasaran saham dianggap terendah pada masa ini. Kemungkinan minat belian akan kembali pulih tidak lama lagi, kemudiannya kita boleh menyaksikan margin yang lebih baik," katanya.

Sehingga 19 Mac, 2010, ASM mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM800.83 juta. Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM429.83 juta, atau 53.7 peratus pendapatan kasar.

Pendapatan dividen menyediakan RM259.69 juta atau 32.4 peratus dan baki pendapatan sebanyak RM111.31 juta atau 13.9 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Agihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam unit tambahan ASM yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2010.

ASM merupakan dana pendapatan ekuiti berharga tetap yang bertujuan menyediakan peluang pelaburan jangka panjang kepada pemegang unit dengan menjana pulangan kompetitif dan tetap melalui portfolio pelaburan yang pelbagai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: