Friday, January 1, 2010

Prism telus agihkan royalti


ONG Peng Chu menunjukkan surat pekeliling yang diedarkan berhubung cara dan jumlah pengagihan royalti Prism kepada ahli-ahlinya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DI KALA ada segelintir penyanyi yang kurang faham dengan cara kutipan dan pengagihan bayaran royalti atas penggunaan lagu-lagu nyanyian mereka di tempat-tempat awam, syarikat pengutip royalti Persembahan dan Hak Artis Sdn. Bhd. (Prism) pula yang dipersalahkan.

Menurut Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu beliau kesal apabila Prism yang diuruskannya itu dituduh tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi kepada ahli-ahlinya sejak beroperasi kira-kira sembilan tahun lalu.

Katanya, ramai penyanyi dan pemuzik yang bukan sahaja tidak faham dengan cara Prism beroperasi, malah mereka juga tidak mahu datang berjumpa wakil-wakil syarikat itu bagi menjelaskan hak-hak serta bayaran royalti yang sepatutnya mereka terima sebagai ahli syarikat tersebut.

"Pejabat Prism sentiasa terbuka pada waktu pejabat. Mereka (ahli Prism) boleh datang dan kami akan terangkan apa juga yang mereka tidak faham tentang pengagihan royalti yang telah dikutip. "Sehingga kini ada 80 cek royalti ahli-ahli Prism yang belum dituntut. Sebab itu mereka tidak tahu berapakah jumlah royalti yang mereka terima," katanya ketika ditemui Hits di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebagai rekod kata Peng Chu, Prism mula mengutip RM100,000 royalti karya ahli-ahlinya yang dimainkan di tempat-tempat awam seperti pusat-pusat hiburan di mana ia telah pun diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan segelintir artis yang mengatakan mereka tidak tahu cara kutipan serta pengagihan royalti yang telah dilakukan oleh Prism sehingga timbulnya salah faham.

Sebagai contohnya, kes Mawi yang dikatakan hanya menerima RM320 hingga RM400 selepas menjadi ahli syarikat itu sejak hampir empat tahun lalu. Begitu juga dengan Dayang Nurfaizah yang pada mulanya mengalami masalah hampir sama dengan juara Akademi Fantasia 3 itu.

"Kes yang dihadapi oleh Mawi dan Dayang Nurfaizah itu sudah selesai selepas kami menerangkan kepada mereka secara terperinci bagaimana kutipan dan pengagihan royalti lagu-lagu nyanyian mereka dikira oleh Prism.

"Setiap ahli Prism yang berdaftar dan lagu-lagu mereka telah disiarkan di tempat-tempat awam, mereka pasti akan mendapat royalti. Jumlahnya pula bergantung kepada bilangan lagu yang telah didaftarkan dan juga kekerapan ia disiarkan di tempat-tempat awam.

"Setiap tahun kutipan royalti yang kami dapat kumpulkan turut mencatat jumlah yang amat membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Misalnya, untuk kutipan bagi tahun 2006 kami mengutip sebanyak RM375,419," ujarnya.

Beliau juga terkilan dengan dakwaan segelintir artis kononnya mereka tidak tahu cara-cara Prism melakukan kutipan dan pengagihan royalti yang diterima sejak menjadi ahli syarikat tersebut.

"Setiap tahun kami telah mengedarkan penyata jumlah kutipan dan bayaran royalti yang diterima oleh ahli-ahli Prism. Kalau tidak faham datanglah berjumpa kami dan kami akan terangkan," katanya lagi sambil menunjukkan penyata tahunan, jumlah dan bayaran royalti yang dimaksudkannya pada petang itu.

Sehubungan itu, Peng Chu berharap jika ada kalangan penyanyi atau pemuzik yang ingin mendapat sebarang penjelasan lanjut tentang perkara itu atau mahu mengetahui jumlah royalti mereka bolehlah hubungi talian 03-40448299.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: