|
|
WALAUPUN penyanyi utamanya, Jatt mengalami sakit tekak, persembahan Black Dog Bone (BDB) pada Konsert Sumbangsih BDB di Dataran Tanjung Karang, Selangor malam Sabtu lalu tidak mengecewakan.
Dengan disaksikan kira-kira 3,000 penonton terdiri daripada warga Tanjung Karang, Jatt dan BDB berjaya mencuri perhatian para penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Memulakan persembahan dengan lagu hitsnya, Malam Kenangan diikuti Si Gadis Ayu dan Zai, BDB membuktikan mereka masih ramai peminat tidak kira di bandar mahu pun di kampung.
"Memang kami dah lama tidak menyanyi di kampung-kampung tapi bukan bererti kami tak biasa. Pada tahun 70-an dulu di pekan dan kampunglah tempat kami menunjukkan bakat.
"Persembahan malam ini seperti mengimbau nostalgia kami semasa zaman muda-muda dulu. Terima kasih kepada semua peminat dan penganjur yang sudi mengundang kami," kata Jatt sambil memberitahu ini kali pertama beliau dan BDB membuat persembahan di Tanjung Karang.
Mengakui bimbang sakit tekak yang dialami bakal mengganggu persembahannya, Jatt sempat menelan beberapa botol air cap badak untuk menyejukkan tekak sebelum naik ke pentas membuat persembahan.
Dengan mendendangkan lebih 20 buah lagu secara bergilir-gilir dengan anggota kumpulannya, kebijakan Jatt berkomunikasi dengan para peminat berjaya menyembunyikan sakit tekak yang dialaminya.
"Minta maaf malam ini saya sakit tekak. Sebenarnya saya tidak cukup tidur dan rehat kerana setiap Isnin hingga Jumaat kami ada persembahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Tapi saya dan BDB akan mengadakan persembahan sehabis baik apalagi konsert malam ini juga untuk membantu orang kurang upaya (OKU) dan mangsa gempa bumi Padang, Indonesia," jelas Jatt yang nyata menunaikan janjinya sewaktu di atas pentas.
Tambah Jatt, ini adalah kali ketiga pada tahun ini, BDB mengadakan konsert di Malaysia selepas di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Ujarnya, selepas ini BDB akan membuat persiapan untuk konsert di Singapura yang dijangka berlangsung 6 Mac depan.
Selain Jatt, anggota BDB yang membuat persembahan ialah Ishhar (gitar dan vokalis), Michael Heng (keyboard), James Chai (saksafon), Masron Ali (trumpet dan vokalis) serta Hamid Ahmad (gitar) dibantu Danny (trumpet), Sugito (konga) dan komposer terkenal, S. Atan (keyboard).
Persembahan BDB yang berlangsung selama hampir dua jam diakhiri dengan lagu, Khayalan dan Dulu dan Sekarang.
Terdahulu sebelum BDB membuat persembahan, para penonton dihiburkan dengan persembahan artis Puspanada yang menampilkan penyanyi jelmaan A. Ramli, iaitu A. Rozaini dan rakan duetnya, Syafa serta penyanyi kumpulan nasyid terkenal 70-an, Hidayah, Rohayah Mohd. Taib.
Memikat
Sementara itu, penaung program, Datuk Mohamad Shafie Asnawi berkata, kehadiran BDB menyampaikan lagu-lagu nostalgia berjaya memikat para penonton yang terdiri daripada warga Tanjung Karang dan jemputan khas, warga OKU di kawasan itu.
"Kami memilih BDB kerana muzik mereka sesuai dengan konsep program, apalagi para penonton yang hadir juga terdiri daripada pelbagai usia.
"Terima kasih juga kepada penonton yang sudi menghulurkan derma yang kutipannya mencecah RM6,000," kata beliau sambil memberitahu Puspanada turut memberikan CD percuma A. Rozaini kepada penderma yang menyumbang lebih RM20 sebagai cenderamata.
Kemuncak program itu ialah acara cabutan bertuah dan beberapa penderma terpilih telah memenangi hamper dan seorang penderma bertuah iaitu Abdul Kadir Misradi, 17, memenangi sebuah motosikal jenis Honda Wave.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: