Friday, January 1, 2010

Misteri van putih di Times Square


BEBERAPA anggota keselamatan memeriksa sebuah van putih di Times Square, New York kelmarin.

NEW YORK - Sebuah van tanpa nombor pendaftaran diletakkan di Times Square di sini sehingga mencetuskan kebimbangan keselamatan semasa ribuan pelancong sedang melakukan persediaan untuk menyambut tahun baru.

Beberapa minggu selepas polis terlibat dalam kejadian tembakan semasa mengejar seorang penjaja, polis New York membuat sekatan di Times Square selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 11 pagi waktu tengah hari kelmarin.

Skuad bom dan antipengganas dikerahkan ke tempat kejadian selepas pegawai-pegawai diberitahu mengenai van berwarna putih itu yang diletakkan di Broadway.

Dua buah bangunan tinggi yang menempatkan pasaran saham Nasdaq dan syarikat penerbitan Conde West diarahkan dikosongkan.

Namun, penghuninya dibenarkan memasuki bangunan itu pada pukul 1 petang waktu tempatan.

Jurucakap polis New York, Paul J. Browne berkata, tidak ada sebarang bahan letupan ditemui di dalam van itu.

"Ia (van itu) diletakkan di Times Square sebelum sambutan tahun baru menyebabkan kami berasa bimbang mengakibatkan kami mengambil beberapa langkah berjaga-jaga tambahan," katanya.

Van itu didapati membawa pakaian dan rak yang tidak teratur.

Nombor pendaftaran sementara kenderaan itu ditemui tetapi ia telah dipinda. Polis kini mencari pemilik van itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: