Friday, January 1, 2010

2009 cemerlang buat Alyah


ALYAH gembira dalam debar untuk membuat persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-24 pada 10 Januari ini.


MUNGKIN ramai yang menganggap Alyah adalah seorang artis baru yang hendak mengukir nama di persada seni tanah air. Tetapi, jika diselak kembali lembaran seninya, sebenarnya sudah hampir sedekad dia berlayar di lautan seni.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sepanjang tempoh itu jugalah, rintangan dan cabaran yang ditempuhi Alyah memang cukup besar.

Tetapi impak lagu Tak Mungkin Kerna Sayang (TMKS) memang benar-benar melonjakkan nama Alyah sehingga kini dia mampu sebaris dengan penyanyi popular yang lain.

Menyifatkan tahun 2009 merupakan pengakhiran yang gemilang buat dirinya, bibir mulusnya tidak henti melafazkan rasa syukur dengan rahmat yang menyebelahi dirinya sepanjang tahun ini.

"Saya harus akui lagu TMKS banyak merobah hidup saya secara total. Daripada seorang yang tidak dikenali, kini orang sudah kenal siapa Alyah.

"Kalau tidak kerana Ajai dan Habsah Hassan yang berkolaborasi menghasilkan lagu itu, saya percaya saya tidak akan dikenali seperti mana hari ini biarpun sudah hampir sedekad di dalam industri.

"Memang benar. Limpahan rezeki dan populariti yang saya kecapi sekarang semuanya adalah rahmat di sebalik duka yang menyelubungi diri saya sebelum ini," katanya merendah diri sewaktu sesi fotografi baru-baru ini.

Lagu TMKS merupakan single pertama yang dipetik daripada album keduanya yang berjudul Alyah.

Selain lagu tersebut, sebuah lagi lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet dengan pemenang tempat kedua Akademi Fantasia musim keenam, Riz turut mendapat perhatian ramai.

Sekadar menyingkap sejarah, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan ini merupakan juara Bintang HMI 2000 dan pernah merakamkan album pertamanya dengan syarikat rakaman EMI berjudul Permata.

Tetapi, ketika itu dia menggunakan nama komersial, Alya dan entah di mana silapnya, album pertamanya itu tidak mampu membawa namanya ke mercu.

Cerita Alyah lagi, selepas tamat kontrak dengan EMI dia pernah mencuba nasib dengan 'menjual' bakatnya kepada syarikat rakaman lain tetapi malangnya, dia ditolak mentah-mentah.

Namun, dia tidak pernah berputus asa dan mencuba nasib dengan menyertai pertandingan realiti One In A Million musim pertama dan juga Gang Starz.

Tetapi, tidak juga menjadi dan perjuangannya terhenti setakat minggu-minggu awal program tersebut bermula.

Kegagalan

Kemudian, dia mencuba nasib dengan menyertai kumpulan The Fabulous Cats tetapi jodohnya dengan kumpulan itu tidak bertahan lama biarpun popular dengan lagu Papa Jahat ketika itu.

"Semua sudah saya tempuhi. Kegagalan demi kegagalan tetapi saya tidak berputus asa dan kerana itu saya tekad untuk mengeluarkan bajet sendiri merakamkan album kedua ini.

"Malah, sehingga kini saya rasa seperti bermimpi kerana tidak percaya lagu TMKS telah meninggalkan impak yang besar.

"Saya sedar persaingan kini semakin sengit sementelah ramai artis yang lahir daripada program realiti juga, tetapi saya harus bangkit dan perjuangkan apa yang saya perjuangkan selama ini.

"Alhamdulillah. Kini saya sudah nampak hasilnya dan kerana itu saya menganggap tahun 2009 merupakan penutup kepada segala duka yang saya tanggung selama ini," ujar anak kesembilan daripada 12 beradik ini lagi.

Malah, sesekali Alyah tersenyum sendirian apabila memikirkan dirinya seperti seorang artis baru yang hendak mengecapi nikmat populariti.

Jelas Alyah, pelaburannya untuk album keduanya itu benar-benar memberikan hasil yang positif dan baru dia tahu perasaan apabila produknya dihargai serta diiktiraf.

Jika ada yang terlupa, album Alyah pernah disenaraikan sebagai lima calon terbaik dalam kategori Album Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16) yang lalu.

Biarpun tewas kepada Misha Omar yang memenanginya menerusi album Misha Omar tetapi bagi Alyah, setidak-tidaknya dia dicalonkan.

Begitu juga dengan lagu TMKS yang berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) yang akan berlangsung pada 10 Januari ini.

Lagu-lagu tersebut ialah Aurora dendangan Estranged, Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar), Situasi (Bunkface), Pakai Buang (Stacy), Pergi (Aizat) dan Aku Skandal (Hujan).

Tujuh lagu lain yang tidak kurang hebatnya yang terpilih ke AJL24 termasuklah Bencinta oleh Faizal Tahir, Aku Rindu Sayang Kamu (Black), Bengang (Akim), Dan Sebenarnya (Yuna), Kau Aku (Aizat) dan Rindu Terhenti (Tomok).

Kata Alyah, tersenarai ke peringkat akhir sudah memadai baginya membuktikan hasil karya Ajai dan Habsah atau Kak Chah itu ada keistimewaannya yang tersendiri.

Seperti mana yang dikatakannya tadi, jika bukan kerana lagu yang dicipta oleh dua nama besar industri muzik tempatan itu, mustahil lagu itu meninggalkan impak yang besar sehingga dirinya dikenali ramai hari ini.

"Inilah yang dikatakan tuah dan ia datang tepat pada waktu ketika saya mahu menjenamakan diri saya semula di dalam industri.

"Gabungan Ajai dan Kak Chah merupakan kolaborasi yang sangat mantap di mana melodi dan liriknya merupakan adunan yang cukup menjadi.

Dan, jujurnya lagu ini juga bukan mudah sebenarnya untuk dinyanyikan dan ia benar-benar mencabar vokal saya," kata Alyah yang merujuk kepada rejim senaman oleh Celine Dion dan Madonna untuknya memiliki stamina yang baik dalam membuat persembahan di AJL24 nanti.

Dalam masa yang sama, Alyah tidak mampu menyembunyikan perasaan gementarnya untuk beraksi di pentas akhir AJL24 yang baginya satu mimpi yang akhirnya bertukar realiti.

Ini kerana dia bimbang dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama dilakukannya pada peringkat separuh akhir lalu apabila dia kelihatan tertekan sewaktu membuat persembahan.

Dengan penuh jujur Alyah memberitahu, ketika itu dia cukup tertekan dengan pelbagai masalah yang menimpanya sehari sebelum separuh akhir sehingga dia sendiri tidak cukup tidur mengenangkan masalahnya.

"Pada masa itu, orang gaji saya pulang ke kampung halamannya di Indonesia dan anak angkat saya, Naziatul Afiqah yang berusia setahun pula meragam kerana rapat dengan orang gaji saya itu.

"Sekarang anak saya berada di rumah kakak saya bersama orang gaji saya itu dan saya bolehlah fokus kepada persembahan saya," kata anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini sambil ketawa kecil. Alyah turut memiliki seorang lagi anak angkat bernama Muhammad Alif yang berusia tiga tahun.

Walaupun 2009 baru melabuhkan tirainya, Alyah mahu melihat semua pahit dan manis yang berlaku sepanjang tahun lalu akan diabadikan dalam diari hidupnya.

"Seboleh-bolehnya saya enggan lagi menoleh ke belakang dan memikirkan perkara yang buruk serta negatif yang telah menimpa saya.

"Impian saya adalah mahu terus sukses dalam karier serta mahu terus menghasilkan lagu dan album," jelas Alyah yang masih mahu mengekalkan khidmat Ajai sebagai salah seorang komposer untuk albumnya yang akan datang selain Azlan Abu Hassan, Julfekar dan Cat Farish.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: