Saturday, October 3, 2009

Leina Hangat semakin bahagia

Penyanyi dangdut, Norazlina Abdul Rahman atau lebih popular dengan gelaran Leina Hangat, mengakui hidupnya kini semakin bahagia dan sempurna di samping suami tercinta, Mohd Zaipul Bahari, 35. Dia yang suatu ketika dulu pernah menolak jodoh dengan lelaki Melayu akhirnya akur yang perkahwinan keduanya dengan bangsa sendiri lebih membahagiakan biarpun usia perkahwinan mereka masih baru.

“Dulu hidup saya tak lengkap, tak ada hala tuju. Tapi bila dah kahwin dengan dia, hidup saya banyak berubah. Dia tahu tentang hukum-hakam agama, dan banyak memberi tunjuk ajar pada saya.

“Dia juga banyak menasihati saya. Apa yang dia tak suka, dia akan tegur, misalnya, dia tak suka kalau saya terlalu ‘over’ dan minta saya bersikap sederhana dalam semua hal. Dia juga pernah tak halang saya menyanyi, asalkan saya tahu batas-batasnya,” katanya yang pernah berkahwin dengan jejaka mat saleh. Namun perkahwinannya itu hanya mampu bertahan seketika sahaja.

Menurut Leina, sejak berkahwin, tanggungjawabnya juga semakin bertambah. Selain memenuhi jadual seninya, dia juga akan memastikan tanggungjawab terhadap suami dilaksanakan dengan baik.

“Walaupun suami saya ni tak banyak cakap, tapi dia ni cerewet bab makan. Ikan misalnya, nak garing-garing. Dan dia juga suka makanan yang berkuah, tak kisah lah gulai atau kari. Biasanya, sebelum keluar rumah, saya akan masak dulu makanan untuk dia. Memanglah dia tak paksa saya masak, tapi sebagai isteri saya nak rasai pengalaman itu.

Beraya dengan suami di KL

Tahun ini sangat bermakna buat Leina kerana setelah lama keseorangan, dia kembali menyambut lebaran bersama suami. Bagaimanapun, raya tahun ini dia tidak berpeluang pulang ke kampung kerana suaminya terikat dengan tugas sebagai Pegawai Kerajaan di Kementerian Perdagangan.

“Tahun ini, suami tak dapat cuti raya. Jadi kami tak balik kampung. Ingatkan bolehlah balik JB ataupun rumah mentua di Kelantan. Tapi nampaknya, tak ada peluang dan kami berdua raya di KL saja. Mungkin lepas raya kami balik kampung menjenguk mereka. Sedih tu memanglah sedih, sebab ini kali pertama saya tak dapat balik kampung.

“Pagi raya saya masak nasi bukhari untuk suami saya, sebab itu memang kegemaran dia. Selain itu, saya juga ada buat rendang daging dan udang masak sambal. Seronok sangat, sebab inilah kali pertama saya sediakan juadah raya untuknya,” katanya.

Idamkan cahaya mata

Seperti pasangan lain, Leina juga mengidamkan zuriat sendiri. Walaupun usianya sudah menginjak 37 tahun, namun hasratnya untuk memiliki cahaya mata tidak pernah padam.

“Kita dah berusaha. Kalau ada rezeki, adalah. Memanglah saya teringin sangat nak anak, Tapi buat masa ini masih belum ada rezeki,” kata penyanyi yang berasal dari Johor Bahru ini.

Bertanyakan perkembangan seninya, kata Leina dia masih menerima undangan persembahan untuk majlis-majlis tertentu meskipun zaman glamornya sudah berakhir.

“Alhamdulillah, lepas kahwin ni rezeki semakin bertambah. Walaupun dah tak glamor macam dulu, tapi ‘job’ tetap ada.

"Tak keluar TV atau majalah, tak bermakna kita tak ada show. Saya tak kisah tentang bayaran. Kalau dibagi, RM300 atau RM500 sekalipun saya tetap terima,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: