Walaupun hanya berpeluang mencandat kurang setengah jam, pengalaman dilambung ombak tetap mengujakan.
TIUPAN angin yang dirasai ketika berdiri di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, Terengganu itu luar biasa derasnya. Bot-bot menangkap ikan yang dicat dengan warna terang dan perahu kecil teroleng-oleng, mengikut alunan ombak yang ada kalanya terasa tidak mesra.
Walaupun hari baru menunjukkan jam 4 petang, teriknya hanya menjengah sekali sekala. Matahari nampaknya lebih banyak terlindung di sebalik awan-awan besar berwarna kelabu.
Biarpun begitu keadaannya, ia langsung tidak menghalang wajah-wajah asing daripada memenuhi lokasi yang menjadi punca anak tempatan negeri pantai timur mencari rezeki.
Dari jauh, sudah dapat didengar keriuhan suara mereka. Majoritinya memakai baju kemeja-t berwarna sedondon. Baju merah, biru dan oren pun ada. Sementara di leher tergantung tag yang memberi petunjuk nombor bot dan bakal membawa mereka menuju ke tengah laut.
Petua
Semuanya begitu bersemangat untuk menyertai program TM Cabaran Candat Sotong 2009 Sirkit 3 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan. Sebenarnya, Dungun menjadi lokasi terakhir selepas sirkit pertama diadakan di Marang, diikuti sirkit kedua yang telah berlangsung di Kuala Terengganu.
Tanpa melengahkan masa, jaket keselamatan yang masih baru itu dipakai ketat di badan. Manakala tangan pula memegang umpan tiruan berbentuk ikan dan udang yang diikat pada gulungan tali tangsi.
Memandangkan ramai wakil media yang hadir tidak pernah mencandat sotong, banyak sekali petua yang kami terima. Pertamanya, jangan makan terlalu banyak atau terlalu sedikit kerana dibimbangi akan mabuk laut. Bukan itu sahaja, hidangan minum petang kami juga disudahi dengan sebutir pil tahan mabuk.
Kami perlu menaiki sebuah bot laju sebelum berpindah ke bot yang lebih besar. Jaraknya tidaklah jauh, tetapi ramai juga yang basah kerana percikan ombak. Selepas menaiki bot besar, kami mencari lokasi terbaik untuk duduk dan menempuh perjalanan selama hampir 45 minit.
Laut terus bergelora dan sesekali bot dilambung keras, membuatkan saya terpaksa berpegang kemas pada tempat duduk agar tidak terjatuh.
Tampal koyok
Melihat semakin ramai tidak dapat bertahan, muncul lagi satu petua daripada seorang rakan.
Muhamad Rafi Kori, pengurus acara dari Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MPTNT), menghulurkan sekeping koyok kepada semua orang. "Tampal pada pusat. Boleh elakkan mabuk laut," katanya bersungguh-sungguh.
|
|
Tiba-tiba, enjin bot diesel yang membingitkan telinga itu dimatikan. Sauh diturunkan, menandakan sudah sampai di lokasi yang dianggap paling sesuai untuk mencandat sotong.
|
|
Melemparkan pandangan ke kiri dan kanan, rupa-rupanya kami dikelilingi oleh bot-bot yang lain. Melihat kepada jumlah bot yang banyak, sotong pada hari itu pasti berasa takut.
Sedaya upaya mengimbangi badan, saya bergerak ke bahagian tepi bot. Dengan yakin, umpan tiruan dicampak ke laut sambil melihat gulungan tali tangsi berpusing laju ditelan air laut yang semakin gelap warnanya.
"Arus laut laju, kena letak pemberat. Kalau tidak, jauh baru umpan sampai ke dasar laut. Macam mana nak tarik perhatian sotong," kata seorang 'anak kapal' sambil tersenyum.
Umpan
Tali tangsi digulung semula. Selepas diikat dengan pemberat sebesar ibu jari, umpan itu dilepaskan semula dengan harapan ia mengena sotong bersaiz luar biasa.
Begini cara mencandat sotong. Selepas umpan dirasakan sudah berada di dasar laut, anda perlu menarik dan melepaskan tali tangsi itu secara konsisten. Kalau boleh, jangan berhenti sehinggalah umpan terasa berat kerana disambar sotong.
Pergerakan itu dibuat supaya sotong akan tertarik dengan umpan yang kelihatan seperti anak ikan atau udang hidup.
"Buat macam ini sahaja. Tangan lenguh itu biasalah. Kalau sotong sudah makan umpan, tali akan rasa berat sedikit. Jangan risau, bila terkena mata kail, sotong tidak akan terlepas," tambah lelaki berkulit gelap itu, tersenyum lagi.
Saya bertambah semangat apabila Rafi dengan bangga menunjukkan seekor sotong yang berjaya dicandatnya. Agak lama melayan umpan, baru saya perasan tidak ramai yang ghairah mencampak umpan untuk mencandat.
Rupa-rupanya, dimulakan dengan seorang, 'penyakit' muntah akibat mabuk laut sudah berjangkit kepada tiga orang. Ini bukan muntah main-main. Rakan yang mabuk itu kelihatan sangat lemah dan memaksa bot untuk pulang ke jeti serta-merta. Punah sudah harapan untuk mencandat sotong. Bukanlah satu rekod yang boleh dibanggakan, saya hanya sempat mencandat kurang setengah jam tanpa mendapat sebarang hasil.
Dalam perjalanan pulang, cuaca semakin gelap dan hujan pun mula turun. Sebaik sahaja sampai di jeti, rakan yang muntah teruk itu terus diberi rawatan oleh seorang doktor.
Keesokan harinya, wakil media bertemu sekali lagi dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Zaabar Mohd. Adib.
"Pagi tadi saya ada dengar orang kampung bercerita. Pelik juga bila tengok orang pergi mencandat sotong dalam keadaan cuaca sebegitu. Kalau cuaca buruk, mereka sendiri pun tidak berani turun ke laut," katanya, sambil disambut ketawa.
Itulah hebatnya orang Kuala Lumpur. Sesekali turun ke laut, ribut taufan pun berani diharungi demi mendapat kepuasan mencandat dua tiga ekor sotong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: