Berasaskan reputasi sedia ada, ternyata bukanlah satu masalah besar untuk Proton meyakinkan warga bumi Kanggaru bahawa mereka berhadapan dengan pilihan yang terbaik.
SEJAK tahun 1996, Proton sudah mula bertapak di Australia dengan pengenalan model Wira. Namun seperti mana nama-nama pemain baru dalam industri automotif, Proton tidak mendapat posisi yang baik dalam pasaran Australia.
Malah, pasaran kereta ini semakin perlahan akibat krisis ekonomi dunia setahun selepas itu. Tidak banyak lagi model yang boleh dijadikan kayu pengukur di Australia di mana kereta sedannya masih lagi dikuasai oleh Toyota Corolla dan Holden Barina.
Segalanya kelihatan sedikit berubah pada tahun 2003 apabila Proton Arena mula diperkenalkan di benua tersebut. Dikenali dengan nama Jumbuck, ia merupakan kenderaan yang menepati 'piawaian' segmen pasaran unik Australia. Berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang meminati SUV dan trak pikap, di Australia pikap popular mereka adalah kenderaan berdasarkan platform kereta, juga disebut utility atau utes.
Holden Commodore adalah contoh utes yang berjaya dari sudut segmen pasaran baru. Kenderaan ini pula bukanlah kecil, ia dikuasakan enjin sehingga sebesar 5.7 liter, bentangan V8.
Sedangkan Jumbuck yang lebih kompak dan kecil dikuasakan oleh enjin 1.5 liter. Faktor yang membuatkan orang tidak boleh menolak Jumbuck adalah harganya cuma AUD15,500 (RM44,868), sepertiga dari harga jualan utes bersaiz lebih besar.
Baru-baru ini, Proton Australia mengumumkan untuk membawa masuk model Saga pada tahun 2010. Model terakhir yang menjengah ke pasaran Australia ialah Savvy 1.2. Hatchback kecil yang dijual pada harga bermula AUD14,000 (RM40,526).
Dengan keadaan ekonomi semasa yang lembap, kemasukan Saga ke pasaran kereta sedan Australia memang dilihat sebagai sesuatu yang tepat pada masanya. Walaupun dikhaskan untuk pasaran tahun depan namun, ia akan dipasarkan empat bulan lebih awal, iaitu pada Oktober akan datang.
Pembeli memerlukan sebuah kereta yang murah dan mudah dijaga. Dengan reputasi sedia ada Proton di Australia, ternyata bukanlah satu masalah besar untuk ia meyakinkan warga bumi Kanggaru itu bahawa mereka berhadapan dengan pilihan yang terbaik.
Sejak 14 tahun yang lalu, sebanyak lebih 25,000 kenderaan Proton telah terjual di Australia. Mereka memiliki pasaran, walaupun kecil namun tetap berpengaruh.
John Startari, Pengarah Urusan Proton Cars Australia dalam kenyataan akhbarnya mendakwa walaupun prestasi Proton di Australia tidak seperti yang diharapkan, ia sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada syarikat induknya di Malaysia.
Mereka juga berjanji untuk membawa jenama Proton lebih jauh dalam pasaran benua tersebut. Kaedah pemasaran dan servis selepas jualan akan terus diperkukuh sementara pelantikan pengedar baru hanya akan dilakukan kepada mereka yang layak.
Proton Australia juga mendapat respons daripada pengedar baru mereka yang mendakwa akan menjual model entry level yang kian mendapat sambutan.
Proton Saga akan diperkenalkan dengan spesifikasi enjin Campro 1.6. manual dan automatik, sementara spesifikasi 1.3 akan diperkenalkan pada Februari 2010. Walaupun tidak mensasarkan harga jualan, namun indikasinya ia bakal lebih murah daripada Savvy, dan sudah pastinya menjadi yang termurah di Australia.
Saga akan berhadapan dengan saingan daripada kereta penumpang buatan China seperti Chery yang dipasarkan oleh Ateco Automotive. Begitu juga Suzuki Alto yang dipasang di India yang akan diperkenalkan pertengahan bulan hadapan.
Bagaimanapun, perbandingan satu lawan satu masih menempatkan Saga sebagai pendahulu baik dari spesifikasi enjin mahupun saiz, ruang dan faktor keselamatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: