|
|
|
|
KUALA LUMPUR - Pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza dianggap sebagai pasangan disyaki berkhalwat kerana mereka mengambil masa yang lama iaitu lebih setengah jam sebelum pintu premis dibuka.
Demikian keterangan Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Abdul Rahman Lai Abdullah semasa pemeriksaan semula oleh Pegawai Pendakwa Syarie, Muhammad Nazri Basrawi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.
Abdul Rahman, saksi pertama pendakwaan, memberi keterangan dalam perbicaraan Norman, 33, dan Memey, 21, yang didakwa berkhalwat pada pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini.
Nazri: Berapa lama kamu ketuk pintu di premis bawah?
Abdul Rahman: Lebih setengah jam. Kami ketuk pintu jeriji menggunakan mangga berkali-kali dalam tempoh tersebut.
Nazri: Kamu pasti orang di dalam premis boleh dengar?
Abdul Rahman: Saya pasti boleh dengar.
Nazri: Kamu kata semasa pintu dibuka, tertuduh perempuan (Memey) sedang duduk di kaunter. Ada kamu tanya kenapa dia tidak buka pintu?
Abdul Rahman: Saya tak tanya, ada anggota lain yang tanya.
Nazri: Ada kamu tanya abang tertuduh (Mohamed Sofi Zaidon) kenapa datang ke situ?
Abdul Rahman: Ada, dia kata tertuduh perempuan telefon dan beritahu ada orang datang buat serbuan.
Nazri: Mengapa kamu mengatakan tertuduh lelaki dan tertuduh perempuan sebagai pasangan disyaki?
Rahman: Saya kata mereka disyaki kerana pada pukul 2 hingga 2.30 pagi kedua-dua tertuduh enggan buka pintu.
Nazri: Boleh jelaskan?
Rahman: Tempoh masa mereka bersama-sama dalam premis menyebabkan saya membuat andaian begitu. Tempoh masa yang lama itu juga membolehkan pelbagai kemungkinan berlaku antara pasangan tersebut.
Terdahulu, semasa sesi soal balas oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, Abdul Rahman yang mengetuai operasi serbuan menafikan ada membuat kenyataan media berhubung penangkapan pasangan itu.
Saksi itu menjelaskan anggota penguat kuasa dilarang membuat kenyataan berhubung apa-apa kes.
Fakhrul Azman: Kamu tahu seorang anggota penguat kuasa bernama Khairul Nizam telah membuat kenyataan di televisyen?
Abdul Rahman: Tidak.
Fakhrul Azman: Saya katakan Khairul Nizam ada membuat kenyataan berhubung kes ini di rancangan Galaksi yang disiarkan di TV9?
Abdul Rahman: Saya tidak biasa tonton TV, saya tak tahu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim bersambung 28 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: