Saturday, April 25, 2009

Mencuit hati pendengar

Sudah menjadi satu fenomena apabila kebanyakan kebanyakan stesen radio memilih pelawak untuk menghibur pendengar.


TIGA orang selebriti komedi ini lebih selesa digelar penghibur dan penyeri radio.


'INILAH masa yang ditunggu-tunggu, Drama Sebabak...Riuh Pagi di Era bersama Aznil dan Din Beramboi.' Pendengar setia pagi di Era, pasti sudah mengenali ungkapan yang saban hari disiarkan tepat pukul 8.30 pagi.

Sketsa pendek ala-ala drama radio itu cukup menggeletek hati apabila pendengar berlakon bersama penyampai radio yang lucu, Aznil Nawawi dan Din Beramboi.

"Saya lebih selesa digelar penghibur radio berbanding penyampai radio," jelas Din Beramboi, 43, yang menyatakan tugasnya lebih praktikal sebagai penghibur. Ini kerana dia perlu menghiburkan pendengar dengan celoteh dan jenaka.

Ternyata kenyataan tersebut benar sama sekali. Sepanjang sesi temu bual berlangsung, Din Beramboi dan rakan seperjuangannya, Salih Yaacob, 48 dan Raja Azura, 37, sentiasa berjenaka dan mengusik sesama sendiri.

Gerak tubuh dan kata-kata yang dilontarkan menyelitkan unsur komedi.

Walaupun bertugas di stesen radio yang berbeza tetapi mereka bertiga lahir daripada status yang sama iaitu pelakon, pengacara dan pelawak.


GANDINGAN Aznil Nawawi (kiri) dan Din Beramboi berjaya menggeletek hati pendengar setia radio Era pada pagi hari.





Mengapakah selebriti bergelar pelawak kini dipilih menyerikan konti? Apakah penyampai radio yang sedia ada tidak mampu menambat hati pendengar?

Ia seperti menjadi satu fenomena atau strategi baru kebanyakan stesen radio untuk memilih pelawak atau sekurang-kurang DJ yang bijak menggeletek hati pendengar mereka pada waktu puncak siaran.

Sekadar menyebut beberapa nama lain, DJ yang mempunyai ciri-ciri itu termasuklah Abby Fana di Sinar.FM, Faizal Ismail dan Fara Fauzana di Hot.FM.

"Tidak pernah timbul isu pelawak lebih bagus berbanding penyampai radio biasa.

"Cuma kami mempunyai kelebihan berjenaka, di samping berinteraksi bersama pendengar," jelas Din Beramboi ketika ditemui Kosmo! di konti radio Era, Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Menurut Din Beramboi, mengupah pelawak sebagai penyampai radio banyak kelebihannya.

"Kami mampu melakukan jenaka tanpa rasa segan dan teragak-agak. Termasuklah berkebolehan mengajuk percakapan, meniru suara haiwan atau melakukan suara hantu dan sebagainya.

"Adanya penghibur radio seperti kami pendengar bukan sahaja berpeluang mendengar koleksi lagu yang dimainkan. Malah, boleh menjadi halwa telinga dan mengurangkan tekanan kerja atau kesesakan lalu lintas menerusi lawak komedi kami," jelas Din yang mahir bertutur pelat orang Cina, India dan Singh.

Din Beramboi atau nama sebenarnya, Mior Ahmad Mior Badri merupakan anak kelahiran Sungai Besi, Selangor. Menurut Din, nama Din Beramboi diperoleh selepas dia menghasilkan majalah kartun Din Beramboi kira-kira 11 tahun lalu.

Namun majalah tersebut hanya mampu bertahan selama dua tahun saja di pasaran.

Mengutip pengalaman hampir dua dekad dalam bidang penyiaran banyak membantu dan menjadikan Din Beramboi antara bintang seni yang cukup versatil.

Berbekalkan bakat semula jadi, kesungguhan dan daya kreativiti melawak membuatkan Din Beramboi menjadi pilihan pelbagai produksi.

Terbaru, nama Din Beramboi kembali meniti di bibir orang ramai apabila menyertai radio Era yang masih bertahan sebagai stesen radio nombor satu negara.

Menyusuri perjalanan karier pelawak itu sebelum bersama radio Era, bapa kepada tiga anak ittu terlebih dahulu bertugas sebagai penyampai radio di stesen Time Highway Radio (THR), selama lapan tahun.

Meskipun pada ketika itu format radio tersebut agak serius dan informatif, Din tetap melatih diri supaya bersiap sedia dengan jenaka yang mencuit hati tanpa memerlukan sokongan dan bantuan seperti buku, akhbar atau Internet.

Namun begitu, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu mendidik dirinya supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa.

Ini bagi mengelakkan lawak yang disampaikan kelihatan bodoh dan tiada hala tuju.

Bertugas di Era memerlukan Din kreatif mencipta lawak yang menghiburkan. Semuanya dilakukan supaya ia bersesuaian dengan jiwa pendengar yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.

"Seperti penyampai radio yang lain, saya juga tidak terlepas mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak majikan. Ini bagi mengelakkan timbulnya isu yang boleh mengundang ketidakpuasan hati orang ramai.

Secara dasarnya, Din menyifatkan dia memikul tanggungjawab berat kerana gelaran pelawak yang sebati dengan dirinya.

"Di televisyen penonton mudah memahami lawak yang disampaikan kerana ia disusuli dengan mimik muka dan bahasa tubuh. Tapi, di radio kami perlu berusaha menzahirkan lawak menerusi suara dan cara pertuturan," tambah Din yang juga merupakan hos Wakenabeb! dan Apa Ke Halnya yang disiarkan menerusi TV9 bersama Os dan Shamsul Ghau Ghau.


DIN BERAMBOI kembali menghangatkan suasana pagi dengan Drama Sebabak di Era.


Bertugas pada segmen Sinar Pagi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi di Sinar.FM, Raja Azura dan Salih Yaacob, melengkapkan trio mereka dengan seorang lagi DJ popular, Khairil Rashid.

Bagi Salih Yaacob, Khairil adalah penyampai radio sebenar berbanding dirinya.

"Selain memutarkan lagu, Khairil akan memberi info, bermain kuiz bersama pendengar dan mengendalikan mesin-mesin konti.

"Saya pula penghibur ketika kami membincangkan topik yang dipilih. Mungkin secara zahir, tugasan ini nampak mudah, hakikatnya, ia berat dilaksanakan kerana perlu memastikan setiap lawak perlu mempunyai mesej," tegas Salih yang popular dengan gelaran Abang Jem di Sinar.FM.

Mengulas mengenai tarikan pelawak di konti radio, bapa kepada 10 anak itu memberitahu, ia dapat mengajak para peminat, mendengar celotehnya di radio Sinar FM.

"Tawaran lakonan atau pengacara tidak sehebat seperti sebelum ini.

"Jadi kepada para peminat yang merindui lawak jenaka saya maka radio merupakan medium perhubungan yang terbaik," kata pelakon filem Jejaka Perasan itu lagi.

Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau lebih popular dengan gelaran Kak Engku pula, melahirkan rasa terharu kerana pihak AMP Radio Netwoks menyedari bakat sampingannya selain berlakon, mengacara dan menyanyi.

Sejak berkecimpung dalam bidang seni pada usia 15 tahun, gelaran penyampai radio tidak pernah tercatit dalam diari seninya.

Namun, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak menyangka celoteh dan aksi komedinya mencipta resolusi kerjaya baru buat dirinya.

"Pengalaman berinteraksi dan berjenaka dengan orang ramai membuatkan saya yakin beraksi menerusi radio.

"Bagi melahirkan suasana ceria dan lucu, saya, Salih dan Khairil akan berbual dan membincangkan topik secara santai. Seperti kami sedang berbual-bual dengan teman-teman," ujar Kak Engku yang menyifatkan bukan semua pelawak mampu berjenaka di radio.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: