|
| SELEPAS menjayakan pementasan di pantai timur, usaha Kumpulan Teater Elit untuk meneruskan pementasan drama berkonsep Islam diteruskan di Lembah Klang. |
Terbaru teater yang mengangkat kisah junjungan nabi besar kita, Nabi Muhammad s.a.w, Menunggu Kata Dari Tuhan karya Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman bakal dipentaskan di Auditorium Muzim Negeri Selangor, Shah Alam pada jam 9 malam bermula 29 April hingga 3 Mei ini.
Menurut Dinsman, pihaknya meneruskan usaha mementaskan teater berkenaan berdasarkan maklum balas diterima daripada beberapa pihak mengenai karya yang diadaptasi daripada hadis riwayat Bukhari dan Muslim itu.
"Kami masih mengekalkan jalan cerita yang sama dengan barisan pelakon asal iaitu Sabri Yunus sebagai Ka'ab Malik diiringi penggesek biola, Sani Sudin. Cuma mungkin berlaku beberapa perubahan atau mungkin diringkaskan sedikit jalan penceritaannya.
"Kami juga merancang melakukan kejutan dari segi teknik pencahayaan.
"Ketika mengadakan dua persembahan di Kelantan sempena Majlis Santapan Diraja dan pementasan terbuka di Dewan Pementasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kota Bharu pada Mac lalu kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada penonton terutama ketika pementasan di DBP yang disaksikan oleh kebanyakan mahasiswa di sana.
"Kami juga mengadakan sesi diskusi selepas pementasan dan maklum balas di sana menjadi landasan untuk kami memperbaiki kelemahan," katanya.
Sementara itu, penerbit teater berkenaan, Wan Omar Ahamad atau lebih dikenali Sutung Umar Rs berkata pementasan itu bukan bersifat hiburan murahan.
Di samping penghayatan pementasan itu turut membawa penonton mempelajari hadis Nabi.
"Pementasan ini membuka satu ruang baru untuk perbincangan mengenai Islam. Saya harap organisasi kerajaan dan swasta dapat turut serta dalam pementasan teater ini.
"Malah, mengambil inisiatif untuk terbabit memandangkan pementasan teater bercorak Islam ini adalah sebahagian daripada dakwah dalam bentuk hiburan.
"Jika tiada aral dengan pembabitan organisasi terbabit kami merancang untuk menjayakan pementasan ini di seluruh negara dan beberapa institut pengajian tinggi," katanya.
Dia yang pernah membabitkan diri dalam pementasan teater sejak 1970-an bersama Kumpulan Teater Elit turut merancang mementaskan satu lagi teater bercorak Islam yang mengangkat kisah Nabi Yusof juga menerusi karya Dinsman pada masa akan datang.
Begitupun peruntukan kewangan yang terhad mungkin membantutkan hasrat pihaknya itu.
Mengulas lanjut mengenai teater Menunggu Kata Dari tuhan, dia memaklumkan teater berkenaan mengisahkan Ka'ab Malik, seorang sahabat Nabi Muhammad. Ka'ab ketika itu berdepan dilema kerana tidak dapat memberi alasan yang kukuh apabila tidak dapat turut serta dalam peperangan Tabuk.
Rasulullah ketika itu mengetuai peperangan Tabuk menentang Rom.
Ketika zaman Rasulullah semua individu perlu berperang. Begitupun ada segelintir daripadanya enggan berperang dan bertemu Rasulullah untuk memohon maaf dan menyatakan alasan masing-masing kerana tidak mahu terbabit dalam peperangan.
Ka'ab berdepan dilema apabila tidak mempunyai alasan yang kukuh terbabit dalam perang itu.
Ka'ab kemudian meminta petunjuk daripada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi dilema yang menghantuinya itu.
Pelbagai dugaan dan ujian dilalui Ka'ab sepanjang tempoh berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: