KUALA LUMPUR - Dino Rais, anak kedua Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sah bercerai talak satu dengan pasangannya, Riza Ainurin Ramlan di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas hanya setahun lebih berkahwin.
Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin mengesahkan perceraian tersebut setelah Dino, 30, melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya itu.
Terdahulu, bagi permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Dino, Mohd. Yunus memutuskan pasangan tersebut masih suami isteri yang sah selepas lafaz cerai taklik oleh perunding teknologi maklumat itu pada 12 dan 25 Disember lalu tidak boleh disabitkan.
Mahkamah kemudian membenarkan Riza, 24, yang diwakili peguam syarie, Roslizam Rahim meneruskan tuntutan cerai fasakh yang telah difailkan sebelum ini namun sekiranya mereka ingin bercerai secara baik, mahkamah mahu ia diteruskan.
Dino dan Riza bersetuju dengan cadangan mahkamah untuk bercerai secara baik dengan talak satu dan Riza diperintahkan menjalani edah tiga kali suci.
Sejurus selesai prosiding, Dino dan Riza yang hadir bersendirian saling bersalaman sebelum mereka beredar.
Pasangan itu berkahwin pada 10 November 2007 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki berusia enam bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: