RAMBUT kerinting, tahi lalat besar di pipi kanan, kuku panjang di jari kelingking kanan serta kasut but kuning telah menemani Phua Chu Kang menjalankan tugas menghiburkan penonton Singapura dan Malaysia selama 10 tahun.
Kontraktor popular dari Singapura itu yang dijayakan oleh Gurmit Singh bagaimanapun telah menamatkan sitkom Phua Chu Kang Pte Ltd pada 11 Februari 2007.
Ramai yang sedih terutama peminat Malaysia. Tiada lagi gelagat Phua Chu Kang dan isterinya, Rosie (Irene Ang), adiknya, Anthony Phua Chu Beng (Pierre Png) serta adik iparnya, Margaret Phua (Tan Kheng Hua) menghiburkan mereka.
Namun, Gurmit telah membuat keputusan untuk meneruskan legasi dan membuka sebuah syarikat baru di Malaysia. Diberi nama Phua Chu Kang Sdn. Bhd., siri komedi itu akan menemui audiens pada setiap Rabu bermula 25 Mac lalu.
Dalam versi terbarunya, Phua Chu Kang yang lebih dikenali sebagai PCK telah meninggalkan Singapura dan membina kehidupan di Malaysia. Dia kemudian bekerjasama dengan Izzy (Harith Iskander) untuk membuka syarikat pembinaan.
Kalau di Singapura, PCK perlu berdepan dengan masalah keluarganya, versi di Malaysia pula melihatkan dia bergaduh mengenai perbezaan budaya kedua-dua negara.
Bagi Gurmit dan Irene ini adalah babak baru dan mereka berasa bangga untuk memulakannya di Malaysia. Sungguhpun begitu, mereka masih lagi bercerita sedikit sebanyak syarikat di Singapura itu.
"Siaran di Singapura memang sudah tamat. Tapi di Malaysia kami memulakan cerita dengan berpindah dari Singapura untuk membina hidup baru di Malaysia bersama Rosie. Adik saya, Chu Beng pula menjaga dan mengurus pejabat saya di Singapura. Anak kami, Romeo dan Crystal pula dijaga oleh Ah Ma dan Margaret," kata Gurmit.
Memulakan tayangan PCK Pte Ltd 10 tahun lalu, siri komedi ini pernah memenangi 18 anugerah. Tidak mendapat sokongan penaja pada mulanya, Gurmit memberitahu syarikatnya juga tidak yakin sitkom ini mampu bertahan begitu lama.
Namun, mengapa mereka memilih untuk menamatkan PCK Pte Ltd selepas lapan musim yang berjaya?
"Banyak sitkom di TV tamat selepas bermusim-musim ditayangkan dan tidak lagi mendapat sambutan.
"Jadi kami mahu menamatkan PCK Pte Ltd semasa di ambang kejayaan. Kami mahu audiens mengingati kami semasa berjaya. Ramai orang terutama krew menangis pada episod akhir yang kami rakamkan khas selama satu jam," ujar Gurmit.
Walaupun telah membuat keputusan untuk menamatkan PCK Pte Ltd, Gurmit bersetuju untuk menjayakan watak PCK sekali lagi kerana merasakan PCK telah menyentuh jiwa ramai audiens di Malaysia. Jadi sebagai tanda terima kasih, Gurmit bersetuju dengan produksi kali ini.
"Saya tahu saya mempunyai ramai peminat di Malaysia. Maka, selepas beberapa bulan menamatkan PCK Pte Ltd, saya berpendapat bahawa dapat menyambung PCK dan tidak lama kemudian, saya mendapat tawaran bekerjasama dengan produksi Malaysia.
"Saya yakin dengan pasaran Malaysia kerana setiap kali saya datang untuk menjayakan persembahan korporat, semua orang naik 'gila' melihat saya. Daripada 10 orang, sembilan orang di Malaysia akan memanggil saya PCK.
"Bukan senang bagi seorang India memainkan watak Cina dengan jayanya, jadi rancangan terbaru ini sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka yang selama ini menyokong PCK" kata Gurmit yang berketurunan India, Cina dan Jepun.
Berasa cemas apabila menerima tawaran ini, Irene pula tidak sangka dia boleh berbaik dengan pelakon Malaysia walaupun pada hari pertama bertemu. Keserasian mereka telah memudahkan serta mempercepatkan proses rakaman.
Memberitahu memegang watak Rosie seperti sedang melalui cuti sekolah, Irene pada mulanya tidak dapat menerima penampilan yang dibuat ke atas dirinya. Memiliki rambut pendek, Irene merupakan pemain pedang dan mewakili negaranya untuk sukan SEA.
"Apabila transformasi dilakukan, saya sendiri terkejut melihat diri saya di cermin. Semua pelakon lain tidak berhenti ketawa. Disebabkan itulah saya mengambil keputusan untuk menerima dan menjadikan fesyen itu lebih menonjol," katanya yang ditampilkan dengan pakaian dan aksesori berwarna-warni.
Selepas lapan musim, Gurmit mengaku dia ada kalanya penat untuk melakonkan wataknya kerana PCK seorang yang aktif.
Namun, dia tidak pernah berasa jemu dengan PCK kerana wataknya itu membolehkan dia mencuba pelbagai benda baru.
Disebabkan terlalu mencintai watak PCK, Gurmit telah membeli semua aksesori asal yang dipakainya selama 10 tahun apabila rakaman di Singapura tamat. Barangan itu kini digunakan semula untuk PCK Sdn. Bhd.
"Selama 10 tahun ini, saya hanya bertukar empat rambut palsu. But (kasut kuning) yang dilihat hari ini adalah yang asal sejak 10 tahun lalu. Malah selepas tamat rakaman di Singapura, saya membeli but, rambut palsu, seluar, baju dan tahi lalat sebagai kenangan diri," jelasnya yang berkemungkinan besar akan dilihat dalam filem PCK.
Siri komedi pertama Adibah
Adibah Noor yang menjayakan watak ibu kepada Izzy, Fatimah menerima tawaran watak itu atas pelawaan Harith. Disebabkan terlalu meminati PCK Ptd Lte, Adibah terus bersetuju semasa dipelawa. Dia yang tidak pernah bertemu dengan Gurmit dan Irene menyukai sikap tidak formal kedua-dua aktor dari Singapura itu.
"Walaupun berjumpa pada hari pertama, kami berbual seperti sudah lama mengenali sesama kita. Dengan dua pengarah dan dua pelakon dari Singapura, kami dapat bekerja bagai sebuah keluarga," beritahu Adibah.
Fatimah adalah seorang wanita yang muncul secara tiba-tiba dalam syarikat PCK. Berlagak sebagai pencuci rumah, Fatimah mempunyai motif lain. Dia yang suka mengumpat dan penuh dengan perasaan ingin tahu prejudis terhadap orang Singapura. Namun, Fatimah sebenarnya menggalas tanggungjawab lain dalam PCK.
Menyukai lawak bersahaja, cerita yang ringan dan hiburan yang dipaparkan dalam PCK, cabaran terbesar yang dihadapi Adibah adalah daya tahan untuk ketawa. Oleh kerana dia seorang yang senang ketawa, pengarah ada kalanya terpaksa menghentikan rakaman untuk seketika.
"Rasanya mungkin pengarah ada berfikir bahawa saya bukan seorang pelakon profesional. Namun, saya tidak dapat menahan ketawa melihat gelagat Gurmit sehingga rakaman perlu dihentikan sehingga saya habis ketawa. Gurmit bukan sahaja kelakar tetapi seorang yang bijak.
"Maka, menerusi gandingan kali ini, saya juga gunakannya untuk belajar daripada Gurmit dan Irene," ujar Adibah yang memegang watak sebagai wanita berusia 60 tahun.
Daripada 26 episod yang akan dibahagikan kepada dua musim, Adibah akan muncul dalam 18 episod kesemuanya. Memberitahu kebanyakan masa rakaman dijalankan di rumah yang terletak di Bandar Botanic, Klang, permintaan yang dikehendaki pengarah adalah sama kualiti dengan produksi filem.
Cuma apa yang tidak disangka adalah pelakonnya tidak mengikut skrip yang diberikan. "Pada mulanya, saya ada juga menghafal skrip. Kemudian saya mendapati bahawa mereka tidak mengikut skrip. Namun, dialognya perlu mengikut jalan cerita.
"Konsep tidak mengikut skrip ini juga memberikan kebebasan untuk saya mengembangkan watak tetapi saya perlu bertindak pantas supaya serasi dengan pelakon lain terutama Gurmit dan Irene."
Phua Chu Kang Sdn. Bhd. turut dibintangi Nell Ng, Carliff Carleel dan Fadzlie Rahim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: