PERCATURAN penyanyi bernama Nas Adila Mohd. Dan atau nama Afundinya, Adila menyertai program realiti paling popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada awalnya adalah untuk memperkukuhkan lagi namanya kepada masyarakat.
Sementelah, dia memberitahu AF7 merupakan platform terbaik untuk mempromosikan dirinya memandangkan sebelum ini dia tidak pernah terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.
Ia berikutan namanya dilihat belum begitu kukuh di persada seni tanah air meskipun pernah melahirkan dua buah album sebelum ini dan ternyata dia mengakui hakikat tersebut.
Lantas apabila namanya diumumkan sebagai pelajar pertama disingkirkan pada konsert mingguan kedua yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu, Adila menerima keputusan itu dengan hati yang cukup terbuka.
Tidak berasa malu mahupun menyesali dengan tindakannya menyertai AF7, apa yang membuatkan hati anak jati Johor Bahru ini adalah pengalaman dan ilmu yang ditimbanya sepanjang 14 hari berada di akademi.
Mungkin juga kecundangnya Adila di konsert kedua adalah berikutan pengundi mahupun peminat setia AF tidak mahu peserta yang memegang status penyanyi untuk menjuarai AF kali ini dan Adila sendiri mengakui stigma itu.
"Mungkin masyarakat belum bersedia untuk melihat seorang penyanyi menjuarai pertandingan realiti seperti AF tetapi saya anggap sepanjang dua minggu berada di akademi, telah banyak yang saya belajar.
"Walaupun saya seorang penyanyi, ada kalanya kita sendiri tidak tahu apakah yang harus dilakukan untuk memantapkan lagi kredibiliti kita sebagai seorang penyanyi.
"Bertemu dan memperolehi ilmu daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing menjadikan saya begitu bertuah menyertai AF7," kata Adila yang hanya mendapat empat peratus sahaja pada sebelum dan selepas konsert tamat.
Selain itu juga, Adila tidak menafikan dirinya yang merupakan seorang pendiam di akademi seperti mana yang dapat ditonton menerusi Diari Akademi Fantasia juga menjadi faktor mengapa dia disingkirkan.
Menceritakan tentang keadaan genting saat di disingkirkan, ketika hos konsert, AC Mizal meminta pendapatnya, penyanyi berusia 22 tahun itu sudah dapat merasakan dirinya merupakan mangsa pertama juri di hujung jari meskipun dua bagasi yang muncul di atas pentas.
"Hati saya memang tergerak mengatakan saya yang akan meninggalkan AF7 dan ternyata, kata hati saya itu betul.
"Tapi, tidak mengapa. Yang penting, saya dapat pengalaman yang tidak mampu dijual beli dan buat pertama kalinya, saya dapat bertemu dengan Datin Seri Tiara Jacquelina," katanya sambil merenung pengetua AF7 yang berada di sisinya.
Tiara pula menjelaskan, dia mendapat respons daripada tenaga pengajar yang memberitahunya, Adila merupakan antara pelajar yang menunjukkan peningkatan berbanding sewaktu di awal menyertai akademi.
"Mungkin tiada drama mahupun masalah yang melibatkan Adila menjadikan dirinya tidak begitu menonjol tetapi itu bukan perkara pokoknya kerana apa yang lebih penting adalah bakat dan Adila membuktikannya," katanya penuh makna.
Pada konsert mingguan kedua itu, Adila telah diberi tugasan menyampaikan dua buah lagu secara medley yang juga merupakan tema pada minggu lalu.
Tidak mengecewakan dari segi persembahannya menerusi lagu Merawat Luka Terpendam yang merupakan nyanyian asal Liza Hanim dan Asyik (Amelina), Adila mendapat kritikan positif daripada tiga pengkritik iaitu Edrie Hashim, Datuk Yusni Hamid dan Adlin Aman Ramlie.
Rata-rata mereka mengatakan Adila mempunyai semangat dan keyakinan diri yang cukup tinggi saat tampil di atas pentas serta butiran nyanyiannya yang cukup jelas.
Tetapi, apakan daya, perjuangannya terhenti setakat itu sahaja dan Adila mengharapkan agar perjalanan seninya selepas ini mampu diuruskan dengan sebaik mungkin oleh Astro.
Sementara itu, minggu kedua menyaksikan persembahan para pelajarnya ada menunjukkan sedikit peningkatan meskipun tema medley yang ditampilkan dilihat memberikan cabaran yang bukan sedikit kepada mereka.
Sudah pasti, pelajar kelahiran Kuching, Sarawak, Hafiz mencuri perhatian pada malam itu dengan persembahannya yang penuh energetik dan berkarakter menerusi lagu Cinta Ini Membunuhku (D-Massive) dan Toyol (Sudirman) dan mendapat pujian daripada pengkritik.
Persembahan oleh pelajar lelaki yang lain hanyalah sekadar biasa-biasa sahaja dan ada juga yang tidak langsung menunjukkan peningkatan serta masih lagi di takuk lama.
Pelajar yang dimaksudkan adalah Obri yang memberikan persembahan hambar dan paling teruk menerusi lagu Akan Tiba (Aliff) dan Ada Untukmu (Nubhan). Tidak mustahil dia merupakan pelajar kedua selepas Adila yang memperolehi undian terendah.
Begitu juga dengan Akim, Yazid dan Sidi yang gagal menyerlah di atas pentas serta mendapat kritikan yang hebat daripada pengkritik.
Persembahan pelajar wanita menunjukkan peningkatan adalah Rubisa yang mempamerkan kecemerlangan dari aspek vokal dan persembahan mantap saat melagukan lagu Gagap (Stacy) tetapi apabila dia menyanyikan lagu Dingin (Ziana Zain), momentum itu menurun sedikit.
Claudia dan Zizi juga tidak mengecewakan dan persembahan pelajar wanita yang tidak mampu dibanggakan adalah Rini yang kedengaran sungguh bingit dengan jeritannya sewaktu menyampaikan lagu Aku Sindarela (Amylea) dan Kiblatku (Hazami).
Tidak hairanlah, undian tidak memihak kepadanya untuk berada di tempat teratas apabila hanya mampu menduduki tempat ke-12 dengan enam peratus sahaja apabila undian ditutup.
Satu yang cukup menarik tentang minggu kedua ini adalah apabila lagu keramat yang menjadi tanda pengenalan AF, Menuju Puncak berkumandang semula selepas minggu pertama lagu itu 'dimatikan' dengan alasan pelajar masih belum bersedia.
Melihat persembahan pelajar menerusi lagu Menuju Puncak di awal konsert dengan koreografi yang lebih segar, pujian wajar diberikan kepada mereka dan tidak pula mereka dilihat tidak bersedia sedangkan mereka berupaya untuk mengikut gerak tari ritma lagu tersebut dengan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: