Tuesday, March 24, 2009

Shahrir cetus idea Konsert Radio Rosak


Shahrir Abdul Samad (tujuh dari kiri) dan Edrie Hashim (lima dari kanan) dan (tiga dari kiri) Ketua Pengarah Eksekutif Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd., Shahrul Azlan Mohd. Zulkifli bersama barisan artis kumpulan indie yang akan membuat persembahan pada Konsert Radio Rosak 4 April ini.


SUATU ketika dahulu, muzik underground tidak diterima mesra oleh kerajaan hanya kerana kontroversi subgenrenya, black metal.

Tersalah menafsirkan black metal, gig-gig kecil aliran underground yang lain diserbu polis dan permit bagi menganjurkan gig turut ditarik.

Asal dalam satu persembahan itu dipenuhi dengan muzik yang bingit dan bukan aliran muzik komersial, mereka dikecam habis-habisan.

Tapi kini semuanya berubah. Muzik underground terutamanya indie diterima baik oleh kerajaan malah diberi pengiktirafan.

Lebih menarik, menteri yang menjadi tulang belakang kepada konsert yang disertai oleh kumpulan-kumpulan indie ini.

Menteri yang dimaksudkan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, menjadi pencetus idea kepada Konsert Radio Rosak Untuk Tabung Gaza 25 April ini.

Konsert Radio Rosak Untuk Tabung Gaza ini akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru anjuran Parlimen Johor Bahru dan Neo Worldwide Entertainment.

Konsert ini akan membawa 10 kumpulan indie tempatan untuk beraksi iaitu kumpulan Projek Pistol, Cili, Zip Ziller, Auburn, Stereo Sakit, Radhi OAG, Bunkface, Estranged, The Rhaman dan Plague of Happiness.

Objektif utama program ini adalah untuk mengumpulkan dana untuk penduduk Palestin di Gaza melalui penjualan tiket dan sumbangan orang ramai.

Menurut Shahrir, beliau mencadangkan konsert yang mengumpulkan kumpulan-kumpulan indie ini kerana mereka memerlukan platform untuk menonjolkan muzik mereka memandangkan kumpulan-kumpulan ini bergerak sendiri.

"Artis komersial ada orang yang menguruskan pemasaran dan publisiti mereka dan tidak menjadi masalah untuk mereka menonjolkan diri.

"Berbeza dengan kumpulan indie ini, kebanyakan daripada mereka amat berbakat dan kreatif tetapi kurang dikenali secara komersial hanya kerana mereka bergerak sendiri dan tidak disediakan platform yang sesuai.

"Sebab itu saya cadangkan konsert ini kerana mereka ini punya peminat sendiri yang terdiri daripada golongan muda.

"Matlamat lain kami adalah untuk menyampaikan maklumat yang berguna kepada generasi muda sepanjang konsert itu nanti," ujar beliau pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, beberapa aktiviti sampingan juga telah diatur untuk menjadikan program ini lebih menarik dan memberi informasi kepada orang ramai.

Di antaranya ialah kaunter peluang pekerjaan oleh jobmalaysia.gov.com.my, kaunter pendaftaran pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), kaunter MARA untuk program usahawan dan kaunter Perbadanan Nasional Bhd., (PNS) untuk perniagaan francais.

Pengarah Neo Worldwide Entertainment, Edrie Hashim, menyatakan idea yang dicetuskan oleh Shahrir ini memberi semangat baru kepada ahli muzik muda tempatan untuk memartabatkan muzik mereka.

Di samping itu, menurutnya, ianya juga memberi peluang kepada golongan untuk melibatkan diri dalam program amal melalui muzik.

"Kami mensasarkan lebih RM20,000 untuk disumbangkan ke tabung Gaza melalui penjualan tiket dan kutipan derma sepanjang konsert ini.

"Tiket pra-jualan yang hanya berharga RM18 boleh didapati secara online di www.neogendang.com dan www.myspace.com/tikusrockcommunity bermula 1 April ini," katanya.

Satu album kompilasi yang menggabungkan band-band indie iaitu Album Kompilasi Radio Rosak 2009: Permulaan Baru dengan Edrie sebagai penerbit eksekutif akan dipasarkan mulai 2 April ini.

Album kompilasi yang berharga RM19.90 itu boleh didapati di semua cawangan Gloria Jeans Coffee yang juga penaja konsert itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: