Wednesday, March 25, 2009

Jawablah! Farawahida hilang selepas AJL


FARAWAHIDA memberikan alasan yang dia tertekan dan terkongkong sejak berada di bawah pengurusan Julfekar.

Hantar SMS mahu berhenti jadi artis Millenium Art, dakwa rasa tertekan, terkongkong

SEPERTI lagu terbaru nyanyiannya, Hilangkan Segalanya, begitulah juga yang berlaku kepada si pelantun lagu itu Farawahida apabila dia secara tiba-tiba menghilangkan diri dari dunia seni. Sejak awal Februari lalu, penyanyi bersuara lantang ini gagal dikesan pengurus dan penerbit albumnya, Julfekar.

Ketika dihubungi Hip petang Isnin lalu, Julfekar mengaku kecewa dengan tindakan anak didiknya itu sambil menyifatkan apa yang dilakukannya itu amat tidak profesional. Bukan saja bengang kerana Farawahida melanggar kontrak yang sudah ditandatangani awal tetapi juga geram kerana penyanyi itu tidak menjelaskan alasan sebenar dia bertindak sedemikian.

Jelas Julfekar, Farawahida hanya mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) padanya mengatakan yang dia ingin berhenti menjadi artis Millenium Art Sdn Bhd kerana tertekan serta dikongkong. Malah apa yang lebih menghairankan, penyanyi itu tidak mahu perkara itu diperbincangkan atau dipanjangkan kepada ibu bapanya.

Pun begitu, walau terpaksa menanggung kerugian serta berdepan dengan pelbagai masalah ekoran tindakan luar dugaan penyanyi itu, Julfekar berkata dia masih boleh bersabar dan mengharapkan pintu hati penyanyi itu terbuka untuk kembali dan meneruskan kembali kerja yang tergendala kerana terlalu mengikut emosi itu.

Hip: Apa yang berlaku sebenarnya antara Julfekar dan Farawahida? Boleh cerita sikit?



Julfekar: Apa yang boleh saya katakan di sini adalah Farawahida sudah menghilangkan diri sejak selepas acara Anugerah Juara Lagu yang lalu. Dia keluar rumah tanpa sebarang pesan. Saya ada cuba menelefonnya tetap tidak pernah berangkat dan kiriman SMS juga tidak berbalas. Malah, apabila saya cuba hubungi orang tuanya, hasilnya turut menghampakan. Jangan tidak dia menghantar surat pada saya pada 16 Februari lalu meminta supaya dia dilepaskan dari syarikat pengurusan Millenium Art. Mustahil perkara ini berlaku kerana kalau mengikut kontrak, dia masih ada setahun lagi dengan syarikat saya dan kontraknya hanya akan tamat pada Februari tahun depan. Perkara ini pun saya dapat tahu menerusi sebuah majalah hiburan yang mengatakan kontraknya sudah tamat sedangkan pada hakikatnya dia masih berhutang setahun dengan saya. Dan dia juga ada mengirimkan SMS mengatakan yang dia tertekan kerana saya banyak mengongkongnya sebelum ini.

Hip: Apa benar Julfekar memang mengongkong Farawahida sehingga dia nekad melarikan diri?

Julfekar:
Beginilah, apabila mengambil keputusan untuk menjadi artis, dia harus menjaga penampilan, tak boleh keluar malam, kena banyak membuat latihan kerana bukan senang nak jadi artis. Lagipun saya sekadar menjaga amanah yang diberikan keluarga. Kalau saya banyak berleter atau mengongkong, itu semua untuk kebaikan dia dan dia harus sedar akan hal itu. Tapi, saya kenal Fara, dia tidak akan bertindak sedemikian kalau dia tidak dipengaruhi orang sekeliling.

Hip: Setakat ini ada apa-apa kerugian yang terpaksa Julfekar tanggung akibat perbuatan penyanyi itu?

Julfekar: Bukan ingin mengungkit tetapi terus terang sejak menguruskan Fara iaitu tahun 2003 memang banyak duit syarikat dihabiskan untuk pelbagai perkara. Sewa rumah, perbelanjaan makan minum dan pakaian semuanya syarikat yang tanggung. Tapi tak mengapa kerana kami percaya akan bakat yang dimilikinya dan saya tak jemu-jemu berusaha, mencari peluang untuk mengetengahkan dia sebagai penyanyi. Alhamdulillah, pada penghujung 2006, barulah menampakkan hasil. Dapatlah juga undangan membuat persembahan.

Namun, semuanya itu bagai tidak memberi makna pada dia. Perbuatannya itu bagai orang yang tak kenang budi. Lebih-lebih lagi apabila dia menghilangkan diri ketika ini, banyak kerja yang tertanguh. Umpamanya promosi album di Jakarta terjejas sedangkan saya sudah habis beratus beribu untuk tujuan itu termasuklah kos pembikinan album, promosi dan pengurusan di sebelah sana. Malah, ada dua show di sini yang terpaksa ditolak ekoran kehilangan misterinya itu. Cuma saya ada terdengar juga yang dia ada membuat persembahan secara senyap-senyap di Ipoh. Itu memang jelas sudah melanggar kontrak.

Hip: Nampaknya sejarah berulang lagi dan Julfekar dilihat sebagai komposer yang memang suka bergaduh dengan artis. Komen sikit?

Julfekar:
Niat saya baik iaitu ingin memberi peluang kepada artis baru mengetengahkan bakat mereka. Tapi, itulah, sesetengah mereka memang tidak tahu mengenang budi. Dalam kes Farawahida, saya memang ada mendengar dia bercerita benda yang tak baik mengenai saya dan menuduh macam-macam. Walaupun kesal tapi saya tak mahu ambil kisah sangat sebab saya tahu saya di pihak yang benar. Tidak mahu mengatakan serik cuma selepas ini saya tak mahu sangat beri muka kepada anak didik saya. Saya tak mahu mereka menjadi seperti dua anak didik saya sebelum ini yang apabila terlalu diberi muka dan dimanjakan, mereka naik tocang.

Hip: Apakah Julfekar akan mengambil tindakan atas perbuatan Farawahida itu?

Julfekar:
Kalau mengikut apa yang tercatat di kontrak, Fara jelas sudah melanggar apa yang dipersetujui awal. Dan lazimnya kalau sudah langgar kontrak memang boleh diambil tindakan mahkamah. Tapi, saya masih lagi memberi peluang padanya untuk bertemu dan berbincang apa sebenarnya yang berlaku. Saya tahu, dia mesti dipengaruhi oleh orang di sekelilingnya. Kalau tidak masakan dia ada bertanyakan pada saya perkara berkaitan kontrak yang dia sendiri tidak jelas mengenainya. Contohnya, apakah album serta lagu dalam album itu menjadi hak miliknya sedangkan kalau ikut hak cipta, sudah tentu ia menjadi milik mutlak saya dan syarikat. Dari situ sudah jelas menunjukkan yang dia sendiri tidak pasti apakah yang dilakukannya itu benar atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: