Wednesday, March 25, 2009

Hadiah RM10,000 menanti pencinta kucing



RAJA AZURA menjadi pengacara program realiti mengenai kucing.

FRISKIES® di atas dasar keprihatinannya terhadap kebajikan kucing, terutama kucing terbiar bekerjasama dengan SPCA dan TV3 buat julung kalinya bagi menerbitkan sebuah rancangan realiti kucing yang pertama di Malaysia, Meow... Belai Si Comel Bersama Friskies®.

Program sebanyak lapan episod ini disiarkan di TV3 setiap Sabtu, jam 12.30 tengah hari sejak 21 Mac 2009 dan dihoskan Raja Azura.

“Program ini satu komitmen Friskies® untuk bekerjasama dengan SPCA (sebuah perbadanan yang menghalang kekejaman terhadap haiwan) bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai seorang pemilik binatang peliharaan. Ia juga bertujuan meringankan beban SPCA dengan mengumpul dana melalui pek kebajikan Friskies® dan undian SMS penonton.

“Melalui program ini kita dapat melihat bagaimana peserta memberikan kasih sayang dan keprihatinan tanpa batasan kepada kucing terbiar yang diambil dari SPCA. Atas keikhlasan hati mereka, ganjaran sebanyak RM10,000 bakal menanti pemenang utama,“ kata Pengurus Perniagaan Negara, Purina PetCare Sdn Bhd, Tim Wilson.

Berbeza dengan pertandingan kucing yang lain, program ini memerlukan sepenuh komitmen peserta yang sanggup memelihara dan menjaga anak kucing terbiar yang diambil dari SPCA seawal bulan pertama kelahiran kucing itu.

Peserta program dipilih menerusi uji bakat yang dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di Giant, Seksyen 13, Shah Alam pada 7 dan 8 Februari lalu dan di Giant Kota Damansara pada 14 dan 15 Februari.

Hampir 100 orang menyertai sesi uji bakat namun hanya enam yang terpilih berdasarkan minat dan kesungguhan mereka untuk merealisasikan cabaran Meow… Belai Si Comel Bersama Friskies® iaitu Suriana Soria (Sue), Izawati Muhammad (Iza), Sharifah Zuria Syed Abu Bakar Sidik (Sha), Syazwan Khairuddin (Wan), Mohd Kamell Bashah Ibrahim (Kamell) dan peserta paling veteran Zuraidah Darus atau lebih dikenali sebagai Mama.

Keenam-enam peserta yang terpilih mempunyai latar belakang yang berbeza dan sememangnya sanggup memelihara kucing terbiar dari SPCA bukan atas dasar ganjaran tetapi kerana keikhlasan hati mereka.

Dalam episod pertama, kesemua mereka diberi seekor anak kucing dari SPCA dan mereka akan bertanggungjawab untuk membelai si comel sebaik mungkin sehingga tahap matang.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Pepper Media, Ishawati Ishak berkata, sepanjang siri ini Pepper Media selaku penerbit berusaha merakamkan gelagat setiap peserta dan keluarga masing-masing ketika memelihara dan menjaga kucing ‘angkat’ mereka.

“Di samping itu kami berharap program ini akan menjadi titik tolak untuk menimbulkan minat khalayak ramai supaya turut sama memelihara kucing-kucing terbiar,” kata Ishawati

Selain juri profesional, peserta juga berpeluang untuk bergelar pemenang melalui undian SMS yang akan dibuka bermula episod 2. Menerusi undian SMS, 15 sen akan disalurkan kepada SPCA bagi setiap SMS yang diterima untuk menampung perbelanjaan kucing terbiar yang masih berada di bawah penjagaan SPCA.

Di samping berpeluang berkongsi pengalaman membelai kucing peliharaan dengan selebriti tanah air seperti Adibah Noor, Nora, Jue Aziz, Ikhwan HotFM, Azfar OIAM, Dr Fazley dan Farah Asyikin OIAM, program ini juga akan memberikan penonton maklumat dan tips penjagaan kucing yang lebih teratur dan tepat dari pakar veterinar SPCA.

Hadiah yang bakal menanti peserta bertuah ialah RM10,000 bagi hadiah utama, RM5,000 untuk tempat kedua dan RM3,000 bagi tempat ketiga. Selain wang tunai, pemenang juga akan menerima bekalan makanan kucing daripada Friskies® selama setahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: