Situasi kemudahan uzur bukanlah isu baru di Gunung Stong. Walaupun pernah dijanjikan dengan pelbagai naik taraf kemudahan, sehingga hari ini ia kekal usang.
GUNUNG Stong yang terletak di Kuala Krai, Kelantan bukanlah asing dalam kalangan peminat rekreasi dan sukan ekstrem.
Namun, semakin ramai pengunjung ke Gunung Stong meluahkan rasa kecewa kerana kemudahan di kawasan perkelahan air terjun itu uzur dan usang, sedangkan bayaran masuk ke tempat perkelahan dikenakan kepada mereka.
Banyak calet dan dewan binaan kayu yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada komponen utama resort Gunung Stong yang peletakan batu asasnya disempurnakan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada April 1994, kini mereput akibat terbiar.
Gunung Stong yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Bharu adalah setinggi 1,433 meter. Ia digambarkan sebagai lokasi eko-pelancongan yang terkenal di Malaysia kerana tujuh air terjun mengalir di kawasan itu dengan air terjun Jelawang setinggi 303 meter, didakwa tertinggi di Asia Tenggara.
Menariknya air terjun Jelawang yang mengalir di atas bongkah batu besar di kaki Gunung Stong mampu dilihat dari jarak lebih daripada lima kilometer ketika menghampiri kawasan itu.
Seorang pengunjung, Sulaiman Huseein, 30, berkata, beliau datang bersama keluarga ke kawasan air terjun itu untuk bercuti dan berkhemah, namun kemudahan yang disediakan di tempat berkenaan tidak memuaskan.
"Kami dikenakan bayaran RM1 untuk masuk ke kawasan ini. Ia tidak menjadi masalah tetapi sepatutnya kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan mengambil inisiatif menjaga dan mengekalkan kemudahan awam yang sedia ada.
"Tandas tanpa bekalan air, tempat letak kenderaan sudah rosak dan dindingnya runtuh memberi gambaran yang kurang menyenangkan pengunjung," katanya.
Tinjauan mendapati kepincangan dalam pengurusan kawasan perkelahan tersebut tidak terhad di situ sahaja apabila hampir keseluruhan binaan bangunan yang terletak di sekitar kaki Gunung Stong yang menempatkan kawasan perkelahan air terjun itu terbiar usang.
"Setakat ini, segala-galanya terbiar tanpa sebarang penyelenggaraan atau usaha pemulihan. Tidak hairanlah jika jambatan gantung yang merentasi kawasan perkelahan juga kelihatan reput lantainya dan boleh mengundang bahaya jika tidak diselenggara dengan segera," kata Noorazlina Nik Ibrahim, 35, seorang lagi pengunjung ke kawasan itu.
Beliau berkata, ketika berada di Jelawang atau kawasan luar, beliau dapat melihat betapa cantiknya air terjun Jelawang dari kejauhan, tetapi apabila masuk ke dalam kawasan perkelahan itu, ia amat mengecewakan.
"Saya tidak pasti apa yang pihak berkenaan buat untuk menarik pelancong ke sini sedangkan tahun lalu berlangsungnya Tahun Melawat Kelantan 2008. Lokasi ini cantik tetapi penyelenggaraan dan aspek pengurusan sungguh mengecewakan," katanya.
Bagaimanapun, petugas di kawasan perkelahan itu ketika ditemu bual mendakwa kutipan RM1 bagi setiap pengunjung hanya mampu digunakan bagi membiayai kos kutipan sampah sarap di sekitar kawasan perkelahan sahaja.
Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, usaha memulihkan kemudahan penginapan dan menyelenggara kawasan perkelahan itu tidak mampu dilakukan jika bergantung kepada bayaran masuk semata-mata.
Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) pernah menawarkan untuk mengambil alih pembangunan dan penyelenggaraan kawasan peranginan itu pada 2007 tetapi sehingga kini, perkara itu masih belum terlaksana walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menyokong cadangan tersebut dan kerajaan pusat sedia menyalurkan peruntukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: