Saturday, March 21, 2009

Diselaputi awan di puncak Taipei 101

Bangunan tertinggi di dunia itu mengambil tempoh selama enam tahun untuk dibangunkan. Anda akan terpegun melihat seni binanya yang kukuh walaupun pernah berdepan dengan dua kali kejadian gempa bumi.


BANGUNAN setinggi 101 tingkat ini mempunyai pusat beli-belah, restoran dan kelab malam.


PERJALANAN yang memakan masa selama enam jam dengan pesawat Cathay Pasific akhirnya tiba jua ke destinasi yang dinanti-nantikan.

Hati tidak sabar untuk melihat panorama semula jadi bandar Taipei, Taiwan yang diuar-uarkan mempunyai seribu satu kisah menarik dari segi sejarah dan destinasi pelancongannya.

Lebih menarik, kunjungan kumpulan media Malaysia selama enam hari ke sana ketika Taiwan sedang melalui musim bunga.

Namun, jauh lebih istimewa daripada merasai kedinginan suhu kota Taiwan, sesiapa pun yang menjejakkan kaki ke pulau seluas 272 kilometer persegi itu, pasti ingin menyaksikan dengan mata sendiri sebuah bangunan yang memegang status sebagai bangunan tertinggi di dunia.

Sebut sahaja Taipei 101, ramai akan membicarakan soal keagungan menara yang turut mempunyai 101 tingkat meliputi enam tingkat ruang membeli-belah, restoran dan kelab malam.


BANGUNAN ini pernah diberi jolokan Pusat Kewangan Dunia Taipei.



DI salah sebuah kawasan beli-belah di Taipei.


Sebelum ini bangunan yang mempunyai lima tingkat di bawah tanah itu pernah diberi jolokan Pusat Kewangan Dunia Taipei.

Malah, setiap pengunjung yang melawat bangunan itu juga akan merasai kemudahan lif terlaju di dunia dengan kepantasan 16.83 meter setiap saat (63 kilometer/jam).


MENIKMATI pemandangan dari tingkat 89 sangat mengagumkan.


Bukan itu sahaja lif itu juga mampu membawa pengunjung dari tingkat bawah ke tingkat 89 dalam tempoh kurang daripada 39 saat.

Bangunan yang direka oleh arkitek C.Y Lee itu dibina dengan kos AS$ 1.6 bilion (RM5.91 bilion) berketinggian 509.2 meter meninggalkan Menara Berkembar Kuala Lumpur (452 meter) yang berada di tangga kedua sebagai bangunan tertinggi di dunia.


PANORAMA Taipei pada waktu malam.


Menyentuh mengenai seni binanya, Taipei 101 menyerupai seperti satu batang buluh yang diliputi oleh batu-bata serta kotak duit yang antik digunakan oleh kaum Cina pada zaman dahulu.

Selain itu, pintu masuknya mempunyai lambang seperti tiga duit syiling emas yang mempunyai reka bentuk purba.


RUANG beli-belah turut disediakan di Taipei 101.





Struktur-struktur menara itu pula kesemuanya seperti perlambangan satu pusat dunia di mana bumi dan pertemuan langit serta empat arah kompas.

Reka bentuk itu mencapai kekuatan tetapi pada masa yang sama memberi fleksibiliti untuk Menara Taipei 101 bergoyang tanpa menjejaskan struktur asasnya melalui penggunaan keluli yang berprestasi tinggi.

Menjejaki Taipei 101, menimbulkan rasa kagum yang amat sangat. Apatah lagi dibenarkan menjejakkan kaki ke tingkat 89, hanya 21 tingkat lagi dari puncak bangunan berbentuk pagoda itu membuatkan penulis begitu teruja.

Hanya dalam 39 saat sebaik menaiki lif dari tingkat bawah, kami sudah sampai ke tingkat 89 yang sememangnya dikhaskan untuk pelawat. Namun, pengalaman menaiki lif terlaju sedikit mencabar.

Bukan apa, tekanan dan kelajuan itu menyebabkan telinga terasa seperti berdengung dan sedikit kesakitan.

Sebaik pintu lif dibuka, mata dijamu dengan sebuah kawasan sosial yang meriah. Sebuah kafe dan teropong yang sedia diletakkan di tepi tingkap dipenuhi dengan pelancong.

Berada di ketinggian sekitar 400 meter di udara, kami sebenarnya diselaputi sekelompok awan putih di luar bangunan.

Sempat mencapai sebuah teropong, mata segera menangkap kenikmatan pemandangan malam di ibu kota Taipei. Teropong itu membenarkan penulis melihat dengan jelas kereta di jalan raya dan rumah-rumah di kawasan sekitar.

Namun, tidak dinafikan lebih lebih indah sebenarnya menyaksikan pemandangan di tempat setinggi itu tanpa menggunakan alat bantuan seperti terowong.

Melihat limpahan lampu-lampu kecil di bawah sememangnya amat mengagumkan.

Anda tidak perlu risau berhubung keselamatan, misalnya jika tersesat ketika berada di dalam bangunan itu. Ini kerana setiap pengunjung akan menerima alat bantuan yang mudah digunakan bagi membantu arah lokasi dengan betul.

Menjadi ikonik Taiwan dan dunia, Taipei 101 pada sebelah malam juga cukup menakjubkan. Berdiri gah dengan pelbagai rekod dunia, Taipei 101 diterangi oleh cahaya lampu yang berwarna-warni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: