Friday, March 27, 2009

Dengarnya... Pelakon tak yakin diri sendiri


SUDAH lama Cik Normah tak berjumpa dengan seorang teman yang suatu ketika dulu popular dengan panggilan mesranya Sakura Sepi. Sesekali berjumpa macam biasalah banyak topik yang kami bualkan sambil menghirup kopi.

Dalam banyak-banyak cerita Sakura, Cik Normah paling tertarik mendengar kisah seorang pelakon lawa tapi kurang yakin pada diri sendiri. Pada pandangan mata kasar Cik Normah yang tak berapa kenal dengan pelakon bertubuh langsing itu, memang tak nampak pula di mana cacat celanya.

Kalaulah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ada kategori untuk artis cantik, silap-silap hari bulan, pelakon ini berada dalam senarai Top 10. Tapi yang kelakarnya kata Sakura, pelakon itu sebenarnya mempunyai tahap keyakinan diri yang sangat rendah. Kalau bergerak ke mana-mana tidak sah jika pelakon itu tidak bersolek.

Mungkin lagi satu sebab memikirkan dirinya menjadi tumpuan, menyebabkan pelakon itu mahu sentiasa kelihatan cantik apabila berdepan dengan orang ramai. Jika nampak selekeh atau berwajah polos dia bimbang dirinya menjadi umpat keji orang.

Disebabkan itu kalau ke mana saja, pelakon itu akan keluar dengan solekan yang mapan. Yang melampaunya kata Sakura, walaupun nak membeli barang keperluan rumah sekalipun si pelakon ini akan memastikan wajahnya bersolek. Lebih menggelikan hati lagi, dia boleh mengupah jurumekap setiap kali nak melangkah keluar dari rumah. Punyalah obsesnya pelakon itu pada kecantikan.

Nak bersukan sekali pun jurumekap sama akan dipanggil untuk menyolekkan wajahnya. Pelik betul sikap pelakon ini. Tak rimas ke bersolek tebal 24 jam? Setahu Cik Normah, ramai pelakon lebih selesa keluar tanpa secalit solekan kalau tak ada sebarang kerja. Inilah masanya mereka dapat merehatkan wajah daripada sebarang kosmetik.

Agaknya kata Sakura wajahnya macam bulan apabila tidak disolek, berlopak sana sini. Mungkin sebab itulah dia bergantung kepada solekan sepanjang masa. Sambil tersenyum, Cik Normah cakap kepada Sakura, kalau kita berhati bersih, muka tak cantik pun orang tetap akan pandang cantik walaupun tidak bersolek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: