Tuesday, March 24, 2009

Dengarnya...: Mana filem Patung Kertas?


TAHUN lalu, Cik Normah dengar juga cerita yang penulis skrip naskhah Patung Kertas yang bakal dipentaskan lagi pada tahun ini nak dibikin filem. Tapi sampai sekarang, senyap saja jadinya. Tak jadi ke atau apa?

Cik Normah ingat lagi penulis skripnya, A Wahid Nasir pernah memberitahu perancangannya untuk membawa naskhah yang berkisarkan golongan ‘adik-adik’ ini ke layar perak di depan media dalam sebuah sidang media drama.

Tapi sampai sekarang Cik Normah tak tahu apa dah jadi dengan perancangan itu. Jangankan hendak mengumumkan barisan pelakon, sidang media untuk menguar-uarkan pembikinan filem itu juga belum dibuat. Agaknya belum jumpa pelakon yang sesuai kot.

Cuma satu yang Cik Normah nak tegur, jangan tahu cakap saja. Nanti tak terbuat, siapa yang susah nak menjelaskan semua itu? Namun dalam menanti versi filem yang entah bila akan tiba, teater arahan Lokman Ghani ini bakal dipentaskan lagi di tempat yang sama.

Di mana lagi kalau bukan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Matic (MTC) berdekatan Saloma Bistro. Ia akan dipentaskan pada 23 April hingga 3 Mei ini.

Tak silap Cik Normah, beberapa pelakon terdahulu dikekalkan seperti finalis ABPBH 2008 untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Ashraf Muslim dan Datuk Jalaluddin Hassan. Pelakon drama Sutun, Ku Mohd Yusri Ku Abd Rahman atau adik turut ditampilkan kali ini.

Cik Normah harap kalau A Wahid Nasir ada terbaca ruangan ini mungkin boleh jelaskan mengenai perancangannya nak bikin filem Patung Kertas. Cik Normah tak gemar orang yang hanya cakap kosong saja. Buktikan dulu sebelum cakap. Setakat cakap Cik Normah pun boleh beritahu teringin nak berlakon dengan Angelina Jolie dan Kate Winslet.

Okeylah, kalau ada yang berminat nak tengok pementasan Patung Kertas bolehlah layari laman web www.boxoffice.com.my atau dail terus di talian, 03-41433577 atau 03-22875881. Ada masa Cik Normah nak pergi tengok tapi sejak sibuk dengan persiapan ABPBH 2008, banyak persembahan teater Cik Normah sudah terlepas seperti Ibu Zain dan Sirah Junjungan. Apa nak buat, dah nasib badan!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: