Tuesday, March 24, 2009

Bukan ciuman lucah





BUNGA menganggap adegan ciuman dengan Ashraf tidak keterlaluan dan dilaksanakan atas kehendak skrip.


SEMUANYA gara-gara cinta. Gara-gara cintanya berbunga hanya untuk aktres serta penyanyi jelita Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), nama jejaka kacukan Melayu-Jerman, Ashraf Sinclair tiba-tiba menjadi 'panas' dan menjadi buruan media Indonesia dan Malaysia tidak berada lama dahulu.

Gara-gara cinta juga, daripada sekadar seorang pengacara beberapa program hiburan dan pelakon yang biasa-biasa sahaja, nama Ashraf kini turut sama berbunga di pentas seni di tanah seberang seperti mana suri hatinya, BCL juga.

Tidak sekadar pelakon tamu yang menjayakan satu atau dua babak, nama Ashraf di Indonesia sudah tercatat sebagai anak filem dan tidak lama lagi, bakal menghiasi kaca TV tanah seberang itu menerusi sinetron-sinetron yang mempesona tontonan.

Itu semua kerana cinta. Semua itu diakui sendiri oleh Indrayanto Kurniawan, sutradara pertama yang melihat potensi milik Ashraf untuk diangkat sebagai hero bernama Fredo di sisi Dewi, karakter ciptaan yang dikhaskan untuk BCL menerusi filem pertama karyanya, Saus Kacang.

"Sebenarnya naskhah Saus Kacang sudah ditulis sejak tahun 2004, cuma sekitar tahun lepas sahaja baru dapat dibikin filem. Watak Dewi memang diciptakan untuk BCL, dan ketika penggambaran hendak dimulakan saya masih tercari-cari pasangan Dewi yang sememangnya haruslah bukan pelakon dari Indonesia.

"Sebelum Ashraf dipilih, ramai juga pelakon dari Taiwan, Singapura dan Filipina diteliti tapi belum ada yang diputuskan sehinggalah saya mendapat berita bahawa BCL sedang intim bersama jejaka tampan dari Malaysia bernama Ashraf. Kebetulan Ashraf juga seorang pelakon, dari situlah, pertemuan diatur, kami berbincang dan rasanya, Ashraf layak untuk dijadikan hero filem saya," ujar Indrayanto yang hadir ke Malaysia untuk promosi filem Saus Kacang, baru-baru ini.

Sebagai pelakon yang dipilih ke dalam senarai atas faktor 'tuah' atau secara kebetulan, Ashraf semestinya sangat berterima kasih kepada BCL, kekasih, heroin yang kini bergelar permaisuri hidupnya.

"Ya, semuanya rezeki saya dan rezeki kami berdua. Memang mulanya, saya menerima tawaran filem berkenaan kerana memikirkan itulah peluang untuk saya bertemu, berpacaran serta dapat bekerja bersama teman wanita saya memandangkan saya selalu ke Jakarta untuk menemuinya.

"Yang keduanya, tentulah kerana skrip dan daya penarik yang ada dalam naskhah Saus Kacang sendiri. Apatah lagi, saya melihat itulah satu peluang yang tidak dapat ditolak kerana ia seolah-olah membuka pintu untuk saya masuk ke perfileman, ke dunia hiburan di Indonesia," kata Ashraf yang tidak menyangka filem pertama yang menggandingkan dia dan isterinya itu turut ditayangkan di Malaysia.


PENGARAH muda,Indrayanto (kanan) bercerita tentang jiwa muda melalui dua pelakon yang sudah bergelar suami isteri ini.



ASHRAF kini menetap di Indonesia kerana mahu sentiasa di samping isterinya.


Kegembiraan dan keterujaan Ashraf juga berganda memandangkan dia dapat membuktikan kepada peminat hiburan di Malaysia bahawa percubaan dan ketiadaan kelibatnya di Malaysia bukan sekadar pergi berseronok di Jakarta sebaliknya melunaskan kerja seni yang berbaloi.

Tidak hanya Saus Kacang yang kini ditayangkan di Malaysia setelah mendapat kutipan mencecah RM4 juta di Indonesia, dalam jadual Ashraf ada sebuah lagi filem menanti bertajuk The Real Pocong yang bakal ditayangkan di Indonesia tidak lama lagi.

"Saya gembira walaupun berlakon di Indonesia, filem lakonan saya turut ditayangkan di negara ini. Justeru, walaupun saya sudah menetap di negara orang, tetapi masih pulang ke Malaysia untuk mempromosikan hasil kerja saya. Selepas ini saya akan sibuk dengan penggambaran sinetron.

"Harap sinetron itu dapat disiarkan di televisyen di sini seperti sinetron Jelita, Intan yang juga diarahkan oleh Indrayanto. Ketiadaan saya di sini bukan hilang begitu saja.

"Saya bekerja untuk dua negara. Berlakon di Indonesia tetapi disiarkan juga di Malaysia. Tawaran berlakon di sini pun ada untuk saya dan Bunga tetapi masalahnya ialah masa," kata Ashraf dalam dialek bercampur-campur, Malaysia dan Indonesia.

Dari pandangan mata kasar, manisnya Saus Kacang bagi pasangan yang baru menikah pada 8 November 2008 itu kerana ketika di lokasi penggambaran, Ashraf dan BCL sedang asyik dilamun asmara. Lebih enak lagi, merpati dua sejoli itu diberikan watak dua jiwa yang sedang berkasih dan dihangatkan lagi dengan beberapa babak ciuman yang menyentuh rasa.

Di Malaysia sendiri, pasangan itu sendiri pernah mencipta kontroversi ekoran penyebaran gambar-gambar panas dan aksi bercium ketika sama-sama bercuti di Bali.

Akui Ashraf, benar mereka sedang bercinta ketika menjayakan filem itu tetapi adegan cium bukan sengaja dicipta untuk keseronokan atau melariskan filem dengan aksi panas sebaliknya dimasukkan ke dalam skrip untuk memberi gambaran tentang betapa serius dan sejauh mana kemesraan yang terjalin antara Dewi dan Fredo menerusi Saus Kacang.

"Saya minta penjelasan terlebih dahulu adakah adegan itu perlu atau sekadar untuk melariskan filem. Jika ia menjadi keperluan dalam filem ini, saya rela melakukannya tetapi jika sengaja diadakan, saya tidak akan melakukannya.

"Sebenarnya adegan cium itu cabaran bagi saya kerana kali pertama saya melakukannya di skrin untuk tontonan umum," katanya ketika ditemui selepas pratonton filem lakonannya baru-baru ini.

Tambah Ashraf lagi, demi menghidupkan watak dalam Saus Kacang, Ashraf dan Bunga terpaksa membezakan hubungan mereka di luar dan dalam filem.


MASIH dalam suasana berbulan madu.


Mengukuhkan hujah Ashraf, pengarah filem berkenaan, Indrayanto turut memberikan penjelasan.

Kata Indra, ciuman antara Fredo dan Dewi dalam Saus Kacang bukannya bersifat pornografi.

"Saya bukan sutradara filem porno dan ciuman itu langsung tidak menunjukkan emosi ghairah sebaliknya lebih bersifat kasih sayang dan kemesraan antara Fredo dan Dewi.

"Untuk pengetahuan media di Malaysia juga, aksi itu dicipta bukan semata-mata untuk mengambil kesempatan dengan status Ashraf dan Bunga yang sedang berkasih. Ia sudah ada dalam skrip sebelum saya memilih Ashraf sebagai Fredo," ulas Indrayanto enggan disifatkan dirinya sebagai pembikin babak panas semata-mata untuk untuk meraih perhatian.

Tampil dengan potongan rambut pendek dan sedikit susut mungkin kerana kepenatan selepas mengelilingi Indonesia mempromosikan album keduanya, Aku Pasti Datang, BCL atau Bunga bagaimanapun sekadar tertawa dan tersenyum tatkala babak ciumannya bersama Ashraf yang mula diperkatakan.

Seperti juga Ashraf, Bunga sendiri agak sukar juga untuk memisahkan dirinya yang sebenar demi menjiwai watak Dewi.

Menurut cerita Bunga, pernah untuk satu babak dia keberatan dan harus meminta izin daripada kekasih hatinya itu untuk menjayakan adegan menampar muka Ashraf dengan sekuat hati.

"Untuk adegan menampar Ashraf saya terpaksa melakukannya sebanyak lima kali. Indrayanto mengingatkan yang saya adalah Dewi dan Ashraf pula Fredo jadi tamparan daripada saya haruslah benar-benar menunjukkan kemarahan kerana mulanya saya teragak-agak.

"Setiap kali melakukannya saya pantas minta maaf, kemudian disuruh ulang lagi dan lagi sampai pipi Ashraf jadi merah. Kami juga harus banyak bergaduh, menjerit dan menangis, itulah cabaran besar buat kami kerana filem ini sendiri bersifat romantik komedi," kata Bunga.

Dalam Saus Kacang, bekas teman wanita Fredo, Mae lakonan Marsha AF datang menemui Fredo ketika di Bali. Jika secara realitinya pastinya Bunga sendiri merasa sedih atas kecurangan Ashraf namun untuk menjiwa emosi kesedihan dalam filem berkenaan, Bunga langsung tidak mahu mengaitkan adegan itu dengan kehidupan realiti dirinya dengan Ashraf.

"Tidak pernah terbayang di fikiran saya bahawa Ashraf akan curang terhadap saya. Hanya yang terbayang di fikiran hanya Fredo yang bersikap begitu," kata Bunga.


FILEM yang bercerita tentang cinta dan air mata pasangan suami isteri ini ketika mereka sedang di alam perkasihan.


Tentang adegan bercium, Bunga juga sependapat dengan Ashraf. Dia sanggup melakukan apa jua adegan jika adegan itu besar impaknya dan sangat diperlukan untuk jalan cerita sesebuah filem.

"Itu sebelum berkahwin. Ketika itu saya bisa melakukan adegan itu setelah berbincang dengan pengarah tetapi selepas ini memandangkan saya sendiri sudah bergelar isteri, kalau ada lagi adegan sebegitu yang diminta oleh pengarah, saya dan Ashraf akan berbincang terlebih dahulu," kata Bunga yang masih sibuk dengan agenda promosi album keduanya.

Bulan lepas, BCL dijadualkan ke Australia untuk menjayakan satu showcase di sana bersama beberapa nama besar dari Indonesia yang lain.

Di Malaysia filem Saus Kacang menemui penonton di pawagam bermula, 17 Mac 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: