KEBERANIANNYA berhijrah ke benua Eropah berbelas tahun yang lalu, sememangnya membuahkan hasil bagi penyanyi yang dibesarkan dalam kelompok masyarakat Jawa di Indonesia ini.
Popular menerusi album berjudul Snow On The Sahara pada 1997, kejayaan yang dicipta Anggun Cipta Sasmi atau mesra dengan panggilan Anggun amat membanggakan Indonesia kerana ia sekaligus membawa nama negara itu ke tahap lebih tinggi dalam arena seni.
Bertapak di kota Paris, Anggun belajar segala-galanya dari peringkat bawah sambil cuba menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan termasuk mempelajari bahasa Perancis.
Kini, Anggun muncul dengan album barunya berjudul Elevation yang telah pun menerima anugerahdouble platinum selepas dua bulan dipasarkan di Indonesia.
Mengenai Elevation, ia dilihat sebagai cerminan kepada perjuangan Anggun dalam industri muzik tanpa mengenal penat lelah untuk menghasilkan karya muzik terbaik.
Elevation yang diterbitkan dalam tiga edisi iaitu untuk pasaran Perancis, antarabangsa dan Malaysia-Indonesia dipersembahkan dengan irama muzik yang pelbagai iaitu pop, rap, dance, ballad, hip hop dan rock.
Semua komposisi tersebut terungkap dalam nada penuh versatil ditambah dengan vokal Anggun yang sangat berkarakter.
Untuk menjadikan album ini suatu realiti, Anggun berkolaborasi dengan Tefa & Masta iaitu produser yang sinonim dengan muzik urban.
Ia juga menggandingkan Pras Michel dan DJ Laurent Wolf.
Memuatkan 13 buah lagu dan empat lagu bonus, lagu Jadi Milik Mu (Crazy) menjadi pertaruhan untuk album kesembilan Anggun ini.
Selain Jadi Milik Mu, Elevation turut menampilkan lagu-lagu antaranya Stronger (kolaborasi suara dengan Big Ali), My Man (bersama Pras Michel), Give It To Love, Berganti Hati, Selamat Tidur, Eden In Her Eyes, World dan empat trek bonus Crazy (Laurent Wolf Radio Edit), Stronger (No Rap Version), Shine (TV Song) dan No Stress (bersama Laurent Wolf).
Saat diajak berbicara mengenai Elevation, Anggun berkata, sebagai pencinta muzik, dirinya tidak mahu dikenali sebagai penyanyi bagi sesuatu genre lagu sahaja.
Justeru, katanya, insan penghibur sepertinya perlu mencuba perkara-perkara baru dan tidak hanya 'terpenjara' dengan muzik tertentu.
"Bagi saya, saya selalu kepingin untuk membuat sesuatu yang baru dan Elevation adalah peluangnya untuk saya berbuat demikian," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Elevation dan Anggun Elevation Acoustic Showcase di Hotel Istana, Kuala Lumpur, petang Selasa lalu.
Untuk pasaran Malaysia, Metadome Sdn. Bhd., dipertanggungjawabkan untuk mengedarkan Elevation.
Menurut Anggun, Elevation juga telah menemukannya dengan nama-nama besar dalam industri muzik antarabangsa.
Kepada soalan mengenai pasaran Elevation di Amerika Syarikat (AS), Anggun berkata : "Pasaran di negara itu tidaklah begitu penting.
"Dahulu, saya pernah mencuba untuk pasarkan album ke sana. Tetapi, ada banyak kerenahnya. Mereka (pengedar album AS) mengatakan yang album saya tidak menonjolkan ciri-ciri AS dan saya perlu berubah untuk kelihatan lebih Amerika."
Jelas Anggun, dirinya enggan untuk mengubah identiti hanya kerana mahu memastikan albumnya dapat dipasarkan ke AS.
"Saya harus berbangga dengan identiti saya ketika ini dan saya tidak perlu mengubahnya.
"Lagipun, banyak artis antarabangsa yang berjaya mencipta nama bukannya menjadikan pasaran di AS sebagai penentu kejayaan.
"Pasaran di Eropah lebih bagus dan mereka amat menerima perbezaan budaya berbanding AS," katanya.
Ditanya sama ada dirinya bakal menghasilkan album penuh berbahasa Indonesia, Anggun menjelaskan bahawa ia merupakan salah satu daripada impian yang 'bersarang' dalam jiwanya.
"Tetapi, buat masa ini, ia agak sukar dilakukan kerana saya terikat dengan kontrak yang hanya akan terlibat dalam album berbahasa Inggeris dan Perancis.
"Untuk album berbahasa Indonesia sepenuhnya, mungkin satu hari nanti," jelasnya.
Dakwaan lupa diri
Sementara itu, Anggun tidak terlepas daripada disoal akan dakwaan sesetengah media Indonesia yang menyatakan dirinya sudah lupa diri tentang asal usulnya.
Menjawab dakwaan tersebut, Anggun berkata, dia masih berbangga dengan darah Indonesia yang mengalir dalam hidupnya.
"Kadang-kadang saya kecewa dengan kritikan itu. Tetapi, apa yang saya ingin katakan, saya tetap lapar kalau sehari tidak menjamah nasi.
"Bangga saya kerana berdarahkan Indonesia. Bahasa Indonesia yang menjadi bahasa ibunda saya pun masih bagus.
"Malah, anak saya iaitu Kirana yang baru berusia 16 bulan, saya ajar dan berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa Indonesia,'' tegasnya.
Anggun Elevation Acoustic Showcase
Bersempena dengan pelancaran album terbarunya, penyanyi popular itu akan mengadakan persembahan khas di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 27 Mac ini, pukul 8 malam .
Sebanyak 200 tempat duduk disediakan bagi menyaksikan persembahan Anggun melalui Anggun Elevation Acoustic Showcase.
Untuk mendapatkan pas masuk, peminat hanya perlu membeli album terbaru Anggun iaitu Elevation di kaunter pendaftaran di pintu masuk Mahkota 2 Ballroom, Hotel Istana pada tarikh tersebut.
Turut mengadakan persembahan pembukaan pada malam itu adalah Nurul dan Imran Ajmain.
"Sudah lama saya tidak ke Malaysia. Sudah pasti saya amat merindui dan tidak sabar untuk berjumpa peminat di sini.
"Kali ini saya akan hanya membawakan lima buah lagu. Mudah-mudahan, saya akan kembali lagi ke Malaysia untuk konsert lebih besar," kata Anggun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: