DIA mulai dikenali selepas mencetuskan kontroversi hangat selepas berjaya tersenarai di kalangan peserta program realiti TV, Akademi Fantasia musim kelima (AF5).
Namun, selepas menjadi antara peserta paling awal terkeluar dan ditohmah sebagai impak daripada kontroversi yang dicipta tanpa disedarinya, rezeki gadis genit itu di dunia hiburan sebaliknya cerah.
Sempat muncul dengan single berjudul Keawangan, dia sebaliknya menempah nama sebagai penyampai di stesen radio Suria FM.
Namun, kemunculan penuh kontroversi dirinya dulu tiba-tiba seakan diakhiri dengan 'kehilangan' pemilik nama Wan Nurul Zhana Wan Mohd. Hanizan atau Zhana selepas menamatkan kariernya di Suria FM pada tahun lalu.
Sebelum ini timbul cerita kurang enak mendakwa Zhana menimbulkan masalah lalu dihukum berpindah ke unit berita stesen radio tersebut. Tidak selesa dengan tugasan baru itu, dia dikatakan nekad meletak jawatan.
|
|
Selepas itu kelibatnya terus lesap. Cuma, Keawangan yang sering kedengaran di corong-corong radio.
Bagi menghurai segala persoalan berbangkit, Kosmo! mengundang si manis 25 tahun itu ke studio Utusan bagi sesi fotografi.
Melihat kemunculan terkini Zhana, dia kelihatan semakin matang. Jika dahulu dia ditemani oleh pegawai perhubungan awam (PR), kini dia lebih selesa berdikari.
Tidak perlu menunggu lama, selepas aksi-aksi manja Zhana selesai dirakamkan, gadis yang memiliki senyuman yang menarik ini tenang bercerita tentang dirinya yang dikatakan menerima hukuman daripada Suria FM.
"Hukuman? Setahu saya, saya tak pernah pun menimbulkan masalah kerana banyak lagi perkara yang perlu difikirkan.
"Sampai sekarang saya tak tahu apakah sebabnya saya ditukarkan ke unit berita Suria FM dan saya pun tak mahu mengambil tahu perkara yang dah berlalu.
"Cuma saya ralat kerana tidak dipertimbangkan langsung pun keputusan untuk memindahkan saya ke unit berita. Jadi, jalan yang terbaik adalah mendiamkan diri dan keluar dari tempat itu.
"Selepas berhenti kerja dengan Suria FM, saya rasa macam terlepas segala bebanan yang ada. Sebab sebelum ini saya memang bekerja bersungguh-sungguh untuk stesen radio itu. Saya kini boleh menarik nafas lega," ujarnya berterus terang.
Walaupun kenyataannya tegas, namun wajahnya begitu tenang ketika menjawab segala persoalan yang diajukan buatnya.
Tambah Zhana, biarpun timbul sedikit pergeseran antara dirinya dan Suria FM, gadis ini langsung tidak menyesal bekerja di situ.
Menurutnya, stesen radio itu adalah satu landasan untuknya menjadi lebih berpengalaman.
|
|
"Suria FM telah menunjukkan inilah platform sebuah stesen radio sebenar. Di sana, saya banyak belajar bagaimana mahu 'menghidupkan' sesebuah radio itu kepada pendengar-pendengarnya.
"Lagipun saya memang mahu kembangkan karier, jadi bukanlah satu kejutan yang besar bila saya berhenti.
"Mungkin ia kelihatan terlalu awal sebab saya masih baru. Ya, saya di Suria FM kerana mahu menjadi seorang penyampai. Tapi bila ditukarkan ke unit berita, memang tak kena langsung dengan jiwa saya.
"Macam mana saya nak buat kerja yang saya tak boleh nak buat? Senang cerita, saya lebih suka mengikut prinsip saya. Campaklah saya di mana jua, kalau bukan berkaitan dengan nyanyian dan penyampai, saya akan meletakkan jawatan!" tegasnya.
Bakal muncul dengan single kedua
Tidak mahu lagi memikirkan perkara yang lepas, Zhana kini lebih selesa berada di bawah naungan syarikat Metadome.
Biarpun tidak menjadi penyampai di mana-mana stesen radio terkemuka, Zhana sebaliknya kini menyumbang suaranya untuk radio syarikat penerbangan Firefly pula.
"Saya masih dalam industri ini. Cuma saya lebih selesa bersikap low profile. Sekarang ini saya menjadi juruhebah untuk Firefly. Rasa seronok sangat kerana caranya sedikit berbeza. Ia lebih kepada rakaman.
"Kemudian saya juga menjadi penyampai di sebuah radio online, www.jusbroadcast.com. Insya-Allah saya akan menghasilkan single kedua pula. Semuanya itu diuruskan oleh Metadome.
|
|
"Satu perkara yang saya cukup selesa dengan syarikat ini ialah mereka memberi kebebasan untuk saya berbuat apa yang saya suka.
"Dari segi pengurusan pula, cara kerja mereka begitu tersusun," ujarnya yang turut menyatakan hasrat untuk menceburi bidang lakonan suatu hari nanti.
Mahu berganding dengan Chef Wan
Namun, di sebalik kerjaya yang dilakukannya sekarang, satu lagi impian Zhana masih belum tercapai. Disebabkan begitu obses dengan masakan, Zhana begitu teruja jika dia diberi peluang untuk menjadi seorang tukang masak atau chef selebriti.
Bukan sekadar berangan, hakikatnya itulah yang dicita-citakan dirinya sejak kecil lagi.
"Saya memang suka memasak dan menonton rancangan masakan, lebih-lebih lagi program From The Garden yang dikendalikan oleh Chef Wan.
"Bila melihat kejayaan Chef Wan, saya bercita-cita mahu menjadi sepertinya. Ini kerana tidak ramai chef Malaysia yang berjaya macam Chef Wan.
|
|
"Kalau cita-cita itu tak tercapai, dapat jadi hos undangan bersama Chef Wan pun jadilah," seloroh Zhana.
Beritahunya lagi, dia sanggup menolak kerjaya nyanyian dan penyampai radio semata-mata mahu mengikut jejak langkah chef yang menjadi idolanya itu.
"Kalau jadi pembantu peribadi Chef Wan pun tak apa. Janji saya dapat belajar memasak dan menjadi selebriti dengan cara (memasak) itu.
"Itulah azam tahun 2009 saya. Tapi tak tahulah, jika ada rezeki dan peluang untuk saya mengendalikan rancangan memasak, pasti saya tidak akan melepaskan peluang tersebut begitu sahaja," akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: