Tuesday, February 3, 2009

Ramlah Ram berangan muda?




PERTEMUAN dengan bekas juara Bintang RTM 1985 baru-baru itu memberi impak yang sedikit berbeza.

Semuanya gara-gara imej barunya yang lebih berani dan nampak muda.

Gaya potongan rambutnya diubah pendek sehingga paras telinga sesuai dengan fesyen terkini.

Malah, busana yang disarung pada tubuhnya juga lebih bersifat moden tetapi masih feminin.

Kala diusik dirinya tampak lebih muda berbanding usianya, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatiku itu terus tersenyum malu.

Dia lantas berkata, semuanya dilakukan bukan kerana gusar bersaing dengan artis baru ataupun berangan muda walaupun usia sudah mencecah angka 40, tetapi semua itu dilakukan kerana dia mahu melakukan kemunculan semula ke dalam industri hiburan tanah air.

"Bukan mudah untuk peminat menerima seseorang penyanyi selepas lama menyepi. Justeru, saya kenalah membuat kelainan sikit agar peminat dan orang di luar sana perasan akan kemunculan Ramlah Ram," ujarnya.

Tambahnya lagi, rambutnya dipotong pendek selaras dengan kemunculan album solo terbarunya selepas hampir sedekad menyepi tanpa sebarang album solo penuh.

"Sebenarnya gaya rambut saya dipotong khas untuk rakaman kulit album. Apabila sudah potong pendek saya kena kekalkan kerana mengikut konsep album.


RAMLAH mahu meneruskan karier nyanyian selama yang boleh.


"Mula-mula risau juga kerana selalunya saya berambut panjang melepasi bahu, bila pendek macam ini rasa lain pula. Tetapi syukur, peminat semua menyukai imej baru ini," tuturnya.

Album baru belum berjudul

Bercerita lebih lanjut tentang perkembangan album terbarunya yang masih tidak berjudul, Ramlah memberitahu, albumnya yang dijual pada harga RM29.90 itu akan akan berada di pasaran bermula Mac depan.

Membariskan lagu-lagu yang pernah menarik perhatian ramai seperti Ketentuan, Cinta Beralah dan single terbarunya Langit Cinta, tidak mustahil album yang hanya dijual dalam bentuk cakera padat itu nanti bakal meraih perhatian ramai.

"Tahun lalu saya muncul dengan single Ketentuan, dan bermacam dugaan terpaksa dilalui sebelum lagu itu diterima ramai.

"Sekarang, nampaknya lebih mudah kerana semua single selepas Ketentuan dengan mudah diterima pihak stesen radio dan peminat. Kiranya berbaloi dugaan sebelum ini," ucapnya dalam tawa.

Menurutnya lagi, selain promosi di stesen-stesen radio peminat juga dapat melihat wajahnya dalam klip video Ketentuan yang sudah pun ditayangkan di kaca televisyen.

Selain itu, pihak syarikat rakamannya Fantasia Music City (FMC) juga sedang bertungkus lumus menghasilkan dua lagi klip video khas untuk album terbarunya.

"Saya bersyukur walaupun dikelilingi ramai penyanyi muda, saya masih diterima dan tidak pernah rasa terpinggir. Menariknya sejak lagu Ketentuan muncul, saya juga memiliki peminat baru yang terdiri daripada remaja.

"Itu yang membuatkan hati saya tersentuh dan menjadikan saya lebih kuat untuk mengharungi dugaan yang datang. Kalau boleh selagi boleh menyanyi dan hasilkan album, selagi itulah saya akan terus berada dalam industri seni," jelas penyanyi kelahiran Muar, Johor itu.

Buat peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan penyanyi bersuara lunak itu, anda boleh layari www.ramlahram.com atau myspace.com/ramlahram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: