GELAGAT Chef Wan ketika menjual masakannya. |
Karnival amal yang julung kali diadakan sempena ABPBH2008 Untuk Gaza mendapat sambutan di luar dugaan daripada artis dan selebriti serta orang ramai. Kerjasama daripada seluruh artis yang terbabit dalam karnival amal ini sangat dihargai oleh penganjur dan peminat
TERIMA kasih semua! Hanya ucapan ini saja yang mampu dilafazkan kepada hampir 100 selebriti dan kira-kira 10 ribu pengunjung yang sanggup meredah kesesakan jalan raya serta mengharungi hujan lebat semata-mata untuk memeriahkan acara karnival amal, ABPBH2008 Untuk Gaza yang berlangsung di Buzz-R, Tingkat 3, Amcorp Mall, Sabtu lalu.
Tanpa sokongan mereka, pasti acara amal ini tidak semeriah begini. Dan yang lebih menggembirakan apabila hasil kutipan jualan dan lelongan yang bakal disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza berjaya mencecah sebanyak kira-kira RM64,000 - satu angka yang cukup membanggakan buat semua pihak yang selama ini bertungkus lumus menjayakan acara.
Biarpun sebelum ini dicanangkan acara hanya akan bermula pada jam 10 pagi namun sejak jam 8 pagi kelihatan peminat sudah mula membanjiri pintu masuk ruang karnival amal ini. Malahan ada juga yang mula mencuri tinjau persiapan yang dilakukan selebriti yang terbabit dengan harapan barangan yang diimpikan akan berada dalam genggaman.
Antara selebriti paling awal datang untuk membuat persiapan, menyusun atur barangan adalah superstar Anita Sarawak serta tukang masak selebriti, Chef Wan. Sebaik saja Anita atau lebih akrab di sapa Kak Nita menggantung helaian busananya yang cukup glamor itu, sekelip mata gerai milik si penyanyi lagu Seksis ini terus dikerumuni pengunjung yang tidak ketinggalan untuk memiliki koleksi peribadi penyanyi terbabit.
Paling melucukan apabila bukan pengunjung yang beriya-iya mendapatkan koleksi penyanyi berkenaan, bahkan petugas karnival juga kelihatan tidak sabar-sabar untuk melaram dengan busana milik Anita yang memang glamor dan vogue itu.
AZIZAH Ariffin, Maria dan Ally turut menyerikan karnival. |
Bukan hanya pakaian yang mereka jual menarik perhatian ramai tetapi penampilan si empunya gerai iaitu Kak Nita dan suaminya abang Mahathir yang cukup mesra melayan pengunjung membuatkan banyak barangannya berjaya berpindah tangan.
Lain pula halnya dengan tukang masak bermulut petah, Chef Wan, yang menggamatkan keadaan dengan membunyikan loceng ketika menjual barangan berupa buku masakan kek, mi segera Cintan serta makanan dalam tin jenama Ayamas. Pendek kata, macam-macam cara digunakan ‘peniaga sementara’ ini dalam usaha untuk melariskan barangan jualan mereka.
Bazar glamor yang julung-julung kali diadakan ini bukan saja mengetengahkan golongan selebriti sebagai peniaga tetapi juga membabitkan mereka dari bidang lain seperti pereka fesyen. Menjadi satu-satunya pereka fesyen yang sanggup turun padang serta merangkap perunding gaya kepada pelanggan yang ingin membeli koleksi peribadinya, nyata usaha Amir Luqman itu tidak sia-sia apabila kebanyakan barangannya itu habis dibeli pengunjung.
Bukan saja cantik tetapi harga yang sangat murah membuatkan hampir semua koleksi milik pereka terkenal ini laku dalam sekelip mata. Selebriti lain yang menyaksikan barangan jualannya juga macam goreng pisang panas ialah Misha Omar yang menjual bingkai gambar, Liyana Jasmay dengan lencana anti peperangan, barisan penyampai radio Hot Fm yang menjual barangan eksklusif mereka serta pelakon Rosyam Noor yang menjual novel.
SITI melambai kepada peminat selepas selesai sesi menjual kek. |
Namun, yang paling laris dalam waktu yang singkat ialah spageti di gerai milik pelakon Azean Irdawaty, gerai menjual air yang dikendalikan dua artis remaja, Siti Sarah dan Akma AF3 serta gerai menjual kek yang ditaja beberapa hotel terkenal sekitar Lembah Klang.
Dengan mempertaruhkan populariti serta wajah komersial mereka, usaha beberapa selebriti seperti Eja, Fouziah Gous dan Ainul Aishah membuahkan hasil apabila kek jualan mereka licin disapu peminat.
Siti Nurhaliza menyinsing lengan
PENYANYI wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang tidak segan silu sama menyingsing lengan menjual kek berkenaan bagi memastikan semua jualan laris dalam masa yang singkat.
Seperkara menarik mengenai bazar glamor ini, acaranya tidak terhad kepada sesi jualan atau lelongan semata-mata. Bak kata pepatah, ia umpama serampang dua mata. Selain membeli-belah sambil beramal, pengunjung juga berpeluang melihat persembahan artis yang selama ini hanya dilihat menerusi kaca televisyen saja.
Membariskan artis popular tanah air, tidak keterlaluan andai dikatakan persembahan petang itu bagaikan sebuah showcase istimewa dan juga hadiah buat peminat yang hadir memberi sokongan. Cukup santai apabila peminat bukan saja lebih dekat dengan penyanyi tetapi juga berpeluang menyanyi bersama-sama penghibur kesayangan mereka.
Antara yang bertuah ialah seorang peminat yang hanya dikenali sebagai Fiza. Dia berpeluang berduet dengan penyanyi yang amat diminatinya, Faizal Tahir selepas memenangi bida sebanyak RM250.
Pujian juga wajar diberikan kepada tulang belakang kepada perjalanan acara ini iaitu bekas peserta Raja Lawak musim kedua, kumpulan Cham yang terdiri daripada Along dan Azrul, serta Angah dari Raja Lawak musim pertama yang bertindak sebagai pengacara.
Ada saja lawak keluar dari mulut mereka yang membuatkan pengunjung tidak kering. Malah, walaupun lebih 9 jam mengendalikan acara, tiada riak letih atau penat yang terpancar di wajah mereka, terutama Along dan Azrul yang berada di pentas dari pagi sampai petang. Bahkan semakin petang menjelma, semakin aktif dua anggota kumpulan lawak ini memeriahkan suasana.
Apa yang pasti, acara yang julung kali diadakan ini pasti mencatat kenangan paling manis buat semua yang hadir. Biarpun hanya membawa pulang sepotong kek, namun sumbangan itu amat besar nilainya dalam usaha kita membantu mereka yang amat memerlukan. Moga acara ini tidak akan terhenti setakat ini saja dan akan berterusan atas nama kemanusiaan sejagat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: