Monday, February 2, 2009

Stacy lawan karma





JIKA sebelum ini dia menerima tamparan hebat kerana melakukan kesilapan ketika membuat persembahan pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada 8 Ogos tahun lalu, sebaliknya pula pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) baru-baru ini.

Gerak tari dan vokal yang mantap saat mendendangkan lagu Aku Stacy pada anugerah tersebut menjadi bualan ramai.

Meskipun tidak membawa pulang sebarang anugerah, Stacy atau nama sebenarnya, Stracie Angie Anam berjaya membuktikan dirinya tidak boleh dipandang enteng, sementelah lewat kebelakangan ini dia menerima berbakul-bakul pujian dek kerana persembahan mantapnya itu.

Namun ada suara-suara yang berbisik, bahawa anak gadis berusia 19 tahun ini sebenarnya sedih kerana gagal membawa pulang anugerah untuk kategori persembahan terbaik yang diterima oleh Faizal Tahir.


PERNAH memikirkan untuk berhenti menyanyi dan pulang ke Sabah.


Benarkah begitu? Ketika berpeluang bersemuka dengannya dalam satu sesi fotografi khas baru-baru ini, Stacy hanya tersenyum saat diaju soalan perihal kekalahannya itu.

"Saya tidak kecewa dan tidak sedih pulang dengan tangan kosong. Sebenarnya saya berpuas hati apabila dapat memberikan persembahan yang baik dan menghiburkan semua orang.

"Walaupun tidak meraih sebarang kemenangan menerusi penyertaan buat pertama kali dalam AJL, ia cukup penting berbanding kemenangan. Saya tidak pernah rasa saya kalah, kerana saya telah melakukan yang terbaik, begitu juga dengan semua calon-calon lain yang turut bertanding," ujarnya jujur.

Jelasnya lagi, tamat saja persembahannya di pentas AJL23, dia gembira kerana ramai yang datang padanya memberi pujian dan ucapan semangat.

Semua itu merupakan penghargaan yang cukup besar buat dirinya.

"Semua kata-kata perangsang yang diterima amat saya hargai dan membuatkan saya lebih tekun untuk berusaha memberi persembahan yang terbaik dalam apa jua bentuk persembahan kelak," tuturnya.








ALBUM sulung yang bakal dilancarkan membakar semangat juang Stacy dalam dunia muzik.


Dilanda ketakutan, trauma

Di sebalik persembahan hebatnya itu, bagaimanapun terselit sebuah cerita yang cukup mengharukan.

Ini kerana sebelum persembahan pada final AJL23 berlangsung, Stacy telah berlatih selama setengah bulan sejak dari sambutan Krismas lagi.

"Saya cukup takut jika tahap persembahan tidak setaraf dengan penyanyi senior yang lain sebab itu saya bekerja keras, walaupun ketika pulang ke Sabah untuk perayaan Krismas saya hanya memikirkan persembahan untuk AJL23 saja.

"Mungkin kerana saya pernah melakukan kesilapan pada majlis besar dulu, ia menyebabkan saya sedikit trauma.

"Saya hanya ingin menebus kesalahan lalu dengan membukti saya sebenarnya boleh menyanyi dan menari dengan baik, bukan sekadar penyanyi mi segera seperti yang dikatakan kebanyakan orang," luahnya lagi.

Setiap hari berlatih bersama lapan orang penari yang merupakan rakan-rakannya dari Sabah serta abangnya sendiri membuatkan persembahannya pada AJL23 cukup berbeza.

"Semua penari adalah rakan saya dan abang, kami tidur, berlatih dan bersenam bersama-sama di rumah saya di Sabah sebelum tarikh persembahan tiba.

"Kami lakukan semua sendiri termasuk mencari langkah tarian, sebab itu apabila di atas pentas saya tidak rasa saya berseorangan kerana saya anggap kami semua seperti sebuah kumpulan tarian. Semua perasaan gugup hilang, kerana bila saya pendang sekeliling di atas pentas, semua adalah orang yang dekat dengan hidup saya," katanya tanpa selindung.

Semua bagaikan mimpi

Apa pun kemampuannya sudah terbukti, Stacy juga kini mampu tersenyum puas setelah mengharungi segala halangan onak dan duri sebelum ini.

Stacy juga mengakui, jika sebelum AJL23, namanya sedikit tenggelam dan tawaran persembahan juga kurang, tetapi kini semuanya sudah berubah.

Dia kini begitu sibuk sama ada memenuhi undangan nyanyian, sesi fotografi dan pelbagai lagi acara termasuklah pelancaran album sulungnya menjelang 21 Februari depan di Sabah.

"Semua bagai mimpi, ada satu ketika saya rasa seperti mahu berhenti menyanyi dan pulang saja ke Sabah, tetapi tiba-tiba rezeki datang dan semuanya menjadi semakin baik.

"Tidak lama lagi, album saya akan dilancarkan dan kerjaya seni nampaknya semakin hari, semakin baik berbanding sebelum ini, sehingga saya sendiri yang sering bertanya pada pihak pengurusan bila mahu mengadakan sesi fotografi dan persembahan nyanyian," ucapnya dalam tawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: