Thursday, February 19, 2009

Irma Hasmie Cuba dulu




Irma Hasmie sedia berikan yang terbaik kepada setiap tawaran lakonan yang diterima

CUBA untuk mencari kelainan ketika hendak mengabadikan wajah terbaru Irma Hasmie, Hip menampilkannya dengan potongan rambut yang diluruskan dan dipotong paras leher.

Pengacara Chopp! di TV9 ini dijelmakan dalam dua gaya berbeza sebagai eksperimen atau lebih tepat di sebut berkonsepkan alter-ego yang menampilkan dua sisi berbeza, feminin dan maskulin. Cuba mengaitkan dengan apa yang dihadapi Irma kini, istilah feminin mungkin lebih tepat menggambarkan bahawa dirinya penuh dengan ciri kelembutan wanita Melayu yang tiada tolok bandingan.


dalam erti kata lain, pelakon itu masih waras untuk mengatakan dirinya masih tegar sebagai pencinta lelaki. Namun, sekali pandang dek campuran darah ibu bapanya, Irma bukan lagi macam wanita Melayu, sebaliknya persis wanita Jepun yang cukup ranggi.

Gaya kedua (maskulin), simbolik menggambarkan dirinya cukup kental untuk berdepan dengan pelbagai pancaroba dan dugaan hidup. Malah, sangat kebal mengharungi liga seni yang dipilih sebagai kerjaya dan mata pencariannya.

Biarpun tidak meledak namanya di persada seni, Irma masih lebat memenuhi undangan berlakon terutama drama, mengacara dan sesekali memenuhi permintaan pihak majalah fesyen yang ingin mengabadikan wajah dan susuk tubuh tinggi lampainya memperaga busana.

IRMA mengakui senang berkawan dengan Nabil yang disifatkannya sebagai matang.

Hayatnya masih relevan biarpun harus diakui kelibatnya sebagai pelakon belum memberi impak atau kejutan yang mampu menyedarkan lagi ruang seni mengenai kewujudannya.

Memulakan kerjaya seni pada penghujung 2004, Irma mengakui ada sesetengah produksi yang takut untuk menawarkan watak kepadanya dan hanya yang sudah biasa menggunakan khidmatnya yang sering memberikan watak kepada wanita berdarah campuran Melayu Kelantan (sebelah bapanya) dan Pakistan serta Cina diwarisi sebelah ibunya.

“Saya sudah biasa dengan situasi ini. Tidak ralat sekalipun belum popular. Mungkin juga saya selesa tidak terlalu terlebih pendedahan yang mungkin boleh mengundang perasaan jelak di kalangan masyarakat. Alhamdulillah, selagi tawaran berlakon masih ada dan membolehkan saya mencari rezeki, ia sudah memadai.

“Tak nafikan memang ada produksi yang tidak yakin saya boleh menghayati watak tertentu, tapi Alhamdulillah saya buktikan yang saya juga mampu membawa pelbagai watak dengan baik. Kalau ada menerima tawaran daripada mana-mana produksi yang belum pernah menggunakan khidmat saya, maka saya akan melakukan sebaik mungkin,” katanya.


“Setiap tawaran berlakon yang datang saya cukup hargai dan peluang itu belum pasti akan datang lagi buat kali kedua. Sekali diberi tanggungjawab, saya akan cuba buat yang terbaik tunjukkan usaha dan semangat yang kita tidak buat kerja sambil lewa,” katanya.

Tenang hadapi cerita tak berasas

KALAU mahu disingkap, namanya pernah diingati dengan kisah cinta dengan Farid Kamil yang kecundang tanpa diduga. Biarpun ada yang senang melihat mereka bercinta, namun hubungan mereka belum cukup kuat untuk melihat pasangan sama padan itu ke jenjang pelamin. Selepas itu, Irma terus solo. Jarang sekali kedengaran namanya dikaitkan dengan orang kenamaan atau VIP.

Namun, ada timbul gosip mengatakan Irma berubah haluan dengan lebih cenderung mencintai kaum sejenis. Cerita liar itu lantang diperdebatkan di dalam ruangan siber, bagaimanapu,n dia tidak cepat melatah kerana tahu kisah itu memang tidak benar.

“Saya tahu isu ini timbul kerana ada pihak melihat saya sering berdampingan dengan golongan sebegitu. Hakikatnya yang mereka semua maksudkan adalah pembantu peribadi saya. Saya pemilih golongan itu sebab mereka sangat ringkas, mudah dan tahan lasak.

“Jangan bimbang, tiada ragu, saya masih sukakan lelaki. Kisah itu hanya digembar-gemburkan tanpa sebarang usul periksa. Tipulah kalau saya cakap tidak teringin untuk bercinta dan sudah tentu saya mahu menyintai dan dicintai oleh lelaki.

“Cumanya, saya tidak terlalu menjadikannya isu itu (tiada kekasih) sebagai masalah yakni saya harus bercinta lagi dalam sekelip mata. Saya tidak terdesak mencarinya, biarlah ia datang tanpa dipaksa,” kata Irma yang mana drama lakonannya, Awan Dania sudah habis siarannya di Astro Ria.

Belum surut cerita itu, Irma sekali lagi digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan pelawak generasi baru, Nabil Ahmad. Hip pernah menggandingkan Nabil dan Irma bersama Dafi dan Farahdhiya. Ketika itu, Nabil secara spontan mengagumi kecantikan Irma dan sesekali juara Raja Lawak musim kedua itu berseloroh untuk mendapatkan nombor telefon Irma.

Mungkin terlalu awal untuk mengesahkan ada bibit cinta antara mereka. “Tak saya nafikan kami memang ada keluar makan bersama-sama. Sudah beberapa kali kami keluar makan dan semuanya tidak lebih daripada sekadar hubungan kawan. Macam orang lain juga. Memang masih terlalu awal untuk mengesahkan ada apa-apa antara kami.

“Saya senang berkawan dengannya dan ketika kami berkawan, Nabil rupa-rupanya serius orangnya, berbeza dengan karakter dia yang selalu kita kenali sebagai seorang pelawak,” kata Irma.

Menurut Irma, kalau jodoh datang awal dan mengizinkannya mendapat zuriat dengan cepat, dia pasti menerimanya dengan hati terbuka. Kebelakangan ini naluri Irma untuk bergelar ibu semakin ketara, jelas Irma lagi, kalau jodoh datang lambat, dia mungkin mempertimbangkan niat untuk membela anak angkat.

“Saya sukakan kanak-kanak, lagi pun saya lahir dalam adik- beradik yang ramai,” katanya.

INFO: Irma Hasmie

  • Irma Hasmie Ibrahim dilahirkan pada 8 Januari 1982 di Kuala Lumpur.
  • Ayahnya berasal dari Kota Bharu, Kelantan, manakala ibunya dari Hulu Selangor.
  • Irma yang pernah dinobatkan sebagai Gadis Jelita 2004, pernah muncul di kaca TV menerusi beberapa iklan komersial seperti Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha dan Pringle's.
  • Kali pertama mengenali dunia lakonan apabila membintangi filem Cinta Fotokopi, diikuti Main-Main Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: