|
|
PERCUBAAN pertama menerusi filem Otai lebih setahun lalu gagal menyerlahkan bakatnya. Dia bukan saja terpaksa menadah telinga dengan kritikan pedas pelbagai pihak bahkan kehadirannya dilihat sekadar penyendal di sisi pelakon berpengalaman, Saiful Apek dan Nasha Aziz. |
Lebih menghiris hati dia yang memegang watak sebagai Mawar dilabelkan pemusnah filem hingga fobia beraksi lagi di layar perak. Hingga kini dia masih dihantui perasaan serik bahkan berulang kali menjelaskan belum bersedia memanjangkan karier sebagai pelakon filem apabila perkara ini dibangkitkan.
Hakikatnya, dalam diam banyak tawaran filem menyusul, antaranya Duyung dan Nana Tanjung namun semuanya ditolak atas alasan bimbang tidak mampu menjiwai watak dengan baik. Lagipun gadis kacukan Punjabi sebelah bapa dan Siam (ibu) ini merasakan belum masanya lagi dia bergelar pelakon filem dan biarlah bakatnya digilap menerusi drama terlebih dulu.
“Macam-macam cemuhan dilemparkan kepada saya apabila filem Otai ditayangkan. Seminggu saya tidak beli akhbar kerana tidak mahu tahu apa komen media terhadap persembahan saya. Kebetulan pula Otai ditayangkan ketika sambutan Aidilfitri dan saya pulang ke Pulau Pinang.
“Bila bertandang ke rumah saudara-mara, ramai yang bercerita mengenai kritikan itu tetapi saya pekakkan telinga. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Malu, kecewa dan sedih bercampur baur.
“Bukan tidak boleh menerima kritikan tetapi sebagai pendatang baru sudah tentu ia mimpi ngeri bagi saya. Gara-gara maklum balas negatif itu, saya ambil masa enam bulan untuk berlakon semula. Sepanjang tempoh itu saya fokuskan perhatian kepada mengacara program Gegar U,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Hartamas.
Meskipun hampa dan masih dibelenggu rasa was-was, anak jati Gelugor, Pulau Pinang ini memberanikan diri menjayakan drama Cinta dan Keadilan. Apabila mula yakin dengan jalan yang dipilih, dia kemudian membintangi siri Enigma, diikuti Puteri, Cempaka Berbunga dan Sutera Maya.
“Cempaka Berbunga mengubah persepsi saya terhadap kemampuan diri. Banyak perkara saya pelajari di lokasi antaranya bagaimana menghayati watak serta mengalirkan air mata. Saya berterima kasih kepada produksi ini kerana tidak lokek berkongsi tips dan ilmu. Alhamdulillah saya kini tidak lagi kekok mengalirkan air mata andai itu yang diminta skrip.
“Keyakinan itu dapat disaksikan dalam watak gadis tomboi bernama Maya Sofea menerusi drama Sutera Maya. Syukur ramai mula menerima bakat ini dan ia secara tidak langsung membuka jalan kepada saya bergerak lebih jauh dalam bidang ini.
“Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan tadi, saya belum bersedia beraksi di layar perak. Kalau ikutkan tawaran memang banyak tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih berhati-hati.
“Jika tidak mampu bawa watak yang ditawarkan jangan cari pasal. Insya-Allah, jika bertemu karektor sesuai, mungkin hati saya terbuka,” katanya yang percaya bagus atau tidak seseorang pelakon itu terletak di tangan pengarah.
Menyingkap perkembangan terbaru, Faezah kini menghabiskan sebahagian besar masanya di lokasi penggambaran drama komedi berjudul Hartamas arahan Kabir Bhatia.
Drama terbitan bersama Juita Viden dan Filmscape ini berlatarbelakangkan kawasan Hartamas di Lembah Klang yang sinonim dengan gaya hidup mewah.
Mengisahkan Johari, lakonan Rashidi Ishak berkenalan dengan ibu tunggal, Amelia (Ida Nerina). Johari tertarik dengan perwatakan dan rupa paras Amelia. Kebetulan, anak perempuan Johari bernama Juita (Diana Rusdi) menuntut di kolej yang sama dengan anak perempuan Amelia, Edrina (Faezah Elai).
Kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza dan saling bermusuhan. Juita popular, cantik dan serba boleh manakala Edrina pula berjaya menarik perhatian senior dan profesor dengan kebijaksanaan dan keperibadiannya yang selamba.
Apabila Johari dan Amelia memutuskan untuk berkahwin, perasaan benci antara Juita dan Edrina makin menjadi-jadi. Siri bakal ke udara pada 8 Februari ini menerusi saluran ntv7
Demi menjayakan siri 26 episod berkenaan, bekas pramugari ini sanggup menolak beberapa tawaran drama dan filem kerana tidak mahu fokusnya terganggu. Bahkan sudah menjadi prinsipnya tidak melakukan banyak kerja dalam satu masa.
“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah selepas Sutera Maya. Habis saja drama Pemanduku Jutawan, arahan Aziz M Osman, saya terikat dengan penggambaran ini.
“Tawaran menjayakan drama ini datang ketika saya masih di lokasi Sutera Maya. Bagaimanapun ketika itu saya belum memberi sebarang jawapan kerana sibuk dengan penggambaran yang sedang berlangsung.
“Watak saya dalam Hartamas dan Sutera Maya tidak jauh berbeza kerana menuntut saya menjadi gadis berpewatakan kasar. Bagaimanapun, Sutera Maya lebih kepada tomboi manakala drama ini pula ‘minah rock’.
Antara faktor utama menarik perhatiannya terbabit dalam produksi ini adalah bekerja di bawah pengarah ternama selain beraksi di samping dua pelakon senior kegemarannya, Ida Nerina dan Rashidi Ishak.
“Sebagai orang baru, sudah tentu saya teruja beraksi di samping Ida dan Rashidi. Mereka sudah lama dalam industri dan pelakon yang hebat. Saya bertuah dapat berguru dengan mereka sepanjang penggambaran berlangsung.
“Pertama kali bertentang mata dengan Ida saya takut. Terfikir ketika itu adakah saya mampu memberikan persembahan terbaik. Syukur, Ida banyak menasihati dan mengingatkan saya apa yang perlu dilakukan. Sikapnya yang prihatin itu membuatkan saya semakin menghormatinya.
“Bekerja dengan Kabir juga sangat menyeronokkan. Dia pengarah yang sangat teliti dan kerana sikap berhati-hati itu dia mengambil masa yang agak panjang untuk menyiapkan sesebuah produksi. Drama ini misalnya, meskipun hanya 26 episod penggambarannya mengambil masa sehingga Mac ini.
“Saya tidak kisah berada di lokasi ini hampir tiga bulan kerana sedia maklum hasil kerja Kabir tidak mengecewakan. Lihat sajalah filem dan dramanya sebelum ini. Diharap drama kekeluargaan ini memenuhi citarasa ramai,” katanya yang gemarkan watak antagonis.
Meskipun sibuk di lokasi penggambaran, pelakon, model dan pengacara muda ini meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Andai tidak terikat dengan jadual seni, dia lebih senang menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa tercinta.
“Sebagai anak sulung, saya rapat dengan keluarga lebih-lebih lagi ayah dan ibu. Jika tidak berkurung di rumah, kami keluar membeli-belah dan jika jika bercuti panjang, biasanya kami pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang.
“Saya beruntung kerana keluarga sentiasa menyokong karier saya. Sejak beberapa bulan lalu, kerjaya seni saya diuruskan oleh adik saya, Suzzanna Elai. Kebetulan kontraknya dengan syarikat penerbangan sudah tamat, jadi tidak ada masalah untuknya menemani saya ke mana-mana saja.
“Lagipun Suzzanna berminat menceburi bidang lakonan, jadi ini boleh menjadi ‘platform’ terbaik untuknya memperkenalkan diri kepada mana-mana produksi. Ibu bapa kami tidak menghalang asalkan dia pandai jaga diri dan maruah keluarga,” katanya yang belum bersedia menamatkan zaman bujang.
>Profil
NAMA SEBENAR: Noor Faezah Elai
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
HOBI: Mendengar muzik
KERJAYA: Pelakon, Pengacara dan model
FILEM: Otai
DRAMA: Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri,
Sutera Maya dan Hartamas
IKLAN: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish, Celcom
HOS RANCANGAN: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro) dan Hypermarket Saga (TV9)
PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People majalah Female
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: