Sunday, February 1, 2009

Ezad temui Exists


HIDUP ibarat roda. Ada masa di atas dan ada kalanya di bawah. Sebagai anak seni, bukan mudah mahu membina nama dalam dunia hiburan. Malah, ia lebih sukar untuk dipertahankan.

Sebagai penyanyi yang pernah membawa kumpulannya meniti populariti tidak lama dahulu, Mohd Rohaizad Mohd Lazim (Ezad) turut tidak terlepas daripada merasa bahangnya. Jika dulu, dia berjuang bersama Exists, kini dia lebih selesa bergerak sendiri.

Sebenarnya, Ezad tidak pernah mahu meninggalkan kumpulan itu. Mungkin disebabkan salah faham yang berlaku dengan ahli Exists, membuatkan penyanyi ini membawa haluan sendiri.

Menurut Ezad, dia cukup sayang dengan kumpulan yang dibina dengan rakan-rakannya itu. Namun, memikirkan industri seni yang tidak stabil, Ezad turut cuba menyanyi solo untuk mencari rezeki.

“Ketika berada dalam Exists, saya kerap melakukan persembahan solo. Begitupun dalam masa sama, saya masih lagi menjadi penyanyi Exists. Lagipun, saya tidak pernah terfikir mahu meninggalkan kumpulan itu.

“Mungkin ada berlaku salah faham sehingga rakan lain menganggap saya membelakangi Exists kerana menerima menyanyi solo. Hakikatnya, saya menerima tawaran itu kerana dibayar untuk bergerak secara solo dan bukannya kehendak saya sendiri.

“Jika tidak menyanyi secara kumpulan, tawaran seperti itu turut menjadi sumber rezeki saya. Lagipun, saya bukan orang senang. Mahu atau tidak, saya harus menerimanya demi mencari sesuap rezeki.

“Namun, disebabkan pelbagai perselisihan faham yang terjadi, saya mengundur diri,” jelas Ezad yang menyertai Exists bermula 1995.

Begitupun, apa yang terjadi itu adalah asam garam menjadi anak seni lebih-lebih lagi apabila menganggotai sesebuah kumpulan.

Tambah Ezad, mana-mana kumpulan pasti akan mengalami masalah tetapi apa yang penting adalah cara bagaimana mereka menanganinya.



“Saya tidak salahkan rakan lain dalam Exists. Kami semua mempunyai pendirian masing-masing. Malah, apabila mereka melantik Zulkifli Daud iaitu bekas anggota kumpulan Budak Kaca Mata sebagai vokalis Exists, saya tahu saya tidak lagi diperlukan.



“Kini, saya bergerak solo sepenuhnya malah baru-baru ini juga saya sudah menandatangani perjanjian bersama Nova Music sebagai artis rakaman mereka.

“Sebagai seorang penyanyi, saya mahu terus bertahan dalam dunia seni. Saya tidak mahu kerjaya ini terhenti hanya kerana tidak lagi bersama dengan Exists,” katanya.

Dek kerana masalah yang berlaku, statusnya dalam syarikat ditubuhkan bersama anggota kumpulan lain iaitu Exists Sdn Bhd serta beberapa perkara lain turut terjejas. Ezad juga pernah menyatakan bahawa dia bakal menggunakan khidmat peguam untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

“Pada mulanya, ia menjadi jalan terakhir untuk saya menyelesaikan keadaan sekiranya Exists tidak mahu berbincang. Begitupun, baru-baru ini mereka sudah menghubungi saya dan satu pertemuan akan diadakan bagi menyelesaikan segala kekusutan ini.

“Sebenarnya, saya tidak mahu bermusuhan atau berdendam dengan sesiapa apatah lagi mereka adalah kawan saya. Saya hanya mahu menyelesaikan masalah ini dan mengetahui apakah status saya terhadap penubuhan syarikat berkenaan. Sebelum ini, mereka hanya berdiam diri apabila saya bertanya mengenainya.

“Lagipun, sebagai salah seorang anggota yang membangunkan syarikat itu, saya juga mempunyai hak terhadapnya,” katanya.

Ketika bersama Exists, Ezad terbabit dalam penghasilan album Diammu Gunung Berapi (1994), Jangan Gentar (1996), Mutan (1998) serta The Best Of Exist (2000).

Bersama Nova Music, Ezad bakal merakamkan album solo pertamanya tidak lama lagi. Tambah Ezad, walaupun ada beberapa kumpulan lain menawarkan untuk menyertai mereka, banyak perkara yang perkara yang harus difikirkannya.

“Saya baru saja menarik diri daripada Exists. Mungkin dalam masa terdekat ini saya tidak akan menyertai mana-mana kumpulan muzik lain.

“Lagipun, saya mahu fokus kepada pembikinan album solo yang dijanjikan bersama Nova Music. Mengikut perancangan, saya akan ke studio sekitar April nanti. Begitupun, rakaman duet bersama Joan, seorang pendatang baru masih belum dilakukan sekalipun lagunya sudah ada.

“Saya berharap, perjanjian yang dilakukan bersama syarikat rakaman ini akan membuahkan hasil. Namun, jika janji itu tidak dikotakan, saya perlu memandang ke hadapan dan mungkin saya menggunakan duit sendiri untuk menyiapkan album berkenaan,” katanya yang pernah berlakon dalam filem Tangkai Jering.

1 comment:

  1. ya...hhh..koq pisah sih dengan exists? sayang sekali, padahal saya begitu ngfans sama band ini, juga dengan anggotanya.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: