Wednesday, June 30, 2010

Hitam putih Johannesburg


THE MARKET THEATRE menjadi lokasi rangkaian restoran dan bar.


JOHANNESBURG yang menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di bumi Afrika Selatan terkenal dengan gelaran Tale of Two Cities.

Bandar raya yang dianggap lubuk emas itu masih menjadi tarikan kepada mereka yang mencari keuntungan, namun bagi penduduk tempatan ia masih sinonim dengan jenayah dan kemiskinan.

Lokasi kepada bursa saham terbesar di benua Afrika itu dan kemegahan kedai-kedai, ia bersempadan dengan bandar Soweto yang menjadi kediaman kepada pemenang Nobel, Nelson Mandela dan Desmond Tutu semasa pemerintah aparteid yang memisahkan kaum kulit putih dan kulit hitam.

Dikenali dengan nama Jozi atau Joburg, bandar terbesar di Afrika Selatan itu menjadi tajuk utama selaku tuan rumah kepada 16 daripada 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia termasuk perlawanan pembukaan dan akhir pada 11 Julai nanti.

Lapan daripada perlawanan, termasuk dua perlawanan utama, berlangsung di Soccer City berdekatan Soweto. Perlawanan selebihnya akan berlangsung di Ellis Park, tidak jauh dari pusat bandar terkenal Hilbrow.

Kota dua cerita

Namun, Hilbrow kekal menjadi kediaman kepada ribuan pendatang warga Nigeria, Somalia dan Zimbabwe yang bergelut meneruskan kehidupan, sebahagian daripada pusat bandar ini bergembira dengan perubahan yang berlaku.

Pelawat-pelawat yang datang ke 44 Stanley Avenue, sebuah kawasan yang padat dengan bengkel dan garaj kini telah bertukar wajah menjadi deretan kedai dan bar, membuatkan mereka seolah-olah berada di Eropah.


PIALA DUNIA melonjakkan sektor perniagaan di Johannesburg yang meraih keuntungan melalui kedatangan pelancong.


"Anda akan berfikir berada di luar sebuah kafe di Paris," kata seorang pelanggan, Thembi sambil menghirup segelas wain.

Duduk bersebelahan mejanya, seorang pelanggan dikenali sebagai Lionel mengimbas semula bagaimana kawasan itu satu ketika dahulu terkenal dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Di kawasan ini terdapat bangunan kilang terbiar dan dipenuhi mereka yang tidak jujur. Ia amat mengerikan sebelum ini," katanya.

Pernah satu ketika, kadar jenayah menjadi semakin teruk sehingga bursa saham terpaksa dipindahkan ke pinggir bandar.

Namun, kini beberapa kawasan di Central Business District (CBD) kembali pulih seperti sedia kala, seperti Market Theathre, sebuah rangkaian restoran dan bar yang mengandungi teater dan kelab malam.

Di beberapa sudut sekitarnya terdapat himpunan seni bina menarik seperti bangunan pencakar langit Barbican atau Guildhall Pub, yang merupakan bar popular di bandar ini.

Timbalan Pengarah Bandar dan Warisan, Eric Itzkin berkata kawasan pusat bandar itu pernah menjadi syurga dalam kalangan golongan kaya kulit putih membeli-belah sebelum kadar jenayah semakin menjadi-jadi. Bagaimanapun, ia bukan tempat di mana kehadiran semua orang dialu-alukan.

"CBD bertambah maju sekitar tahun 70-an. Terdapat banyak pusat beli-belah mewah tetapi terdapat juga sisi hitam. Ia adalah sebuah bandar aparteid, ramai orang diasingkan daripada memasukinya," kata Itzkin kepada AFP.

Dengan perlawanan Piala Dunia sudah memasuki peringkat suku akhir, kehadiran polis di pusat bandar Johannesburg mula menampakkan peningkatan tetapi keengganan penduduk sekitar keluar selepas waktu malam sangat difahami.


SEORANG lelaki melalui bangunan-bangunan perniagaan di CBD di Johannesburg.


Polis di Gauteng, wilayah yang merangkumi Johannesburg dan Pretoria, berkata terdapat hampir 4,000 kes pembunuhan dan 90,000 kes kecurian dilaporkan antara April 2008 dan Mac 2009.

"Selepas pukul 8 malam, terlalu banyak jenayah berlaku di sini. Disebabkan pertandingan Piala Dunia, polis telah menangkap golongan ini dan keadaan sekarang lebih selamat," kata Janet Nel, 32, yang menyewa sebuah flat kecil di Astor Mansions. Ia sebuah blok apartmen seni pada tahun 1930-an ketika bandar itu digelar sebagai Little Manhattan.

Pemanduan lima minit dari CBD menampakkan penempatan eksklusif di bandar itu di mana kebanyakan keluarga kaum kulit putih hidup mewah lengkap dengan kolam renang dan halaman rumah yang dijaga rapi.

Dikenali dengan nama, Sandton, ia kini adalah lokasi bagi bangunan Bursa Saham Johannesburg dan juga pusat beli-belah mewah. Ia menawarkan barangan yang 'berkelipan' dan pastinya memeningkan kepala isteri dan teman wanita pemain bola sepak Piala Dunia.

Namun, berada di bawah bayangannya ialah bandar Alexandra, di mana ribuan kulit hitam miskin masih tinggal di pondok-pondok usang, dengan bekalan paip dan tandas yang paling asas.

Setia mengacip buah pinang


TRADISI memakan sirih sudah hampir pupus di kalangan masyarakat hari ini.


SUATU masa dahulu, buah pinang amat dekat penggunaannya dalam masyarakat tempatan khususnya orang Melayu kerana penggunaanya dalam tradisi makan sirih.

Dimakan bersama gambir dan secalit kapur, tradisi ini amat erat dalam budaya masyarakat Melayu silam meliputi semua peringkat sama ada rakyat biasa sehinggalah ke istana.

Sama ada betul atau tidak, ada juga kepercayaan berpendapat meminum air rebusan pinang muda membantu mengetatkan vagina, manakala kepada lelaki yang mengamalkannya pula boleh menguatkan alat kelakian mereka.

Walaupun tiada catatan lengkap bila tradisi memakan sirih bermula, tetapi kalangan sejarawan percaya amalan itu sudah wujud lebih 3,000 tahun lalu di kalangan masyarakat Asia Tenggara.

Hilang nilai

Peredaran masa bagaimanapun menyaksikan tradisi ini semakin ditinggalkan apabila generasi yang memakan sirih di Malaysia semakin berkurangan.

Malah, ia menyebabkan secara tidak langsung buah pinang, daun sirih dan gambir hilang nilainya dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Namun begitu, buah pinang masih menyumbang rezeki kepada seorang warga emas di Pulau Mutiara.

Walaupun selepas 50 tahun, Sabariah Man, 69, tetap setia meneruskan kerja memungut, memproses dan menjual buah pinang.

Dengan 30 batang pokok pinang yang masih subur di sekeliling rumahnya di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dia yang dikenali penduduk kampung dengan nama Nek Yah memberitahu rezekinya menjual buah pinang tidak pernah putus.

"Walaupun jualannya tak sebanyak mana, tetapi permintaan untuk buah pinang masih ada terutama daripada warga asing seperti Myanmar yang masih meneruskan budaya makan sirih.


NEK YAH mengupas dan memotong buah pinang menggunakan kacip dan golok sebelum ia boleh dipasarkan.


"Selain itu, buah pinang juga digunakan dalam rawatan perubatan tradisional," ujar Nek Yah yang tidak lekang dengan senyuman sambil tangan tuanya membelek-belek buah pinang yang telah dikupas.

Menurut Sabariah lagi, setiap kali buah pinang masak, cucunya yang berusia 20 tahun akan membantu menurunkan buah-buah tersebut untuk diproses sebelum ia dijual kepada pembeli.

Memproses buah pinang

Selain dijual kepada pemborong di Pekan Padang Serai dan Tasek Gelugor, buah-buah pinang yang siap diproses itu juga dibeli pembekal dari kawasan pulau.

Namun tidak semudah disangka, buah pinang perlu melalui proses tertentu sebelum ia dapat dipasarkan.

"Buah yang diturunkan akan dikumpul dalam bekas untuk dikeringkan selama satu hari.

"Bila cukup kering, ia akan melalui proses seterusnya. Di sini, beberapa peralatan diperlukan seperti golok, kacip, bakul, plastik dan penimbang bagi memudahkan kerja-kerja tersebut," katanya.

Buah yang kering dibelah dua menggunakan golok, diikuti proses membuang kulitnya bagi mendapatkan isi buah pinang menggunakan kacip.

Isi buah pinang yang dikeluarkan pula akan dipotong kecil (dibelah dua atau empat) sebelum ia ditimbang dan dibungkus mengikut keperluan pembeli.


BUAH pinang yang dipetik dari pokok akan dikeringkan selama sehari.


Menurut Sabariah, walaupun kelihatan mudah tetapi proses untuk membuang kulit dan mengeluarkan isi daripada buah pinang memerlukan kesabaran serta dilakukan dengan berhati-hati.

Sekiranya berlaku kecuaian ia boleh mengakibatkan kecederaan kerana kerja-kerja memproses buah pinang menggunakan kacip dan golok yang tajam.

Beliau yang mempelajari kerja-kerja tersebut daripada arwah ibunya sejak kecil lagi semasa tinggal di Kampung Sungai Nibong Besar merasa gembira kerana dapat mengekalkan tradisi perusahaan yang semakin dilupakan itu.

Katanya, sekitar tahun 50-an hingga 70-an, perusahaan buah pinang begitu laris sama seperti menjual barang-barang keperluan lain sebagai contoh sayur dan ikan.

"Namun, berbeza 30 tahun lalu, jumlah jualan buah pinang semakin merosot dan generasi muda sudah tidak tahu apa fungsi buah pinang ini.

"Sekali-sekala, ada juga pelajar sekolah atau universiti datang ke rumah melihat bagaimana buah pinang diproses dan mereka rasa seronok," katanya tersenyum.

Namun dalam hati kecilnya, Nek Yah tidak dapat menyembunyikan kegusarannya kerana dia tahu lambat laun perusahaan tersebut akan pupus.

Revolusi teh premium


BARNES menunjukkan salah satu teh TWG yang diangkat menjadi sejenis komoditi mewah hari ini.


TEH, dikatakan, paling banyak diminum selepas air kosong. Teh kekal popular sehingga hari ini dan telah bertukar daripada minuman kegemaran semasa sarapan atau minum petang, kepada minuman kesihatan dengan nilai perubatan yang tinggi.

Amalan menikmati teh merupakan sebahagian daripada tradisi dalam budaya tertentu dan ada yang menjadikannya sebagai seni.

Bersandarkan kepada sejarah kaya teh dan popularitinya yang tidak pernah luntur, sekumpulan profesional asing dan usahawan membentuk sebuah syarikat teh konsep mewah di Singapura berjenama TWG (The Wellness Group) Tea, pada tahun 2007.

Idea untuk membentuk syarikat teh itu timbul apabila Manoj M Murjani dari Hong Kong, yang kini merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TWG secara kebetulan menemui seorang ahli perniagaan Maghribi, Taha Bouqdib yang kini merupakan Presiden TWG.

Kedua-dua mereka dengan segera menyedari yang mereka boleh bekerjasama dalam satu usaha sama untuk merevolusi perniagaan teh dengan mengubah komoditi itu menjadi satu jenama mewah ikonik.

Butik teh

Mereka kemudian mendapatkan tiga lagi rakan iaitu pakar wangian mewah yang dilahirkan di Chicago, Maranda Barnes, seorang pakar pengurusan restoran, Rith Aum-Stievenard dan seorang chef pastri Perancis, Philippe Langlois.

Pada Ogos 2008, syarikat itu membuka kedai dan butik teh gaya Eropah yang pertama di Republic Plaza, Raffles Place, Singapura yang menawarkan lebih 250 jenis teh asli dan teh adunan tangan.


TWG berjaya mengadunkan pelbagai cita rasa teh yang dibungkus dalam bekas menarik.


Tahun lepas, syarikat itu membuka butik teh kedua, yang lebih mewah, di gedung membeli-belah mewah terbaru ION Orchard di Orchard Road yang menawarkan lebih 400 jenis teh TWG.

Kedai-kedai teh itu juga menawarkan pastri teh yang dibuat eksklusif oleh chef utama dan eksekutif TWG, Philippe Langlois.

Sejak itu, perniagaan TWG terus berkembang dan produk-produknya menempah nama sebagai satu jenama antarabangsa yang disegani dalam dunia teh.

Sehingga hari ini, koleksi teh TWG terdiri daripada 1,000 jenis teh asli serta adunan teh eksklusif dari setiap negara pengeluar teh dunia.

Antara adunan teh di bawah jenama TWG termasuklah Tibetan Secrets, The Napoleon, The Rwanda Express, Weekend in Moscow, Weekend in Shanghai, Polo Club, Smoky Russian, French Earl Grey dan Earl Grey Amour yang dibungkus dalam bekas unik.

Syarikat itu turut menawarkan barangan kaca dan logam buatan tangan seperti porselin, tanah liat, teko dan pencedok teh.

Kedua terlaris di Harrods

Teh TWG kini dihargai oleh peminat-peminat teh dan mempunyai permintaan tinggi daripada pengusaha makanan tempatan dan antarabangsa.

TWG pada Julai lepas berjaya meyakinkan syarikat penerbangan Singapore Airlines untuk menawarkan teh premiumnya kepada penumpang-penumpang kelas Sut, Pertama dan Perniagaan.


TWG mempunyai butik teh di Raffles Place dan ION Orchard di Singapura.


Barnes berkata, syarikat tersebut juga mewujudkan satu rangkaian edaran dan peruncitan antarabangsa di gedung-gedung beli-belah terkemuka merentasi Asia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Beliau berkata TWG Tea muncul sebagai teh kedua paling diminati selepas teh Harrods di Harrods London.

Bulan ini (Jun) syarikat membuka kaunter khusus TWG Tea di Harrods di mana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati adunan teh eksotik yang ditawarkan oleh TWG Tea tetapi juga barisan luas daun teh asli dan adunan dari seluruh dunia.

Syarikat itu memperoleh bekalan teh dari pelbagai ladang teh di Asia seperti Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar, Bangladesh, Jepun, Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, China, Iran, Kenya dan Rwanda.

Barnes berkata TWG Tea memilih Singapura bagi menempatkan ibu pejabatnya kerana ia mudah untuk berurusan dengan ladang-ladang teh terbaik di Asia.

Takut isteri, anak murtad

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup berkorban apa saja bagi memulih dan mengembalikan isteri ke pangkuannya selepas wanita saudara baru itu dipercayai terpesong akidah dan kembali mengamalkan gaya hidup bukan Islam.

BERBEKAS...Malik menunjukkan kesan libasan penyangkut baju oleh  isterinya di belakang badan.
BERBEKAS...Malik menunjukkan kesan libasan penyangkut baju oleh isterinya di belakang badan.
Lebih membimbangkan lelaki berkenaan, dia mendapat maklumat bahawa isteri dan keluarga mentuanya membuat perancangan untuk melarikan anak perempuan bongsunya yang berusia lapan tahun ke Australia sebelum menukar agama sesampai di sana kelak.

“Saya tak rela anak saya menjadi bukan Islam. Saya sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan akidahnya, begitu juga isteri saya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Malik.

Malik, 50, berkahwin dengan isterinya yang kini berusia 43 tahun pada 1999 atas dasar cinta walaupun mendapat tentangan daripada mentuanya. Isterinya menganut Islam dua tahun sebelum mereka berkahwin.

“Isteri saya kini sudah menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Saya amat bimbang anak bongsu saya juga akan turut terpesong akidah akibat terpengaruh gaya hidup isteri saya itu.

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan isteri. Ini kerana keluarga mentua tidak pernah berhenti menjalankan usaha untuk menarik isteri saya ke agama asalnya. Mereka memang tidak bersetuju dengan perkahwinan kami kerana berlainan agama,” katanya di sini, semalam.Malik mendakwa sejak mendirikan rumah tangga, keluarga isterinya tidak pernah putus asa menggunakan pelbagai cara untuk menghancurkan perkahwinan mereka sama ada dengan cara kasar dan halus.


“Saya tidak lagi tinggal bersama isteri sejak April lalu. Ketika itu, isteri saya bertindak ganas apabila membaling batu alas peti sejuk ke arah saya selepas berlaku perselisihan faham.

“Saya kemudian mengambil keputusan keluar dari rumah dan meninggalkan dua anak bersama isteri.

“Saya turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis menasihatkan saya tidak kembali ke rumah kerana dikhuatiri isteri saya bertindak lebih ganas termasuk membunuh saya,” katanya.

Dia berkata, sikap isterinya mula berubah menjadi panas baran selain sering meneguk arak sejak setahun lalu sehingga sanggup memukulnya dan anak dengan pelbagai objek termasuk batu alas peti sejuk dan penyangkut baju sehingga mendatangkan kecederaan.

Malah, Malik mendakwa anak perempuan sulungnya pernah dipukul dengan garpu kayu hiasan dinding hanya semata-mata lambat datang ke dapur apabila dipanggil.

“Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk memulihkan kembali akidah isteri termasuk menemui 22 pakar agama terkenal, namun sehingga kini masih tidak berjaya. Saya juga sudah menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM16,000 bagi tujuan itu.

“Anak sulung saya pernah memberitahu bahawa ibunya selalu membawa dia dan adiknya ke rumah ibadat bukan Islam serta melarangnya memakai tudung dan pakaian menutup aurat,” katanya.

Malik berkata, sebelum ini, walaupun tinggal berasingan, dia masih pulang untuk melihat kedua-dua anak perempuannya itu tetapi tidak bermalam.

Selepas anak sulungnya memberitahu dipukul dengan garpu hiasan, Malik membawa anaknya itu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Di balai polis, anak sulung saya menceritakan apa yang berlaku sebelum membuat keputusan tinggal bersama saya.

“Saya ada pergi ke rumah isteri di Rawang, awal bulan ini tetapi rumah berkenaan berkunci. Sejak itu, saya tidak tahu di mana isteri dan anak bongsu saya berada.

“Saya syak mereka kini berada di Australia kerana keluarga isteri memiliki taraf penduduk tetap (PR) di negara berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, Malik berkata, dia meminta pihak berkuasa membantunya untuk mengesan isteri dan anak bongsunya itu.

Tersungkur di pusat urut

PUTRAJAYA: Ketika umat Islam khusyuk menunaikan solat Jumaat, empat anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen termasuk seorang pegawai dicekup ketika berada dalam sebuah pusat urut dipenuhi ‘cewek’ Indonesia yang dipercayai turut menawarkan khidmat urut batin dan seks.

Ketika dicekup pada jam 2.15 petang Jumaat lalu, keempat-empat penguat kuasa yang berusia 25 hingga 30 tahun itu memberi alasan memantau pendatang asing tanpa izin di premis berkenaan kira-kira 100 meter dari sebuah masjid di pusat bandar Klang.

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop berkata, pihaknya meragui alasan itu kerana ketika ditahan, mereka dalam keadaan sedang ‘menanti sesuatu’ di ruang tamu premis berkenaan.

“Penguat kuasa terbabit ditahan dan diambil keterangan selepas pihak Jais curiga dengan kehadiran mereka di premis maksiat itu ketika umat Islam sedang mendirikan solat Jumaat dan premis itu pula hanya kira-kira 100 meter dari masjid,” katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas orang awam melaporkan premis itu dipercayai menjadi tempat umat Islam melakukan kegiatan maksiat dan melampiaskan nafsu serakah terutama pada waktu solat Jumaat.

“Kita percaya mereka (penguat kuasa Jabatan Imigresen yang ditahan) menganggap anggota penguat kuasa Jais tidak melakukan serbuan untuk tempoh dua jam umat Islam mendirikan solat Jumaat.“Namun, mereka silap kerana sepanjang waktu solat Jumaat penguat kuasa wanita Jais mengambil alih tugas memantau kegiatan premis terbabit sebelum penguat kuasa lelaki melakukan serbuan sejurus selesai solat Jumaat,” katanya.


Shahrom berkata, pihaknya tidak menerima alasan mereka memantau pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di premis urut berkenaan memandangkan pemantauan itu dilakukan ketika umat Islam mendirikan solat Jumaat.

“Walaupun ketika serbuan mereka ada di ruang menunggu, apa yang sahih mereka tidak mendirikan solat Jumaat walaupun masjid hanya kira-kira 100 meter dari premis maksiat itu.

“Kami tidak tahu sama ada empat lelaki itu sudah diberikan ‘khidmat’ oleh tukang urut warga Indonesia di premis urut itu atau sebaliknya,” katanya.

Shahrom berkata, keempat-empat penguat kuasa Jabatan Imigresen terbabit turut diminta hadir di ibu pejabat Jais di Shah Alam, semalam untuk diambil keterangan dan diberikan kaunseling.

Dalam serbuan sama, Shahrom berkata, pihaknya menahan seorang tukang urut wanita warga Indonesia yang sedang memberikan khidmat urut ‘ghairah’ tanpa pakaian kepada seorang pelanggan bukan Islam yang juga tidak berpakaian.

Beliau berkata, lapan lagi rakan cewek itu yang dipercayai tukang urut di premis sama juga diambil keterangan sebelum diberi kaunseling berkaitan kerja maksiat dilakukan itu.

“Siasatan mendapati, premis itu dilengkapi bilik khas untuk pelanggan diberikan khidmat urut ghairah selain beberapa lorong bagi memudahkan mereka melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

“Kami percaya tukang urut wanita yang berbogel itu tidak mendapat maklumat daripada rakan lain menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Shahrom berkata, warga Indonesia terbabit ditahan mengikut Seksyen 29 (1)(a)(b), Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melakukan maksiat.

Menurutnya, Jais mengingatkan umat Islam di negeri itu supaya tidak menggunakan tempoh dua jam ketika umat Islam mendirikan solat Jumaat untuk melakukan maksiat dan kerja terkutuk kerana penguat kuasa Jais tetap melakukan pemantuan di premis yang dikenal pasti.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan maksiat supaya memberikan maklumat lengkap bagi membolehkan serbuan dilakukan,” katanya.

Pemansuhan peperiksaan tak boleh selesai masalah

PELAJAR negara ini cukup sinonim dengan peperiksaan dan dianggap tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan individu serta institusi pendidikan.

pix_middle
pix_topright
Peperiksaan menjadi ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.


Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.


Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya? Profesor Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron berkata, peperiksaan sedia ada tidak perlu dimansuhkan supaya tahap penguasaan dan pemahaman pelajar boleh dinilai.


Menurutnya, peperiksaan adalah teras dalam menentukan institusi persekolahan sudah bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi melancarkan proses pembelajaran.


"Memansuhkan peperiksaan tidak boleh menyelesaikan masalah. Perkara yang perlu diperbetulkan adalah pelaksanaan sistem pendidikan bagi melancarkan proses pemberian dan penerimaan ilmu.


"Menilai kesediaan dan mengukur prestasi pelajar adalah menerusi peperiksaan. Melalui cara ini, institusi pendidikan boleh membuat kesimpulan sama ada proses pendidikan diterima berjaya atau sebaliknya," katanya.


Falsafah pendidikan menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran pada tahap dijangkakan).


Menurutnya, jika pelajar boleh memberi tindak balas positif terhadap kaedah asas itu, bermakna mereka berkemampuan menjalani proses pembelajaran.


Justeru, masyarakat perlu jelas dan memahami matlamat utama peperiksaan serta tidak melihatnya sebagai mekanisme menyusahkan pelajar.


"Sebahagian besar masyarakat mengaitkannya sebagai tekanan akademik, bebanan yang merosakkan pembangunan modal insan serta sosial. Lihat peranan dan kepentingannya dalam melaksanakan falsafah pendidikan negara."Juga nilai kesediaan pelajar secara berperingkat terhadap proses pembelajaran supaya dapat memperbaiki pencapaian, " katanya.


Beliau mengakui sistem pendidikan negara juga perlu lebih anjal dan menggunakan mekanisme pendidikan berbeza seperti yang dilaksanakan negara maju.


"Negara seperti Korea menilai tahap pelajar menerusi peperiksaan khas dengan penentuan kelas mengikut tahap kesediaan, selain melakukan pemantauan berkala bagi melihat peningkatan," katanya.


Dr Isahak berkata, kaedah itu diperakui, malangnya tidak dipraktikkan di negara ini mengakibatkan pelajar lemah terus ketinggalan.

Tiada istilah pelajar gagal dalam falsafah pendidikan dan masing-masing mempunyai keupayaan berbeza yang memerlukan lebih masa, bimbingan dan latihan bagi memantapkan pencapaian.


"Sistem pendidikan lebih fleksibel berdasarkan minat, kebolehan dan bakat perlu diwujudkan supaya pengakhiran proses pembelajaran mampu mencapai sasaran.


"Jika peperiksaan ingin dimansuhkan, pastikan wujud sistem pendidikan lebih berkualiti dengan penjanaan pelbagai program alternatif seperti melaksanakan ujian mudah berkala.


"Keputusan ujian juga perlu dihebahkan untuk tatapan umum supaya masyarakat boleh melihat prestasi semasa. Sebarang pendekatan sekali pun, perlu ikut kemampuan pelajar," kata Dr Isahak.

Bengkel jahitan jana pendapatan

TIADA apa yang lebih menggembirakan bagi sesetengah ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) apabila keinginan serta minat mereka dipenuhi.

RASMI...wakil RTK, Muslim Aid dan Pusat Jahitan & Senireka  Cemerlang bergambar bersama ibu tunggal dan OKU.
RASMI...wakil RTK, Muslim Aid dan Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang bergambar bersama ibu tunggal dan OKU.
JANA PENDAPATAN...kemahiran menjahit membuka peluang luas untuk  tambah pendapatan.
JANA PENDAPATAN...kemahiran menjahit membuka peluang luas untuk tambah pendapatan.
Apatah lagi sekiranya perkhidmatan itu diberi secara percuma, sekurang-kurangnya meringankan beban mereka yang kebanyakannya tidak bekerja. Jika sebelum ini rumah perlindungan wanita terutama bagi ibu tunggal hanya menyediakan perlindungan daripada segi tempat tinggal, makanan serta minuman sahaja, kini ada sinar lebih menggembirakan bagi mereka apabila Muslim Aid melancarkan bengkel jahitan pakaian, langsir dan kraftangan bermula 12 Mei lalu bertempat di Rumah Titian Kaseh (RTK), Kuala Lumpur. Menurut Pengarah Program Bengkel Jahitan Muslim Aid, Azmira Sarip, bengkel berkenaan adalah program komuniti untuk ibu tunggal dan OKU sekitar Kuala Lumpur dengan mendapat dana daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) serta bantuan tiga mesin jahit daripada Baitulmal. "Ketika berkunjung ke RTK, kami mendengar keinginan ibu tunggal yang mahu belajar menjahit. Selepas berbincang dan membuat kertas kerja, akhirnya bengkel jahitan dapat dijalankan," katanya. Bengkel jahitan pakaian yang bermula pada Mei lalu kini menjalani sesi pembelajaran kelima dan akan berakhir apabila sampai sesi kelapan. Selepas itu akan diteruskan untuk jahitan langsir dan kraftangan. Untuk setiap sesi, 10 ibu tunggal dan OKU terbabit. Mereka akan menjalani kelas jahitan pada waktu malam bermula pada jam 8 sehingga 10 malam pada Isnin dan Khamis sahaja. Tenaga pengajar adalah daripada Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang dengan tenaga pengajarnya, Zunaini Ismail. "Latihan pada waktu malam bagi membolehkan ibu tunggal bekerja supaya bersama-sama belajar menjahit," katanya.


Menurut Azmira, bengkel jahitan ini bertujuan membantu ibu tunggal dan OKU supaya dapat menjana pendapatan sendiri. Sekurang-kurangnya selepas selesai sesi latihan, mereka boleh menjahit pakaian untuk keluarga atau mengambil upah menjahit. Selain untuk warga RTK, bengkel jahitan terbuka kepada orang ramai. Menurut Pengerusi Rumah Titian Kaseh, Sharifah Adlan, dia amat terharu dengan program komuniti anjuran Muslim Aid kerana dapat membantu ibu tunggal dan OKU supaya mereka memiliki kemahiran tertentu. "Sebelum ini mereka mempunyai kemahiran memasak dan menjalankan katering di kawasan sekitar serta membuat kraftangan. Kini dengan adanya bengkel jahitan, ibu tunggal mempunyai peluang yang sangat cerah untuk memperluaskan kemahiran mereka kepada keluarga pula.


"Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi perlu membeli pakaian," katanya. Apa yang penting, masyarakat di luar sentiasa menunjukkan sokongan dengan membeli barangan yang dihasilkan RTK. Menurut Abizatul Abu Bakar, 35, sebelum ini dia langsung tidak tahu menjahit walaupun ibunya adalah tukang jahit. "Saya tidak pernah berkeinginan menjahit sehinggalah wakil daripada Muslim Aid datang ke sini. Selepas tamat sesi latihan saya akan menyambung kepada jahitan langsir dan membuat kraftangan. "Baru sekarang saya terfikir pentingnya seseorang itu mempunyai kemahiran. Tambah pula ibu tunggal seperti saya. Selepas ini saya boleh menjahit baju raya untuk diri sendiri dan anak," katanya. Bagi Haslinda Dol Hamid, 37, kematian suami pada 2004 memberi pengajaran kepadanya. Ini kerana ketika itu dia tidak bekerja dan terpaksa menyara tiga anak. "Mujur saya diterima tinggal di RTK bersama tiga anak. Bayangkan ketika suami meninggal saya mengandung anak bongsu. Sekarang saya mahu menggunakan peluang yang ada. "Saya belajar menjahit untuk diri sendiri dan anak, jika semakin mahir saya bercadang mahu mengambil upah menjahit," katanya yang kini menyewa kedai menjual baju terpakai dan barang runcit di Istana Budaya. Bagi pemilik Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang, Zamri Zaid, menjadi tukang jahit dan tinggal di bandar besar menjanjikan pendapatan lumayan, walaupun seseorang itu tidak mempunyai butik. Untuk sepasang baju kurung tanpa jahitan manik boleh mencecah harga antara RM45 hingga RM55. Sekiranya dihasilkan di butik, upah menjahit baju meningkat kepada RM80 hingga RM150 ke atas bergantung kepada jenis kain. Sekiranya sepasang baju kurung bersama sulaman manik, harga semakin meningkat.


Justeru, mempunyai kemahiran menjahit pakaian adalah satu kelebihan kerana mereka boleh memiliki perniagaan sendiri. "Modal untuk menjahit baju tidak besar. Bagi tukang jahit sambilan mereka tidak perlu menyewa kedai. Modal digunakan hanya benang dan mesin jahit.


"Justeru bengkel jahitan pakaian anjuran Muslim Aid dan RTK ini sangat baik untuk wanita menambah kemahiran yang ada di samping menjana pendapatan dalam perniagaan," katanya.