KUALA TERENGGANU – Seorang pencuri yang berpakaian kemas dan berkopiah mengaburi mata orang ramai apabila melarikan kesemua wang dalam peti besi di sebuah masjid di sini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi di Masjid Al-Furqan, Chendering, di sini, kelmarin.
Seorang petugas masjid, Muhammad Zahir Hanaphi yang sedang melakukan kerja-kerja rutin di masjid itu terkejut setelah menyedari pintu besi yang terletak di kawasan ruang solat Muslimah terbuka.
“Saya kemudian membuat pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang pemuda berpakaian kemeja biru, berseluar hitam dan berkopiah masuk ke masjid,” katanya, di sini.
Menurutnya, melalui rakanan CCTV, suspek dilihat cuba mengambil duit gunakan lidi namun selepas usahanya tidak berhasil, suspek kemudian mengambil playar untuk membuka mangga besi sebelum melarikan kesemua wang yang dipindahkan terlebih dahulu ke dalam beg plastik berwarna oren.
Imam Masjid Al-Furqan, Suhaimi Taib pula berkata, kecurian di masjid tersebut bukan kali pertama berlaku dan pernah beberapa kali terjadi sebelum ini.
Jelasnya, kecurian kali ini dianggarkan melibatkan wang tunai lebih RM3,000 selain kerosakan pada peti besi.
Beliau berkata, kejadian kecurian sebelumnya telah menyebabkan pihaknya meletakkan CCTV bagi tujuan keselamatan namun tidak menolak untuk meningkatkan lagi sistem keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Laporan polis sudah dibuat dan kita harap polis dapat ambil tindakan. Bagi keselamatan masjid, kita mungkin memperbaiki lagi sistem sekuriti pada masa akan datang kerana CCTV yang ada tidak cukup tetapi alat tersebut tetap bantu kita mengenal pencuri terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: