KETIKA mula diperkenalkan pada Mei 2012, rancangan Oh My English yang bertemakan komedi dan pendidikan menjadi antara rancangan yang mendapat sambutan pada ketika itu.
Dek kerana sambutan hangat itu jugalah, rancangan tersebut disambung sehingga musim keempat dan kini turut mempunyai lima telefilem termasuk yang terbaharu, Oh My Ganu 2.
Oh My Ganu 2 merupakan kesinambungan yang kepada Oh My Ganu yang ditayang pada November 2013 lalu, menyaksikan gandingan pelakon asal Oh My English seperti Zain Saidin (Henry Middleton), Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Izzue Islam (Aiman), Roax Tan (See Yew Soon), Juzzthin (Zack), Nadiya Nisaa (Jojie), Izara Aisyah (Azlin), Zhafir Muzani (Mazlee) dan Akhmal Nazri (Jibam).
Diarahkan Umi Salwana Omar yang juga pengarah Oh My English musim pertama, Oh My Ganu 2 turut menyaksikan kemunculan semula Zizan Razak bersama Datuk Rahim Razali, Izzue Islam.
Menurut Umi, Oh My Ganu naskhah terakhir Oh My English yang menyaksikan pelakon asal bergandingan bersama pelakon undangan.
Buat pertama kalinya dalam Oh My English, penonton diberi kuasa memilih pengakhiran yang mana menjadi pilihan mereka; dengan mengundi sama ada Cikgu Ayu akan bersama Zizang ataupun Mr Henry Middleton.
"Jika penonton yang mengikuti Oh My English musim keempat, mereka sudah sedia maklum kelas Lima Merah sudah pun tamat persekolahan.
"Jadi untuk telefilem ini kita fokus kepada pengakhiran kisah cinta Mr Henry dan Cikgu Ayu. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita tampilkan pertarungan musuh Henry iaitu Zizang yang turut merebut cinta Cikgu Ayu.
"Penonton boleh undi berulang kali sehingga ke dua jam sebelum telefilem ini ditayang pada 16 Januari ini jam 9 malam," katanya kepada Zass.
Berkongsi mengenai penggambaran telefilem ini, Umi berkata, Oh My Ganu 2 menjalani penggambaran di lokasi sama dengan telefilem Oh My Ganu iaitu di Sepang, Selangor.
"Kita menjalani penggambaran selama tujuh hari sekitar Oktober tahun lalu.
"Untuk nampakkan kesinambungan, kita jalani penggambaran di lokasi sama dengan telefilem Oh My Ganu pertama," ujarnya.
Tambah Umi, cabaran utama dalam menyiapkan telefilem terakhir ini adalah untuk mengimbangkan dua babak akhir; di mana melibatkan Zizan dan Tiz serta Zain bersama Tiz.
"Kalau boleh kita tak mahu ada lebih atau ada kurang dan kedua-dua babak akhir itu kelihatan seimbang.
"Walaupun secara peribadi sebagai orang yang mengikuti Oh My English, tentulah kita nak tengok Cikgu Ayu akhirnya bersama Mr. Henry (ketawa).
"Apa-apa pun kita serah kepada penonton buat pilihan," jelasnya.
Keserasian pelakon
Ditanya mengenai kenangannya bersama siri Oh My English, Umi berkata, banyak kenangannya bersama kru dan pelakon Oh My English sejak hampir empat tahun lalu.
Tambahnya, dek terlalu lama bersama, keserasian pelakon sangat tinggi sehinggakan keakraban di dalam set berlarutan sehingga ke luar set.
"Dari segi keserasian saya tidak perlu bimbang, macam mana mereka di dalam set, begitu juga mereka di luar.
"Mereka sudah ibarat seperti teman rapat yang ke mana sahaja bersama.
"Kalau ikutkan semua sedih juga bila Oh My English sudah sampai ke penghujung, tapi nak buat macam mana?," katanya yang meminta penonton menantikan sama ada Oh My English akan disambung ke musim baharu atau tidak selepas ini.
Umi berkata, untuk telefilem akhir ini, dia berharap penonton terhibur saksikan kesudahan Oh My English.
Oh My Ganu 2 mengisahkan pelajar Kelas 5 Merah membentuk jawatan kuasa majlis perkahwinan. Masing-masing memberikan idea bernas bagi memastikan majlis perkahwinan Cikgu Ayu dan Mr Henry merupakan yang terbaik untuk tahun ini.
Zizang yang mendapat tahu perkara itu menerusi laman sosial Kelas 5 Merah berjanji merebut Cikgu Ayu.
Namun satu tragedi berlaku membuatkan Cikgu Ayu hilang ingatan. Dari situ bermulalah perebutan antara Mr Henry dan Zizang untuk mendapatkan cinta Cikgu Ayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: