Wednesday, October 16, 2013

Saya belum kahwin - Shahir

SHAHIR mengaku masih bujang dan sempat mengucapkan tahniah buat Rozita Che Wan yang bakal berkahwin dengan Zain Saidin pada Disember ini.


AHMAD SHAHIR ZAWAWI atau nama pentasnya, Shahir, 25, menghilangkan diri agak lama daripada dunia seni tempatan. Kehilangannya telah menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk dikatakan telah berkahwin.
Realitinya, pada saat namanya memuncak, Shahir memilih pulang ke kampung untuk berada di sisi keluarga.
Bintang Akademi Fantasia musim kelapan itu percaya pada kuasa Allah dan rezeki yang telah ditetapkan kepadanya terkini mahu pun pada masa akan datang. Itu pengorbanan Shahir.
Bukan bermakna mahu melihat kariernya merudum gara-gara memencilkan bakat seketika untuk memberi ruang kepada diri menunaikan tanggungjawab kepada keluarga tetapi, memasang keyakinan menebus kekecewaan peminat yang menantikan kemunculan semulanya lebih setahun.
"Allah yang mengizinkan peminat untuk menyokong atau membenci saya. Dia yang menentukan rezeki saya atau titik perjuangan kerjaya saya. Saya tidak pernah takut akan hilang rezeki suatu hari nanti sebab apa jua yang saya lakukan mengharapkan keredaan-Nya.
"Begitu juga keluarga serta kedua-dua ibu bapa saya. Saya mengharapkan keberkatan daripada mereka, malah selama saya dalam dalam bidang nyanyian saya tidak merasakan diri saya bagus atau cukup sempurna untuk tiba-tiba mengambil langkah drastik menghilangkan diri kerana beranggapan bahawa akan sentiasa ada peminat sedia menanti saya pada bila-bila masa kelak.
"Saya tidak boleh memberikan jaminan bahawa saya tidak akan menghilangkan diri suatu masa nanti kerana liku-liku masa atau kehidupan setiap orang berbeza-beza.
"Cuma saya menjanjikan kali ini kemunculan saya adalah lebih bersedia," kata Shahir yang ditemui usai konsert Akademi Fantasia 2013 di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya, malam Ahad lalu.
Kemunculan Shahir secara tiba-tiba dari belakang pentas berduet lagu Ada Apa Dengan Cinta bersama salah seorang peserta Akademi Fantasia 2013, Aishah benar-benar menghadiahkan satu kejutan yang luar biasa kepada penonton begitu juga peserta terbabit.
Bukan melengkapkan drama kehilangan dirinya tetapi kemunculan khas itu, kata Shahir adalah bagi membuktikan bahawa dirinya kini benar-benar bersedia untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai penghibur dalam industri seni.
Bukan sandiwara
Tanda tanya kehilangan Shahir terus menjadi pokok perbualan. Kenapa sehingga perlu menghilangkan diri dalam tempoh yang begitu lama.
Namun sepanjang waktu tiada khabar berita daripada Shahir juga, dua buah single yang dipetik daripada album pertamanya yang berjudul Shahir, tetap dilancarkan.
"Cuti panjang itu untuk saya melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga dan apabila semuanya sudah selesai, saya keluar. Memang niat saya untuk meninggalkan dunia seni seketika dan menumpukan sepenuhnya fokus kepada urusan keluarga.
"Tapi saya minta maaf, urusan keluarga itu tidak dapat saya kongsikan kepada orang ramai kerana terlalu peribadi," jelas anak sulung daripada lima beradik itu.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh kehilangannya, pernah sekali Shahir diundang untuk berduet bersama Adira menerusi salah sebuah konsert rancangan realiti nyanyian, Mania sekitar pertengahan tahun lalu, ia sekali gus disalah anggap oleh segelintir pihak bahawa dia sudah sedia kembali ke dunia seni.
Namun, selepas itu, dia kembali menghilang sebelum kini muncul kembali. Katanya, usai melaksanakan tanggungjawab kepada keluarganya kini dia memasang tekad baharu untuk memberikan sepenuhnya kudrat bagi mempromosikan kedua-dua buah single, Aku Yang Berdosa dan Dia Yang Kau Pilih serta albumnya yang tertangguh sekian lama.
Ditanya adakah urusan keluarga itu bermakna dia telah berkahwin senyap-senyap tanpa menghebohkan kepada media atau peminatnya semata-mata mahu memberikan ruang privasi kepada diri dan keluarga, jawab Shahir, dakwaan itu sama sekali tidak benar.
"Pelbagai spekulasi timbul setelah saya menghilangkan diri. Pernah terlintas untuk kembali menyanyi, tapi saya pentingkan keluarga lebih daripada segalanya. Sepanjang tempoh itu, saya langsung tidak membuat sebarang persembahan pentas.
"Keluarga saya faham dengan keadaan saya dan tidak mendesak untuk saya kembali bekerja walaupun mereka tahu saya masih sayangkan karier saya. Saya tidak pernah silap untuk meninggalkan semua yang berkaitan dengan karier disebabkan mereka.
"Saya masih solo dan belum berkahwin. Ada juga pihak yang mendakwa saya pulang ke kampung untuk berubat kerana terkena penyakit misteri, itu pun tidak betul. Alhamdulillah saya masih sihat sampai hari ini," jelasnya.
Merajuk
Ironi seperti judul single hit terbaharu dirinya, Dia Yang Kau Pilih, apakah mungkin atas dasar pelakon jelita yang pernah digosipkan menjalinkan hubungan dengan Shahir sebelum ini iaitu Rozita Che Wan yang telah memilih Zain Saidin sebagai bakal suaminya membuatkan hati Shahir membungkam seraya meninggalkan kota Kuala Lumpur untuk kembali ke pangkuan keluarga di Kampar, Perak?
Jelas Shahir lagi: "Itu tiada kena mengena dengan saya dan cumalah gosip liar. Kami tidak pernah mempunyai sebarang hubungan cinta sebelum ini dan sama sekali tidak merajuk atas sebab itu hingga pulang ke kampung."
Meneguhkan kata-katanya, ujar Shahir dia sama sekali tidak mengetahui akan kehadiran Rozita Che Wan ketika konsert Akademi Fantasia 2013 yang sama hujung minggu lalu. Dia disembunyikan oleh pihak produksi sementara menantikan giliran membuat persembahan terakhir bersama pelajar tersebut.
Ketika konsert sama, Rozita ditampilkan sebagai gimik persembahan lagu Pencinta Wanita nyanyian kumpulan duo Azhael pada giliran ketiga.
Begitupun, Shahir sempat melayangkan ucapan tahniah kepada Rozita yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pelakon muda Zain Saidin pada bulan Disember depan.
"Tahniah saya ucapkan, saya mendoakan semoga bahagia hingga akhir hayat dan saya harap selepas ini tiada lagi yang mengaitkan saya dengan dia atau sesiapa saja. Mungkin impaknya tidak besar, tapi disebabkan gosip-gosip atau cerita tidak berasas ini akan membuatkan sesetengah pihak tersinggung. Cukuplah setakat ini saja," ujar Shahir.
Shahir dan cinta? Tegasnya, dia langsung tidak memikirkan soal itu buat masa sekarang, biarlah dia merencanakan kembali kariernya yang ibaratnya seperti telur di hujung tanduk, tunggu masa untuk jatuh.
Siap siaga
Selain album lengkap enam lagu yang masih belum dipromosikan, Shahir memberitahu bahawa dia bakal menyiapkan single terbaharu dalam sukatan yang lebih realistik, muzik yang beridentiti serta menyalurkan mesej kepada pendengar.
"Sebelum ini saya ada pelbagai identiti muzik yang kadangkala mengelirukan pendengar. Selepas ini saya akan mencari satu kelainan baharu supaya dalam lagu saya boleh menyampaikan mesej tertentu. Senang cakap saya mahu menghasilkan lagu yang mempunyai dwimakna.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: