Thursday, October 17, 2013

Olahan tari tradisional

BARISAN kareografer daripada setiap JKNN diperkenalkan kepada penonton sebelum hasil kreativiti mereka dipersembahkan.


EKORAN sambutan dan respons menggalakkan sejak dilancarkan empat tahun lalu, Malam Gala Inspitari terus menjadi majlis wajib yang tercatat dalam kalendar acara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) setiap tahun.
Inspitari merupakan gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tari. Tema itu membawa konsep satu garapan daya cipta dan kreativiti yang ditampilkan dalam bentuk persembahan tari baharu berasaskan imej dan identiti negeri dan masyarakat Malaysia yang dipersembahkan oleh kumpulan kesenian JKKN.
Menghidangkan seni tari asli yang memukau penonton, Majlis Malam Gala Inspitari 2013 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini mengetengahkan garapan 16 tarian tradisional dari setiap negeri.
Peserta dari JKKN seluruh negara telah mengolah semula tarian tradisional yang diberi nafas baharu terutama aspek pola lantai, pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana.
Penglibatan peserta yang mantap dari kumpulan kesenian JKKN negeri dilihat mampu mewarnakan industri seni tari tradisional Malaysia ke arah lebih kontemporari.
Penganjuran majlis tahun ini juga diserikan lagi dengan kehadiran delegasi dari Korea Selatan dan China.

TARIAN bertajuk Joget Peran ini dibawa oleh JKKN Perlis.


Karya baharu
Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dalam ucapannya berkata, sehingga kini, kira-kira 64 karya baharu berjaya dicipta oleh 16 orang pereka tari dari JKKN seluruh negara.
"Selain itu, seramai 260 orang artis kebudayaan JKKN dari seluruh negara telah terlibat dalam mencernakan karya tari pada tahun ini," ujarnya.
Malam Gala Inspitari 2013 dimulakan dengan persembahan tarian Kemahang dari JKKN Pahang hasil olahan Mohd. Ash'ari Osman. Kemahang merupakan sejenis tumbuhan keladi dari genus Colocosia.
Gerak tari dan pakaian penari jelas menceritakan mengenai sebuah kampung yang diberi nama Kemahang, bersempena kehadiran tumbuhan itu di merata kawasan kampung itu.
Pereka tari tarian tradisional terkemuka tempatan, Sazlan Mat Adnan dari Sazlan Dance Group memberitahu, tiga persembahan dari kumpulan JKKN menepati tema karya dalam tarian tradisional.
"Saya tertarik dengan gerak tari yang dibawa oleh JKKN Sabah, Sarawak dan Kedah kerana telah mempersembahkan keaslian tarian dari negeri masing-masing walaupun menyelitkan elemen kontemporari.
"Tarian tradisional yang diolah semula merupakan satu idea baharu dalam industri seni tari tempatan. Ia mampu memberi impak kepada pereka tari muda untuk terus berkarya dalam menghasilkan seni tari yang lebih segar," ujarnya.
Pujian
Wakil dari JKKN Sabah yang mempersembahkan tarian Iluk Sumandak atau tarian Anak Dara daripada suku kaum Tidong daerah Tawau merupakan antara yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Selain itu, JKKN Sarawak yang mempersembahkan tarian Menyak yang menggunakan tikar dan tampi tepung sebagai peralatan menggambarkan kehidupan suku kaum Melanau yang hidup di pesisir pantai negeri Sarawak.
Persembahan wakil dari Sarawak itu merupakan persembahan yang mendapat pujian ramai sepanjang dua hari majlis itu diadakan.
TARIAN JKKN Negeri Sembilan ini dikenali sebagai Randai Gelombang Cindai.


Dalam puluhan penonton yang hadir pada malam itu, kelihatan pelakon tanah air, Wan Sharmila Wan Mohamed yang turut menyaksikan persembahan tersebut.
"Saya amat berbangga dengan persembahan tarian tradisional yang dipersembahkan pada Malam Gala Inspitari pada tahun ini.
"Majlis ini merupakan platform terbaik untuk generasi muda mengenal tarian tradisional yang jarang diketengahkan di negara ini," ujarnya.
Antara tarian tradisional yang telah diolah oleh JKKN seluruh negara ialah Joget Peran dari JKKN Perlis, Randai Gelombang Cindai (JKKN Negeri Sembilan), Joget Kasih LRT (JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Inderawati (JKKN Kelantan) dan Cupak Hanyut (JKKN Perak).
Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut diberi peluang mempersembahkan tarian Joget Gamelan Sedarah.
Selain itu, persembahan jemputan daripada Asthana Art Group dengan tarian Tarikattathom merupakan satu-satunya tarian tradisional masyarakat India dalam majlis itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: