Konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Rock kapak Malaysia ini akan diadakan di pekarangan Pusat Penjagaan D' Sayang Bandar Tasik Puteri Rawang, bermula jam 2 petang sebelum meneruskan penjelajahan di seluruh Malaysia.
Timbalan Presidennya, Ridzwan Rahman, yang juga merupakan bekas vokalis Chapters, berkata, konsert itu akan melibatkan beberapa kumpulan rock kapak seperti Graviti, Data, CRK, Damasutra dan artis-artis rock popular di era 90-an dulu.
Bukan hanya konsert dan hiburan semata-mata, Ridzwan memberitahu, program ini diadakan bertujuan membantu mengisi tabung organisasi orang kurang upaya (OKU) .
"Dalam program ini, kami akan menjelajah beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
"Dana yang diperoleh juga akan digunakan bagi tujuan membina sebuah asrama khas berserta kemudahan rawatan secara percuma dalam membantu golongan yang kurang upaya," katanya.
Ridzwan berkata, program itu turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu golongan OKU. Selain konsert, pihaknya turut membuat lawatan ke rumah kebajikan dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama.
"Hasil lawatan, saya dapati golongan OKU sangat memerlukan perhatian dan kaedah rawatan yang baik. Saya berharap dapat membina sebuah asrama untuk golongan seperti ini.
"Tapi apa yang kita sedia maklum, kos untuk membina sebuah asrama bukannya sedikit. Kami akan berusaha mencari dana sebanyak mungkin," katanya.
Pulih pandangan negatif
Berkongsi mengenai hasratnya untuk menubuhkan asrama khas buat golongan OKU itu, Ridzwan berkata, idea ini timbul dari pengalamannya sendiri yang membesarkan seorang anak yang tergolong dalam OKU.
"Selama 21 tahun anak saya terlantar sakit, pelbagai usaha saya lakukan untuk memberi yang kemudahan terbaik untuk dirinya, namun disebabkan kos yang tinggi saya terpaksa membatalkan hasrat itu.
"Sejak dari itu, terlintas di fikiran untuk membantu mereka yang sama senasib seperti anak saya. Sebuah asrama yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan amat diperlukan bagi membantu mereka." katanya.
Ridzwan turut meluahkan rasa bangga apabila hasratnya itu mendapat sokongan yang baik dari rakan-rakan artis yang terlibat.
Menurutnya, dengan cara ini juga artis-artis rock tempatan dapat memulihkan pandangan negatif masyarakat terhadap mereka sebelum ini.
"Jika sebelum ini masyakat sering memandang negatif terhadap kumpulan rock, dengan adanya program sebegini ia sekurang-kurang dapat mengubah persepsi mereka, " katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: