SHAH ALAM: Aktor Hairul Azreen lega apabila tidak lagi dianggap sebagai lelaki 'jambu' selepas bergelar juara program Fear Factor Selebriti Malaysia pada Mac lalu.
Hairul atau nama penuhnya Hairul Azreen Idris, 24, berkata, selepas menjuarai program berkenaan bersama pelakon Dazrin Kamaruddin bakatnya sebagai pelakon semakin berkembang dan tidak lagi hanya tertumpu kepada watak tertentu sahaja.
"Sebagai seorang pelakon saya meminati watak-watak mencabar seperti aksi tetapi tidak pernah diberi peluang kerana wajah 'jambu' saya selain dianggap lembut.
"Tetapi syukur selepas bergelar juara Fear Factor situasi itu berubah dan saya sudah mula menerima pelbagai watak mencabar daripada pihak produksi," katanya kepada mStar Online selepas ditemui di Extreme Park Shah Alam di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Hairul turut mengakui gelaran yang diberikan kepadanya itu telah meninggalkan kesan kepadanya sehingga menyebabkan dia perlu membuktikan diri bahawa telahan sesetengah pihak kepadanya itu adalah salah.
"Sedih juga bila orang asyik kata saya 'jambu' dan 'lembut' kerana ia tidak mencerminkan diri saya sebenar di sebalik sifat luaran tersebut.
"Perangai saya juga pantang dicabar apabila disuruh melakukan sesuatu namun saya lega apabila gelaran itu tidak lagi dibangkitkan kerana telah membuktikan diri apabila menjuarai Fear Factor," jelasnya yang turut pernah bergelar pelakon lagak ngeri selama dua tahun.
Sementara itu, Hairul berkata, kerjaya lakonannya semakin berkembang apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dan mengambil kepercayaan tersebut untuk memberikan terbaik kepada peminatnya.
Jelasnya lagi, dia juga menyasarkan untuk memenangi anugerah dalam kategori pelakon terbaik sebagai salah satu cabaran dalam membuktikan dia bukan sekadar pelakon berwajah comel.
"Alhamdulillah bakat saya mula diberi perhatian dan ini juga adalah rezeki selepas kemenangan menerusi program Fear Factor.
"Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki tetapi selepas ini saya menyasarkan untuk memenangi anugerah pula," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hairul berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama bersama Nelydia Senrose selain bakal berangkat ke Las Vegas, Amerika Syarikat untuk drama bersiri terbaharunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: