Thursday, October 17, 2013

Fatwa Hati Nowseeheart

FAHD menyuntik elemen baharu dalam lagu Nowseeheart menerusi single kolaborasi mereka, Fatwa Hati.


MASIH lagi mengekalkan lirik-lirik ketuhanan dan kerohaniah, kumpulan nasyid Nowseeheart banyak memberi kelainan terutamanya dari segi konsep muzik yang dibawa oleh mereka.
Sejak awal kemunculan Nowseeheart pada tahun 1996, penampilan mereka yang memakai beret sudah pun menunjukkan keunikan.
Malah, konsep Nowseeheart yang mengetengahkan vokal soprano serta kumpulan koir menjadikan mereka sebagai kumpulan nasyid pertama yang berbuat demikian.
Sejak itu Nowseeheart telah mengambil keputusan untuk memberi kelainan dalam setiap album yang dikeluarkan. Single yang berjudul Damai Yang Hilang dari album sulung telah mula mempopularkan nama Nowseeheart sehingga ke hari ini.
“Mengimbau dari album pertama, kami keluar dengan konsep vokal seperti Queen manakala album kedua kami tampilkan gitar serta dram dalam muzik Nowseeheart.
“Album ketiga pula, kami tampil dengan konsep muzik berselawat, sedangkan pada masa itu masyarakat asyik dengan aliran muzik balada, rock dan pop.
“Seterusnya, kami membuat kompilasi dengan menampilkan muzik joget dan muzik tradisional. Terbaharu, kami selitkan genre rock nasyid yang mungkin bukan perkara baharu namun diberi kelainan oleh Nowseeheart,” tutur salah seorang anggota Nowseeheart, Azahari Abdul Rahman ketika mengadakan sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Walaupun telah menyepi selama empat tahun, namun, beritahu ketua kumpulan, Idzhar Jumali, permintaan peminat masih wujud dalam pasaran nasyid tempatan.
‘Percutian’ selama empat tahun itu telah dimanfaatkan oleh anggota Nowseeheart dengan kerja-kerja belakang tabir seperti penerbitan, penulisan lirik lagu selain komitmen kerja harian.
Selain itu, bercerita mengenai anggota kumpulan Nowseeheart yang dahulunya dianggotai oleh enam orang, kini mereka hanya tampil berempat meneruskan perjuangan.

NOWSEEHEART (dari kiri, Huzaimi, Sariman, Idzhar dan Azahari) pertama kali bergabung bakat dan aura dengan Fahd (tengah).


Mereka yang masih setia dan mahu menyalurkan kebaikan menerusi muzik mereka ialah Mohd. Huzaimi Mohd. Zaini, Muhammad Sariman, Azahari Abdul Rahman serta Idzhar Jumali.
“Mungkin bagi pendapat peribadi saya, industri masih perlukan Nowseeheart. Boleh dikatakan kami ialah kumpulan nasyid yang menjadi trendsetter kepada industri nasyid sendiri di Malaysia.
“Jadi, kami mahu berikan sesuatu perkara yang baharu dan kami juga dikenali dengan sebuah kumpulan nasyid yang melanggar perkara lazim yang dibuat oleh sebuah kumpulan nasyid. Kami mahu lakukan perbezaan dan tidak meniru dengan apa yang ada,” jelas Idzhar.
Fatwa Hati
Kehilangan Nowseeheart selama empat tahun juga memberi peluang kepada kumpulan itu untuk penghasilan album keenam mereka. Album yang masih dalam proses tersebut bakal dilancarkan pada hujung tahun kelak.
Namun, sementara itu, mengikut aliran muzik tempatan kini, mereka telah pun melancarkan single pertama dari album terbaharu ini yang berjudul Maafkan Aku.
“Alhamdulillah, single pertama dari album keenam kami yang berjudul Maafkan Aku telah dilancarkan dan klip video pula telah pun dimuatnaik ke dalam laman YouTube. Kini, kami sedang mempromosi single kedua pula yang diberi judul Fatwa Hati.
“Kali ini kami menggunakan konsep rock dan balada dalam album keenam kami, begitu juga Fatwa Hati dan kami juga telah berkolaborasi bersama Fadh. Lagu ini merupakan gubahan Azahari serta lirik oleh saya,” bicara Idzhar tentang Fatwa Hati yang dilancarkan pada bulan Oktober ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: