|
RAMADAN merupakan bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia. Kehadiran bulan yang dilimpahi dengan 1001 keberkatan dan rahmat itu pasti akan disambut dengan penuh rasa kesyukuran.
Selain tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat tarawih, bulan ini juga sinonim buat seisi keluarga mencari destinasi menarik untuk berbuka puasa bersama.
Bagi mereka yang inginkan suasana ala kampung yang dilatari pemandangan sawah padi, Restoran Istana Bambu paling sesuai untuk anda kunjungi.
Restoran ini menyediakan variasi hidangan tradisi yang pasti membuka selera. Antara menu istimewa yang ditawarkan ialah nasi ambeng, patin tempoyak, ayam masak lemak cili padi, sate, tempe belada, terung sambal, gulai daging salai dan asam pedas ikan pari.
Selain itu, sajian sotong telur masin, udang goreng nestum dan menu wajib kambing golek juga boleh dinikmati seadanya. Tidak ketinggalan, pelbagai kuih-muih Melayu disediakan di samping minuman seperti jus mangga, teh ais lemon, cendol dan sirap bandung cincau.
Konsep gerai beratap nipah menjadi penghias untuk setiap hidangan yang disediakan sekali gus menyuntik suasana seolah-olah berada di sebuah kampung yang permai.
Ketua Chef Restoran Istana Bambu, Zainab Abdullah, 60, semua resipi ini diyakini mampu menarik perhatian pelanggan untuk berbuka puasa di sana.
“Setiap tahun, juadah berbuka puasa yang ditawarkan tidak pernah menghampakan pengunjung. Jadi, kami tetap memilih sajian tradisi sebagai hidangan utama untuk dinikmati,” kata Zainab yang berpengalaman selama tiga dekad dalam dunia kulinari.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut menyediakan kemudahan surau di dalam kawasan restoran bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: