Monday, July 1, 2013

Kerajaan kaji haramkan shisha


SEORANG pelancong dari Turki menghisap shisha di sebuah restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin.


GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji bentuk perundangan paling sesuai untuk menguatkuasakan pengharaman shisha di negara ini sebagai langkah mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan pengguna terutama golongan belia.
Selain shisha, kerajaan juga sedang dalam cadangan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) yang penggunaannya kini popular untuk menggantikan rokok.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kesan menghisap shisha dalam kalangan penghisapnya dan ia meliputi beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan diputuskan.
Menurut beliau, kerajaan juga turut merangka beberapa tindakan mengikut Akta Farmasi dan Kawalan Barangan terhadap penjualan, pengimportan dan bahan nikotina serta peralatan menghisap.
“Isu yang berbangkit ialah bahan yang dihisap, contohnya di Pakistan dan Afghanistan, ia menjadi tradisi rakyat di negara itu dengan memasukkan perisa asli iaitu herba sebagai perisa ketika menghisap shisha.
“Sebaliknya ada penghisap shisha di negara ini memasukkan nikotina pelbagai perisa termasuk ada yang mencampurkan dadah ke dalamnya. Itulah punca masalah bermula,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau ditemui selepas melancarkan Karnival Kesihatan Sekolah Menengah Penang Free yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: