Monday, July 1, 2013
Kem senaman ala tentera
SEWAKTU matahari pagi mula terbit dan suasana masih lagi sejuk di Pantai Bondi, Sydney, Australia terdapat kira-kira 30 individu bersemangat melakukan rejim senaman yang agak berat.
Mereka melambungkan badan sebelum menghempasnya ke pasir, berlari-lari anak sebelum memecut, melompat melepasi halangan, mengangkat beban serta meregangkan tali ke atas dan ke bawah.
Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada kelompok golongan pencinta kecergasan dikenali kem latih tubi. Konsep senaman sebegini sering digunakan oleh jurulatih gaya tentera untuk senaman berintensiti tinggi.
"Saya fikir saya tidak akan melakukan perkara ini lagi. Ia membuatkan saya muntah. Saya benci setiap minit daripadanya. Tetapi, kepuasan yang dirasai, sukar untuk digambarkan," kata Kristie Webster selepas menamatkan sesi tersebut di Bondi.
Apabila ditanya apa yang menyebabkan dia sanggup bangun dari katil seawal pagi beberapa kali seminggu hanya untuk merasai pengalaman ketidakselesaan fizikal, Kristie menjawab: "Bukan sebab saya gila. Tidak, ia semata-mata untuk tampil cergas dan sihat."
Sementara itu, jurulatih Dan Clay yang berasal dari Essex, Britain memberitahu, mereka akan melatih setiap peserta mengikut kemampuan masing-masing.
"Kami mendorong mereka sehingga ke tahap maksimum yang boleh dilakukan. Tetapi kami lakukannya dengan cara yang bermotivasi. Kami bukan seperti sarjan yang bersifat memaksa, tetapi berfungsi untuk memberi galakan pada mereka," jelas Clay.
Clay yang menguruskan syarikat Dangerous Fir, telah melihat populariti kem latih tubi berkembang pantas di Sydney sejak lima tahun lalu, sama seperti tempat lain di dunia.
"Orang ramai tidak mahu sentiasa terjebak di gimnasium. Mereka mahu melakukan perkara yang bermanfaat di waktu pagi seperti berada di pantai, melihat matahari terbit dan menghirup udara yang segar.
"Rutin sebegini sangat baik untuk mendapat ketenangan jiwa dan kesihatan bagi tubuh badan. Disebabkan itu, ia menjadi semakin popular," tuturnya.
Tambah Clay, mengikuti latihan secara berkumpulan lebih memberi motivasi kepada peserta berbanding bersenam sendirian.
"Mereka mahu berada di luar dan berlatih bersama kawan-kawan," ujarnya.
Tanpa rangkaian kos utama dan beberapa overhed, kem latih tubi telah muncul di seluruh Australia, manakala cabaran fizikal lain seperti Tough Mudder iaitu kursus latihan keras berhalangan seperti mendaki tebing dan dinding curam juga terbukti popular.
Latihan lasak seperti tentera
James Brabon, bekas infantri tentera Australia dianggap sebagai perintis industri kem latih tubi di Sydney.
Selepas membangunkan rejim latihan untuk rakan-rakan askar yang kemudian mendatangkan rasa kagum dalam kalangan isteri dan teman wanita masing-masing, James kemudian menjenamakan semula program tersebut pada 2003. Dia menggunakan Pantai Coogee sebagai destinasi awal bagi menganjurkan latihan tersebut.
Katanya, dia bersikap skeptikal terhadap trend latihan kecergasan masa kini yang menjadi semakin lembut seperti senaman yoga.
"Justeru, kami tampil dengan disiplin senaman sebegini yang berintensiti tinggi dan berpeluh sehingga ke akhirnya. Kemudian, orang ramai mengatakan, ia mungkin tidak akan berhasil, tidak kekal dan tiada sesiapa yang mahu melakukannya.
"Tetapi, apa yang kami dapati adalah semua orang mahu mencuba untuk melakukannya," tegas James yang digelar sebagai chief.
Apa yang pasti, kumpulan tersebut gembira kerana berpeluang melakukan rejim latihan yang sukar bersama-sama.
"Kesakitan adakalanya boleh menjadi sangat baik, tetapi ia sentiasa berbaloi pada akhirnya," kata Stafford Hamilton yang memuji Dangerous Fit kerana melalui rejim latihan itu, dia mampu menurunkan berat badan sehingga 11 kilogram sejak mengikutinya sembilan bulan lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: