Jualan nisan kerek meningkat
Esah sibuk memotong daun mengkuang untuk digunakan bagi membalut nisan kerek sebagai persediaan awal menyambut ketibaan Ramadan
Jualan nisan kerek meningkat
Permintaan terhadap nisan kerek diusahakan Esah meningkat daripada 100 keping sehari kepada lebih 200 keping sehari pada Ramadan.
MARANG – Pengusaha manisan di Kampung Batangan di Marang yang terkenal dalam pembuatan dan penghasilan gula melaka atau lebih dikenali sebagai ‘nisan kerek’ di Terengganu tidak sabar menunggu ketibaan Ramadan.
Ini kerana, gula melaka antara bahan penting dalam penyediaan kuih-muih tradisional seperti kuih lompat tikam, onde-onde dan puteri mandi.

Harga semasa nisan kerek asli tidak menggunakan gula sebaliknya menggunakan air nira sepenuhnya dijual pada harga RM4 sekeping, manakala nisan kerek biasa yang bersaiz kecil dan bersaiz besar dijual pada harga RM1 hingga RM2.50 sekeping.
Seorang pengusaha nisan kerek, Esah Awang, 60, berkata, apabila tiba Ramadan, dia dan ahli keluarganya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat secara mendadak daripada penjual kuih-muih di negeri ini.

Bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan itu, Esah yang lebih dikenali sebagai Mak Cik Esah di Kampung Batangan berkata, dia turut dibantu anak dan dua pembantunya bagi memproses manisan berkenaan.

“Pada bulan puasa permintaan terhadap nisan kerek meningkat daripada 100 keping sehari kepada lebih 200 keping sehari. Selain Ramadan, permintaan terhadap manisan tersebut juga mendapat sambutan pada musim cuti persekolahan.

“Walaupun permintaan meningkat sekali ganda, namun keuntungan tidak banyak kerana barang mentah agak mahal termasuk daun mengkuang yang digunakan untuk membalut nisan kerek, dijual dengan harga 60 sen segulung,” katanya.

Bagaimanapun, berkat kegigihan Esah mengusahakan perusahaan itu bersama suaminya, Mamat Abdullah, 73, sejak 20 tahun lalu, mereka berjaya membuka tempat baru memproses manisan dan kini ia diusahakan anak-anaknya.