Wednesday, July 3, 2013

Aceh dilanda gempa bumi kuat



ORANG RAMAI keluar dari sebuah bangunan pejabat sejurus selepas gempa bumi kuat melanda Medan semalam.- AFP


LAMPAHAN - Tiga orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain cedera apabila gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan wilayah Aceh di Indonesia semalam.
Gempa bumi tersebut turut meruntuhkan sejumlah bangunan dan mencetuskan situasi panik di Aceh yang pernah dilanda ombak besar tsunami pada 2004.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa berlaku di kawasan pedalaman pada pukul 7.37 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer di bawah permukaan Bumi di daerah Bener Meriah, tengah Aceh.
"Seorang kanak-kanak maut dihempap dinding yang runtuh," kata seorang doktor di klinik kesihatan di sini, Ema Suryani kepada agensi berita AFP.
"Kami menerima 50 mangsa dengan 30 mengalami kecederaan serius termasuk di kepala," tambahnya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital dari beberapa buah kampung dengan menaiki dua buah trak.
Di ibu negeri wilayah Aceh, Banda, orang ramai berlari keluar dari rumah mereka apabila gempa melanda dengan situasi serupa berlaku di Medan, selatan Aceh.
Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gempa itu dapat dirasai selama 15 saat dari Bener Meriah hingga ke Banda Aceh.
Pada 2004 satu gempa bumi kuat melanda Aceh dan mencetuskan tsunami yang meragut 170,000 nyawa di wilayah berkenaan dan puluhan ribu lagi di negara-negara sekitar Lautan Hindi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: