Anak didik Kak Engku.
Persembahan Awok bersama artis pilihan, Sathia.
Anak didik Kumpulan B pada konsert ke-3 BMB.
Minggu ketiga, keenam peserta berentap bersama selebriti pilihan bagi menyerikan lagi persembahan mereka iaitu Sathia, Yus Jambu, Ruminah Sidek, Amyza Adnan, Fara Fauzana dan Dina Nazir bersama juri jemputan, Tomok.
Tirai persembahan malam itu dimulakan dengan anak didik Raja Azura yang membawakan konsep Cari Jodoh yang menerima sambutan positif daripada penonton dan juri profesional iaitu AR Badul dan Fauziah Ahmad Daud.
Malah lagu pilihan Awok, Dulu Lain Sekarang Lain yang diberi nafas baru ternyata berjaya memikat hati Tomok yang disifatkan sebagai menarik.
Hadiah buat sifu
Selepas dua minggu menduduki carta tercorot, satu-satunya peserta wanita yang merupakan anak didik Raja Azura itu menerima komen pedas daripada juri berdasarkan persembahan mereka yang kurang memuaskan.
Dianggotai Nurul Ain Othman, 26, dan Filzah Azmi, 24, dua wanita cantik ini menjadikan pengalaman dari dua konsert yang lalu sebagai panduan untuk meneliti kelemahan yang ada persembahan mereka.
Menurut Nurul Ain, pada mulanya mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika latihan kerana terpaksa menukar artis jemputan pada saat akhir.
"Pada mulanya kami memilih David Teo namun terpaksa dibatalkan kerana dia mempunyai urusan lain.
"Manakala pemilihan Sathia pula hanya beberapa hari sebelum persembahan, dan kami bernasib baik kerana dia dapat meluangkan masa walaupun mempunyai jadual padat," katanya.
Bagi Filzah pula, walaupun mengalami masalah kesihatan dia tetap meneruskan dengan sebaik mungkin agar tidak mengecewakan sifunya sempena sambutan Hari Ibu.
"Saya mahu lakukan yang terbaik agar mama (Raja Azura) tidak lagi kecewa dengan sketsa kami.
"Alhamdulillah, kami dapat melakukannya dan juri turut memuji persembahan kami," katanya.
Jika sebelum ini mereka pernah dikritik kerana agak kaku ketika di atas pentas, namun masalah tersebut berjaya di atasi setelah menerima nasihat dan panduan daripada peserta lain seperti Achey dan Kelawak.
Bagi Awok, mereka bertuah dapat menimba pengalaman bersama sifu kerana Raja Azura banyak membantu mereka dari segi moral dan mental agar bakat yang ada pada mereka dicungkil dengan sebaik mungkin.
Raja Azura terharu
Walaupun sibuk dengan pelbagai program kendaliannya seperti Primadona dan Kilauan Emas 3, namun Raja Azura atau mesra disapa dengan panggilan Kak Engku bangga melihat perkembangan anak didiknya itu.
"Syukur... tiada kata-kata yang dapat digambarkan tentang perasaan saya ketika ini.
"Saya bangga dan sangat berpuas hati dengan pencapaian Awok kerana mereka banyak membuat kajian untuk persembahan malam ini," katanya.
Berhadapan dengan situasi agak membimbangkan apabila dua anak didiknya iaitu Awok dan Kelawak yang berada di tangga tercorot sebelum ini, Kak Engku berkata setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.
Ternyata, apa yang dirasakannya sebelum ini menjadi kenyataan apabila keduanya kini semakin matang dan faham konsep yang mereka bawakan.
"Persediaan minggu ini mungkin agak kelam kabut apabila artis jemputan kami tidak dapat hadir di saat akhir, Awok juga agak down semangat mereka.
"Tetapi kehadiran Sathia banyak membantu kami dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya kerana dapat hadir bersama," tutur Kak Engku.
Juri puji persembahan
Dalam masa sama, juri profesional, Ogy menyatakan dia berpuas hati dengan persembahan kesemua peserta, terutamanya Awok yang menunjukkan peningkatan positif.
Menurut Fauziah, persembahan yang baik bermula daripada ilham yang tercetus dan bagaimana digarapkan agar menjadi lebih menarik.
"Saya melihat usaha yang dilakukan Awok sangat bagus kerana mereka melakukan kajian sebelum ia dipentaskan.
"Paling penting, pemilihan artis jemputan bertepatan dengan konsep yang mereka ingin bawakan," katanya.
Tambah Ogy, kemunculan Sathia menceritakan semuanya dan ia merupakan idea yang amat menarik.
"Apatah lagi, lakonan Ain pada malam itu semakin baik kerana dia tidak menjadi sesiapa dan berjaya mencari kekuatan yang ada pada dirinya. Itulah yang saya inginkan daripada Awok," kata Ogy.
Bagi AR Badul pula, kemunculan Sathia telah menyelamatkan kumpulan itu dan mereka berjaya mencipta keserasian bersama.
“Ada idea, usaha dan keyakinan diri yang tinggi. Kemunculan Sathia sudah banyak membantu. Anda superb malam ini,” katanya.
Sementara juri jemputan, Tomok pula mengatakan bahawa persembahan Awok sebagai pembukaan yang sangat bagus.
“Persembahan pembukaan yang sangat bagus dan pemilihan lagu malam ini sangat tepat,” katanya.
Gegau dalam bahaya
Sehingga kini, anak didik kumpulan pelawak terkenal Senario iaitu Gegau masih gagal menampilkan persembahan yang menarik dan berkesan pada minggu ini.
Melihat kepada sketsa mereka yang kurang menjadi, juri menyifatkan idea mereka kurang olahan dan jalan cerita yang tergantung tanpa penjelasan yang jelas.
Menampilkan pelakon dan pelawak, Amyza Adnan ternyata Gegau gagal menghidupkan sketsa mereka walaupun jalan cerita mengenai kisah tukang masak sangat menarik, tetapi tidak diolah dengan baik.
Jelas dengan situasi tersebut, Faizal Ibrahim, 24, meluahkan bahawa sekiranya mereka gagal dalam minggu penyingkiran akan datang, dia dan rakannya, Mohd Saffuan Samsudin, 26, reda dengan keputusan tersebut.
"Kami tahu sekarang ini kami berada dalam keadaan yang berbahaya, tetapi konsert untuk minggu keempat nanti kami akan cuba sebaik mungkin.
"Jika dibandingkn dengan peserta lain, kami tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan sebelum ini dan menganggap kekalahan kami sebagai pengalaman yang paling berharga," jelas Faizal.
Pada konsert ketiga kumpulan B menyaksikan Bocik berada di tempat pertama (74.5), diikuti dengan Titan (73), Ajo (70.8), Awok (58.9), Gegau (55.5) dan XOXO (48.4).
Konsert akan datang, semua peserta bakal berhadapan dengan penyingkiran sekiranya mereka gagal memperolehi markah tinggi selepas jumlah keseluruhan markah mereka dalam keempat-empat konsert Bintang Mencari Bintang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: