Saturday, August 4, 2012

Variasi di bawah satu bumbung



DI sekitar Lembah Klang, hampir kesemua pusat beli-belah tidak terkecuali daripada sama-sama memeriahkan suasana sambutan kedatangan Aidilfitri yang melambangkan sebuah ganjaran selepas berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya juga turut tidak melepaskan peluang mempamerkan motif perayaan umat Islam sepanjang bulan ini menerusi dekorasi-dekorasi istimewa yang diilhamkan oleh pasukan kreatif pusat beli-belah itu.

Berdiri sebagai sebuah pusat beli-belah berstatus urban dan moden, 1Utama bukan sahaja menawarkan pilihan beli-belah yang lengkap, malah turut memastikan persediaan buat kelompok pelanggan yang menyambut perayaan tertentu.


BOLING adalah pilihan riadah keluarga yang paling popular.


Sempena kedatangan Syawal, gedung besar itu tidak ketinggalan untuk memeriahkan suasana melalui aspek dekorasi.

Berlatarkan bangunan mewah ala seni bina Arab, lampu-lampu gantung juga teliti dipasang di dalam kubah. Struktur bangunan berciri Asia Barat itu mempamer elemen eksotik Islam moden.

“Kami memastikan struktur binaan ini berkonsep geometri supaya ia berpadanan dengan cita rasa urban. Walaupun berpusat di ruang tingkat bawah, Oval, kami turut memanjangkan rekaan hiasan hari raya ke Old Wing 1 Utama,” kata Pengurus Besar Pengiklanan dan Promosi 1 Utama, Patrick So.

Tambah beliau, hiasan dan rekaan dalaman pusat beli-belah yang menelan belanja kira-kira RM2 juta itu diharap dapat membuatkan pelanggan teruja dan berpuas hati.

“Kami juga turut menempatkan 40 kaunter dengan tema dekorasi yang sama, Warisan dan Budaya Hari Raya. Kesemua kaunter ini akan menjual pakaian, aksesori, biskut Raya dan lain-lain berkaitan hari raya,” ujar Patrick.

Hiburan dan rekreasi

Sebagai menambah keseronokan membeli-belah, pihak 1Utama juga turut menawarkan pementasan hiburan dan rekreasi menjelang Aidilfitri.

Bermula 27 Julai lalu, struktur binaan hiasan itu menjadi pentas bagi pelbagai persembahan seperti tarian, muzikal, bengkel aksesori, peragaan fesyen oleh Parkson, dokumentari Putera Sulong dan Putera Bongsu, persembahan Bulola dan banyak lagi sehingga 26 Ogos 2012.


PANGGUNG wayang dengan teknologi dan pilihan tayangan terkini menjadi tumpuan ramai.


“Setiap minggu, kami menganjurkan persembahan mengikut tema. Minggu pertama ialah Irama Muda, diikuti dengan Permata Aidilfitri (minggu kedua), Opera-ya (minggu ketiga), Pentas Sandiwara (minggu keempat) dan Rentak Budaya (minggu kelima dan terakhir),” kata Patrik merujuk kepada tempoh sambutan Aidilfitri di 1Utama.

Tawaran 1Utama tidak terhenti di situ sahaja. Gedung itu turut menyediakan pulangan nilai yang cukup berbaloi seperti Hadiah Hari Raya kepada pelanggan yang berbelanja RM300 ke atas dalam satu atau dua resit pada hari yang sama dan baucer makanan RM5 di Food Street.

Penat berjalan-jalan selepas rutin beli-belah, 1Utama menyediakan puluhan restoran, kafe dan pusat makanan yang boleh dijadikan lokasi berbuka puasa yang ideal.

Daripada pilihan makanan segera, Barat, Jepun, Korea, Peranakan, Melayu, Cina hinggalah kepada kafe berkonsep sajian organik, kek, bakeri ataupun makanan segera, semuanya sedia menyambut pelanggan yang mahu menjamu selera.

Selain pengalaman gastronomi dan beli-belah, 1Utama juga turut beroperasi sebagai ruang untuk berlibur, berekreasi dan santai, mengikut pilihan aktiviti pelanggan.

“Mereka yang mengunjungi 1Utama bukan sekadar membeli pakaian, aksesori atau barangan, ia lebih daripada itu,” ujar Patrick.

Rekreasi lasak dan santai

Camp 5 di 1Utama adalah gimnasium memanjat tembok tertutup yang pertama dan terbesar di Asia. Ia menduga ketangkasan dan stamina peserta melalui cabaran seni memanjat tembok setinggi 24 meter.

Sesuai untuk mereka yang baru saja berjinak-jinak dengan sukan itu hinggalah kepada kelompok yang lebih berpengalaman, kemudahan yang disediakan di Camp 5 dipastikan antara yang terbaik.


PADANG yang dibina di aras puncak 1Utama membawa konsep riadah dan rekreasi yang baharu.


Di samping itu, pusat besbol juga satu lagi tarikan kesukanan di 1Utama yang berlokasi di Rooftop New Wing. Dengan keluasan 1,672 meter persegi, pusat besbol menyediakan pelbagai kemudahan seperti sangkar-sangkar perlawanan, sangkar anggul Bulpen, kawasan T-Ball, kedai Pro, kafe dan tayangan perlawanan secara langsung.

Tidak ketinggalan, Padang di 1Utama yang menawarkan ruang untuk pelanggan yang mahu bermain futsal pula. Berlokasi di tingkat atas Rooftop, terdapat dua set disediakan iaitu Set A dengan lima gelanggang dan Set B dengan tiga gelanggang futsal.

Jika ketiga-tiga itu adalah kepada mereka yang memilih aktiviti lasak, 1Utama turut menawarkan pelanggan yang mahu pendekatan yang lebih holistik.

Secret Garden, taman di atas bumbung pertama seumpamanya dengan keluasan lebih 2,787 meter persegi itu dibuka kepada umum secara percuma. Ia mendekatkan pengunjung kepada kepelbagaian flora yang mungkin tidak pernah dikenali sebelum ini.

Seperti kebanyakan pusat beli-belah yang lain, 1Utama turut menyediakan kemudahan rekreasi lain seperti pawagam dan pusat boling, U-Bowl dengan 36 lorong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: