KUANTAN- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyan Kuantan semalam atas tuduhan menerima suapan RM800 daripada seorang penagih dadah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan dan menutup kes lelaki terbabit setelah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh, Ismail Che Ngah dari Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nor Azman Mohd Jaya di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Berdasarkan pertuduhan, Ismail didakwa menerima suapan itu kira-kira jam 1.50 petang, di KM1, Simpang Karayong, Bera, 7 Jun lalu dan ditahan pada masa serta tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana jumlah yang paling tinggi.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya jaminan ke atasnya ditetapkan sebanyak RM2,000 memandangkan dia terpaksa menyara keluarga serta dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, dia juga perlu menyediakan keperluan keluarga menjelang sambutan hari raya akan datang justeru sekiranya mahkamah meletakkan jumlah jaminan yang tinggi akan membebankan dirinya.
“Saya juga berdepan tindakan tatatertib oleh jabatan dan kemungkinan kehilangan pekerjaan,” katanya dalam rayuan itu.
Mengambil kira tuduhan dan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala 30 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Tertuduh difahamkan membayar wang jaminan dan dibebaskan sementara menunggu tarikh sebutan nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: