Sunday, August 5, 2012

Profesor diperdaya Ratu Bikini

Profesor fizik sebuah universiti terkenal di Amerika Syarikat dakwa dijerat menjadi keldai dadah Amerika Selatan selepas jatuh cinta dengan Denise Milani.


IDENTITI Milani yang seksi digunakan pihak lain untuk memperdayakan Frampton.


SEORANG profesor kanan yang memiliki tiga ijazah, termasuk daripada Universiti Oxford, Paul H. Frampton, 68, kini menjalani hukuman di Penjara Villa Devoto, Argentina atas tuduhan menyeludup dua kilogram kokain di Lapangan Terbang Buenos Aires 23 Januari lalu.

Dalam satu temu bual telefon bersama akhbar Britain, DailyMail minggu lalu, Frampton yang menyandang gelaran Profesor Kehormat Fizik dan Astronomi Louis D. Rubin Jr. di Universiti Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS), memberitahu, dia ditahan selepas pihak berkuasa mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan bagasi yang didaftarkan atas namanya.

"Januari lalu, saya pergi ke Bolivia atas jemputan dan perbelanjaan Denise Milani, seorang model muda glamor yang juga Miss Bikini World 2007. Saya mengenali Milani, 32, menerusi satu laman sembang internet 11 minggu sebelum ditahan polis.

Bertuah

"Saya senang berkawan dengannya. Dia sukakan lelaki matang yang boleh membimbing dan menemaninya. Dia juga mengaku sudah letih beraksi di hadapan kamera dan bersedia untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya bersama orang yang tersayang.

"Milani sering memberitahu dirinya sangat bertuah bertemu dengan saya. Dia selalu berkata, saya adalah lelaki yang memahami pendirian dan sangat mengambil berat tentang dirinya.

"Hampir tiga bulan mengenalinya di laman sembang, kami temui keserasian dan merancang hidup bersama," akui Frampton yang disifatkan oleh bekas isterinya sebagai lelaki yang lurus.

Dalam sesi wawancara tersebut, Frampton turut mengakui sepatutnya dia boleh menyedari komplot penipuan ini lebih awal lagi namun kelicikan penyamar memainkan watak Milani mempegaruhinya untuk terus mendekati Milani palsu, jatuh hati padanya dan menurut segala kehendaknya.


FRAMPTON


"Saya tidak menyangka wujud manusia seperti ini, yang sanggup menggunakan identiti palsu untuk memerangkap orang lain.

"Selama ini saya bermati-matian menganggap saya bersembang dengan wanita yang menarik. Namun, selepas sehari ditahan barulah saya sedar saya ditipu," ujar Frampton.

Frampton mengakui dia sering bersembang dengan model pakaian dalam yang berasal dari Republik Czech itu, malah bersetuju untuk menjemput Milani bagi memulakan hidup baharu di AS.

Pasangan kekasih internet ini merancang untuk bertemu di Bolivia tetapi rancangan berubah pada saat akhir.

"Pada hari sepatutnya saya berjumpa dengan Milani, seorang lelaki Bolivia telah bertemu dengan saya di hotel. Dia menyerahkan sebuah beg hitam yang didakwanya milik Milani kepada saya.

"Lelaki tersebut meminta saya membawa beg tersebut kepada Milani yang sedang menunggu saya di Buenos Aires.

Beg kosong

"Saya belek beg itu. Ia hanya sebuah beg kosong. Walaupun timbul tanda tanya, saya tidak memikirkan yang bukan-bukan sebaliknya mengisi pakaian kotor saya di dalam beg tersebut.

"Setibanya di Buenos Aires, saya menunggu Milani di lapangan terbang tetapi dia tidak muncul-muncul. Selepas jenuh menunggu, saya akhirnya ambil keputusan untuk mengambil penerbangan pulang ke Carolina Utara.


UNIVERSITI Carolina Utara yang terletak di Chapel Hill, Amerika Syarikat tempat Frampton mengajar.


"Ketika beg milik hitam tersebut melepasi mesin pengimbas, pegawai yang bertugas meminta saya ke tepi. Rupa-rupanya ada satu lapisan palsu di bahagian dalamnya yang diisi dengan kokain.

"Pada masa itu, saya langsung tidak mengesyaki apa-apa. Namun, sehari selepas itu, barulah saya sedar yang saya sudah menjadi mangsa komplot penyeludupan dadah," ujarnya yang berasal dari Britain.

Profesor itu percaya sindiket penyeludupan dadah tersebut didalangi oleh kumpulan mafia yang menjadikan nama Denise Milani untuk memperdayakannya. Bagaimanapun, polis sehingga kini belum menemui petunjuk tentang rancangan penyeludupan dadah seperti yang didakwa Frampton.

Biarpun Frampton bertegas mengakui bahawa dia diperangkap, pihak berkuasa Argentina tidak mempunyai pilihan selain menahan dan menempatkannya di Devoto Villa, sebuah penjara berusia 87 tahun yang dikhaskan untuk tahanan lelaki.

"Kehidupan di sini sangat teruk. Saya ditempatkan bersama 80 tahanan dari pelbagai negara asing. Musim sejuk membuatkan badan saya sering menggigil.

"Saya mengalami batuk kuat dan selesema, begitupun saya cuba untuk keluar bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Makanan yang disediakan pula sangat teruk dan tidak boleh dimakan. Melihatnya sahaja sudah meloyakan tekak.

"Selain itu, di sini juga sering berlaku pergaduhan. Malah, pernah tahanan yang duduk di sebelah saya diserang menggunakan pisau," katanya yang sempat menyiapkan empat kertas laporan ilmiah, termasuk dua yang sudah diterbitkan sepanjang berada dalam tahanan selain memantau perkembangan kajian ilmiah yang dibuat dua siswazah kedotorannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: