Saturday, August 4, 2012

Penguat kuasa dan penyelamat di lautan



BERADA beratus-ratus kilometer di tengah laut dan dibuai ombak berhari-hari lamanya serta dibakar terik mentari, kerja sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bukanlah satu tugas yang mudah.

Terpisah dengan daratan, misi anak kapal adalah untuk menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mencari dan menyelamat serta menjaga wilayah maritim daripada sebarang pencerobohan.

Baru-baru ini, pihak APMM telah membawa media untuk bersama-sama ke tengah laut bagi melihat sendiri prosedur mencari dan menyelamat mangsa yang mengalami musibah di lautan.

Walaupun ia cuma lakonan, namun, gambaran sebenar tugas yang dilakukan APMM bersama 19 agensi dan jabatan lain dapat disaksikan dan debaran yang dirasakan seolah-olah berada di tengah-tengah misi menyelamat yang sebenar.


PIHAK Maritim bertanggungjawab menjaga keamanan perairan negara daripada dicerobohi pihak tertentu.


Berlokasi di perairan Besut, Terengganu dan perairan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, Latihan Mencari dan Menyelamat (Sarex) Wilayah Maritim Timur (Wiltim) 2012 disertai oleh 400 anggota.

Ia melibatkan sebuah helikopter AS N3 Dauphin milik APMM, sebuah kapal terbang Cessna milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua kapal dan lima bot APMM, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah jet ski dan empat bot milik Jabatan Bomba, satu pasukan gerakan Marin, dua buah ambulans Hospital Tengku Anis Pasir Puteh dan lima ambulans Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Pihak media berpeluang menaiki kapal KM Nusa yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Izwanhadi Idrus dengan 19 anak kapal.

Feri terbakar



Senario misi menyelamat itu ialah sebuah feri dengan 40 penumpang termasuk tekong dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian yang mengalami kebakaran di bahagian enjin dan hampir karam.

Penumpang-penumpang feri tersebut mengalami kecederaan yang pelbagai dan perlu diselamatkan segera. Memandangkan kejadian dalam wilayah Maritim Timur, maka pusat penyelamat APMM yang terlibat ialah Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, Pahang. Selain di Kuantan, terdapat empat lagi MRSC di seluruh Malaysia iaitu Johor Bahru, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Dalam situasi sebenar, setelah sesebuah MRSC menerima aduan mengenai sesuatu kecemasan atau malapetaka di lautan, MRSC akan mengaktifkan semua aset dari pelbagai agensi untuk bergerak ke lokasi kejadian. Sebelum itu, mereka menghubungi Maritime Rescue Coordinating Centre (MRCC) di Putrajaya bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Perkara yang paling penting dalam misi menyelamat adalah mencari mereka yang masih hidup dan membawa mereka ke darat secepat mungkin supaya rawatan lanjut boleh dijalankan.

Sekiranya mangsa mengalami kecederaan parah, khidmat pesawat udara diperlukan untuk memindahkan mangsa dengan segera.

Bagi Leftenan Muda Maritim Muhammad Haris Azmi, 25, perkara utama yang perlu dibiasakan dalam tugasan mencari dan menyelamat di lautan adalah mengatasi mabuk laut serta bau mayat.

"Dalam operasi menyelamat, perkara yang paling mencabar adalah untuk memastikan mangsa berjaya diselamatkan dengan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Mula-mula saya tak biasa dengan bau busuk mayat mangsa sehingga perlu melumur minyak angin di hidung tapi lama-lama saya dah terbiasa dengan bau itu dan cekalkan hati demi tugas," cerita beliau.

Muhammad Haris yang baru dua tahun menyertai APMM memberitahu, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah sebuah misi sekitar tahun lalu. Ia adalah tragedi bot asing yang karam.

Apabila sampai di tempat kejadian, mayat-mayat sudah bergelimpangan di permukaan air dan mereka terpaksa mengangkat mayat-mayat naik ke atas kapal.

"Kami letakkan mayat semua di bahagian belakang kapal dan disusun bersebelahan.


BEBERAPA anggota Maritim sedang membuat pencarian lokasi dalam latihan yang melibatkan kerjasama 24 buah agensi.


"Mayat kalau terlalu lama berada dalam air dia akan mengembang dan kembung. Mayat mangsa telah berbau dan muka pun susah hendak dicam," imbas beliau.

Bagi anggota Leftenan Maritim, Mohammad Zaini Zainal menggalas tugas menyelamat di laut bukanlah mudah.

"Kami perlu sentiasa bersedia bila-bila masa dan bersedia berhadapan dengan apa sahaja situasi.

"Apa yang lebih menyukarkan dalam setiap operasi, kadangkala kita tidak tahu sejauh mana keadaan mangsa, sama ada masih hidup ataupun tidak," ujar beliau.

Rondaan berterusan

Menurut Mohammad Zaini, pasukan penyelamat APMM akan ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan wilayah maritim dan akan berada di laut sehingga seminggu lamanya sebelum ke darat secara bergilir-gilir.

"Pekerjaan seperti ini berlainan berbanding pekerjaan lain. Walaupun orang lihat ia sebagai sesuatu kerja yang mencabar atau membosankan kerana perlu berada di laut hampir setiap masa, bagi saya tugas menyelamat dan menjaga keamanan samudera adalah sesuatu yang amat membanggakan," ujar beliau.


ANGGOTA Maritim sempat berkumpul bersama untuk menikmati iftar pada hari latihan.


Dalam pada itu, Pengarah Operasi Wiltim, Kapten Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hasan, memberitahu latihan Sarex diadakan setiap tahun bagi memupuk keserasian dan kerjasama antara semua agensi yang terlibat.

Syed Mohd. Fuzi menerangkan Wilayah Maritim Timur merangkumi tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mempunyai keluasan perairan 200,000 kilometer persegi.

APMM secara rasminya telah mengambil alih tanggungjawab menyelaras tugas mencari dan menyelamat pada 6 Jun 2006 yang selama ini dilaksanakan oleh Jabatan Laut.

"Sepanjang APMM mengambil alih tugas mengawal Wilayah Maritim di kawasan Timur, kita berjaya mengurangkan pencerobohan dan melakukan misi menyelamat dengan jayanya.

"Memandangkan pengangkutan laut merupakan aktiviti utama bagi mendokong pelbagai aktiviti sosioekonomi, industri maritim dan pelancongan bagi Kerairan Pantai Timur, maka sekali gus tanggungjawab dan peranan kami juga besar untuk memastikan keselamatan semua dan memberi lebih keyakinan kepada pengunjung pulau-pulau sekali gus meningkatkan industri pelancongan.

"Buat masa ini, APMM Wilayah Timur mempunyai dua buah kapal yang beroperasi dalam satu masa. Pada pertengahan tahun ini, kami akan menambah sebuah lagi kapal bagi memperkuatkan pasukan bagi mengawal wilayah ini," terang beliau.

Apa yang mustahak kata beliau, hubungan rapat antara agensi dan jabatan amat diperlukan kerana setiap daripadanya mempunyai kepakaran khas sekali gus menjadi tunjang kepada kejayaan sesuatu operasi menyelamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: