|
TINDAKAN merealisasikan pemasangan kenderaan kompak jenama Jepun di Pekan, Pahang ternyata satu strategi perniagaan bijak dilaksanakan oleh DBR-Hicom Bhd. Langkah itu berjaya merancakkan penerimaan model kereta kompak Suzuki Swift dalam kalangan pengguna tempatan.
Buktinya, Swift nyata mudah dilihat di atas raya di Malaysia. Penerimaannya sudah pasti didorong oleh faktor utama iaitu pakej harga munasabah dan rekaan sporty yang menawan hati.
Secara jelas, itulah antara kekuatan sebenar pengedar rasmi kenderaan Suzuki di pasaran tempatan, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (Suzuki Malaysia). Memang dikenali kerana fokusnya kepada segmen kompak, Suzuki Malaysia sebenarnya sentiasa cuba untuk meneroka kategori lain.
Contoh paling mudah adalah pengenalan model sedan segmen D iaitu Kizashi yang membuat penampilan sekitar bulan Mac lalu. Namun begitu, Suzuki Malaysia tidak lupa untuk mengukuhkan kekuatan sedia ada yang dimilikinya.
Buktinya, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2004 itu baru-baru ini memberi nafas yang lebih segar kepada model SX4 Sport Crossover (SX4). Model lima pintu itu diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada Disember 2007.
Suzuki SX4 yang menerima sentuhan rekaan studio Italdesign kendalian pereka terkenal Itali, Giorgetto Giugiaro mula dipamerkan pada Geneva Motor Show kira-kira enam tahun lalu. Produk itu adalah hasil kerjasama di antara Suzuki dan Fiat bagi menggantikan model Suzuki Aerio SX.
Pada awalnya, SX4 dibina untuk pasaran Eropah. Namun disebabkan oleh penerimaan yang memberangsangkan, ia kemudian ditawarkan di beberapa pasaran lain seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS), Australia dan India.
Tiga tahun selepas membawa masuk SX4 yang diimport sepenuhnya (CBU), Suzuki Malaysia tampil dengan model naik taraf pada tahun 2009. Penambahbaikan signifikan diberikan membabitkan peningkatan kuasa sebanyak 9hp dan tork enjin mencecah 10Nm.
Baru-baru ini, sempena majlis berbuka puasa bersama pengamal media, Suzuki Malaysia mendedahkan jSX4 dengan wajah lebih segar. Secara amnya, transformasi kali ini lebih cenderung ke arah kemasan bahagian luaran.
Enjin M16A
|
|
Jentera itu dipasang enjin M16A. Sama seperti varian tahun 2009, spesifikasi enjin petrol 1.6 liter DOHC VVT (Variable Valve Timing) dan transmisi automatik empat kelajuan automatik dikekalkan. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa sehingga 110PS @ 5,600rpm dan tork 150Nm @ 3,800rpm.
Diletakkan di bawah pembangunan konsep X-over revolution, reka bentuk luaran SX4 boleh disifatkan sebagai menarik walaunpun keliharan ringkas. Lampu utama multi reflector yang kini lebih melengkung diintegrasi bersama gril radiator dan bampar baharu. Rim 16 incinya juga rekaan baharu.
Kali ini, salutan krom ditambah pada bahagian tertentu seperti gril hadapan. Lampu kabus dikekalkan di lokasi lama. Bahagian belakang pula dilengkapi spoiler nipis, lampu brek ketiga dan lampu belakang bersaiz sederhana.
Masuk sahaja ke dalam kabin SX4, ruang itu nampak lebih cantik dan kemas berbanding varian sebelumnya. Tona gelap dengan kemasan krom mendominasi ruangan konsol tengah. Fabrik baharu kini membalut tempat duduk.
Kluster instrumen meter dengan lampu merah dan biru disatukan dengan skrin digital. Skrin itu memaparkan maklumat seperti jam, suhu di luar kenderaan dan penggunaan bahan api. SX4 juga dilengkapi unit audio MP3/WMA yang terletak kemas di bawah corong pendingin hawa.
Penukaran siaran radio atau lagu boleh dibuat dengan hanya menekan butang kawalan pada stereng. Ini membolehkan pemandu lebih fokus ketika memandu. Tuil gear jenis gated shifter dikekalkan sebagaimana yang terdapat pada model terdahulu.
SX4 dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan. Antaranya ialah sistem brek antikunci, Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan dua unit beg udara.
Model itu ditambah dengan ciri keselamatan baharu iaitu Brake Override System. Ia merupakan mekanisme yang membolehkan SX4 diberhentikan jika pedal minyak tersangkut pada bahagian lantai.
Sistem tersebut juga berperanan memintas fungsi pedal dan memberhentikan kenderaan sekiranya pedal minyak dan brek dipijak secara serentak.
Suzuki Malaysia menawarkan dua varian SX4 iaitu standard dan premier. Standard dijual pada pada harga RM91,888 seunit di atas jalan termasuk insurans. Sementara varian premier yang memiliki kelebihan seperti tempat duduk dibalut kulit dan pelindung cahaya V-Kool pula dijual pada harga RM96,888 sebuah.
Pengenalan SX4 disifatkan suatu permulaan baharu buat Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Keiichi Suzuki. Beliau memberi jaminan tahun 2012 adalah tahun yang menarik untuk Suzuki Malaysia. Sama-sama kita nantikan pengumumannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: